`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, December 25, 2013

Longgokan Sampah Di MRR2 : Rupanya Syarikat Milik Bekas Pemimpin UMNO

sampah

Tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menganugerahkan kontrak pengurusan Pusat Pemindahan Sampah Taman Beringin, di Kepong kepada syarikat kroni tidak berpengalaman menyebabkan berlaku longgokan sampah di Lebuhraya Lingkaran Tengah Dua (MRR2), minggu lalu.

Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming berkata, kontrak menguruskan pusat itu diberi kepada syarikat Umpan Jaya Sdn Bhd, milik bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan dan keluarga.

“Kenapa Umpan Jaya diberi kontrak ini walaupun merujuk laman webnya, tiada pengalaman menguruskan pusat pemindahan sampah?

“Harap ia bukan kerana milik Datuk Mohd Noordin Mohd Kassim dan keluarga. Beliau adalah bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan dan meninggal dunia Februari lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, pengalaman syarikat itu sebelum ini hanya menaikkan paras tanah timbus di Pusat Pelupusan Pulau Burung pada 2005 dan juga projek Majlis Perbandaran Pulau Pinang pada 2004.

Pada 21 Disember lalu, bertan-tan sampah dilonggok di tepi MRR2, dekat Taman Beringin, Kepong berikutan penutupan Pusat Pemindahan Sampah Taman Beringin yang mengalami kerosakan mesin perampat.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib semalam dilaporkan berkata, pusat itu sering menghadapi masalah sejak Umpan Jaya dilantik menguruskan pusat itu pada 2011.

Dalam pada itu, Kian Ming mempertikaikan sikap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang tidak mengambil langkah awal menangani masalah itu.

“DBKL memang sedar Umpan Jaya hadapi banyak masalah operasi di Taman Beringin…kenapa ia tidak mengambil langkah sewajarnya untuk pastikan sampah di situ diuruskan dengan betul dan dipindahkan ke Pusat Pelupusan Sampah Bukit Tagar?” katanya.

Sebaliknya, katanya, DBKL membiarkan situasi itu di luar kawalan, menyebabkan kejadian tempoh hari mengganggu lalu lintas dan orang ramai.

Justeru, beliau mendesak Menteri Kesejahteran Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan mendedahkan kos kontrak pengurusan yang diberi kepada Umpan Jaya dan sebab ia dipilih.

“Menteri juga diminta beri jaminan yang pihak terbabit disiasat dengan teliti dan dikenakan tindakan sewajarnya jika didapati bertanggungjawab, serta jaminan kontrak seterusnya akan diberi melalui tender terbuka,” katanya.

– Roketkini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.