
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong menyeru kerajaan mengkaji semula dasar baru jawatan Perkhidmatan Awam gred R1 kepada H11 yang mewajibkan kelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebagai syarat kemasukan.
Menurutnya, walaupun langkah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu disambut baik atas usaha menaikkan taraf pekerja peringkat rendah, namun syarat pekeliling itu membawa kesukaran baru kepada pemohon.
“Syarat baru ini membuatkan pemohon dalam kategori ini akan dipinggirkan dalam jawatan tersebut. Mereka rata-ratanya daripada golongan berpendapatan rendah.
“Sebelum ini, jawatan gred R1 hanya mewajibkan kelulusan sekolah rendah dan sepadan dengan jumlah tenaga buruh dengan kelulusan itu lebih kurang 2.1 juta,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau berkata, keduanya, kelulusan PMR tidak diperlukan untuk melaksanakan tugasan jawatan peringkat tersebut walaupun mengikut skop gred yang baru.
“Skop dan bidang tugas Pembantu Awam H11 yang diberi oleh pekeliling dikeluarkan pada 29 Oktober lalu jelas sekali tidak memerlukan kelulusan PMR.
“Antanya kerja-kerja fizikal seperti menyediakan tapak majlis, mengangkut barangan, pemotong rumput, kerja penyenggaraan kerosakan kecil dan pembersihan. Oleh itu, saya gesa mansuhkan syarat kelulusan ini,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan sepatutnya menyediakan peluang latihan kemahiran dan pengetahuan terutamanya kepada pekerja buruh seperti H11 untuk mempertingkatkan keupayaan diri mereka.
Pada 20 Oktober lalu, JPA telah mengeluarkan satu pekeliling di mana pekerja awam gred R1, iaitu peringkat yang paling bawah dalam perkhidmatan, akan diselaraskan bersama penyelamat dan pembantu awam bergred H11.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.