SAMBIL menanti hansard sesi kedua Kedai Kopi Assembly (KKA) siap, izinkan saya menyebut sikit mengenai bola sepak tanah air.
Sebelum itu, saya perlu jelaskan yang saya bukan kaki bola atau peminat tegar sukan. Namun saya baca mengenai sukan kerana sejak lebih sedekad, tabiat saya adalah membaca akhbar dari belakang ke hadapan. Sukan, antarabangsa dan ekonomi. Kalau ada semangat yang kuat barulah baca berita di hadapan yang sering memeningkan.
Daripada apa yang saya baca, tonton dan dengar dari media massa dan diceritakan oleh kaki bola, nampaknya macam-macam sudah dilakukan bagi menaikkan taraf bola sepak negara. Tahniah kepada semua pihak terlibat.
Kerajaan sudah beri bantuan. Kaki bola (Khairy Jamaluddin) sudah jadi Menteri Belia dan Sukan. Pemain dan pelatih luar sudah diimport. Gaji pemain bola lumayan. Persekutuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah pecat-memecat. Pintu stadium sudah dirempuh dan padang bola sudah ditakluki.
Menteri Bola Wajib Bukti Prestasi - sayasukamalek.blogspot |
Saya dimaklumkan oleh seorang kawan yang dua tahun jadi sukarelawan Harimau Muda bahawa itulah satu-satunya harapan masa depan bola sepak Malaysia yang menunjukkan harapan. Jadi jangan rosakkan mereka dengan politik bola dan sogokan.
Jangan Rosakkan Mereka Dengan Sogokan |
Mengapa Mutu Bola Terus Hambar?
Malaysia masih “jaguh kampung”. Dalam penarafan (ranking) terbaru FIFA (2013), Malaysia jatuh nombor 158 (ya satu ratus lima puluh lapan) daripada 207 negara dan wilayah di dunia yang menjadi ahli FIFA (baca di sini). Kalau di Asia, hanya Vietnam, Indonesia, Laos, Sri Lanka, Pakistan, Taiwan, Mongolia, Brunei, Macau dan Bhutan lebih teruk daripada kita.
Jadi kalau macam-macam Malaysia sudah buat, tapi mutu bola sepak masih half past six, apakah sebabnya?
Fikir punya fikir, saya rasa ada satu saja sebab. KITA ABAIKAN BOMOH BOLA. Bomoh ada macam-macam bomoh. Ada bomoh yang kita boleh percaya sebab mereka guna kaedah Islam atau yang tidak bercanggah dengan akidah. Tapi majoriti buat kerja-kerja bidaah.
Saya bukan sekali-kali peminat bomoh kelas dunia. Tapi bagi bola sepak Malaysia, nampaknya yang belum dibuat atau, kalau sudah buat, tapi sembunyi-sembunyi adalah memperkasakan bomoh bola.
Negeri Mana Dah Main Bomoh Ni? - Faizsaaid.com |
Justeru itu, boleh jadi kaki bola hendak cadangkan kepada FAM dan persatuan negeri supaya lantik bomoh bola.
Zaman saya remaja dulu, kaki bola amat hormat kepada bomoh bola. Lagi-lagilah bila pasukan yang dia jadi bomoh, menang. Tabik spring.
Bomoh bola sama naik dengan pawang buaya. Atas daripada bomoh guna-guna dan lebih dihormati daripada bomoh nombor ekor.
Kalau kita kekurangan bomoh bola sebab sudah lama diabaikan, FAM boleh benarkan pasukan bola import bomoh bola asing sebagai langkah sementara.
Kawan saya, Zainol Fakir, bekas pengarang Mastika beritahu saya, bomoh Siam hebat. Tapi ada yang kata bomoh dari India, Burma, Indonesia dan Afrika pun hebat juga. Kalau bomoh Afrika, kemungkinannya mereka amalkan voodoo.
Ikut cerita, orang yang kena jampi bomoh voodoo boleh jadi zombi (mayat hidup). Bayangkan Malaysia lawan Singapura. Bomoh voodoo kita jampi pemain Singapura jadi zombi macam dalam drama TV “The Walking Dead”. Fuyoo! Atau Kelantan buat pemain Pahang kembung perut.
Jangan Buat Lawan Jadi Macam Ini |
Zainal kata, bomoh Siam boleh buat perut kembung sampai meletup. Dia kata, ada beberapa orang pencuri lembu di Sik, Kedah meletup perut kena jampi bomoh Siam yang diupah oleh tuan lembu.
Tidak kiralah bomoh tempatan atau bomoh import, asalkan tidak langgar peraturan FIFA. Tapi kalau FIFA tidak benarkan, jangan cuba sebab takut kena gantung atau dipecat terus.
Tapi sebelum FAM terima cadangan saya ini, elok tanya Ustaz Kazim dan mana-mana ustaz moden yang faham hal bomoh dan bola. Kita tidak mahu langgar akidah.
Maju Sukan Kerana Negara!
Wallahuaklam.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.