SUDAH LAMA TAK KE TELUK ANSON
Sudah agak lama aku tidak pergi ke Teluk Anson (sekarang dipanggil Teluk Intan). Sebenarnya jikalau aku tak silap, nama sebenar tempat ini ialah Teluk Mak Intan. Ada dua orang sejarawan terkemuka negara yang merupakan penduduk asal Teluk Anson. Prof Khoo Kay Kim dan Prof Zainal Abidin Wahid. Mereka boleh mengesahkannya. Apabila mereka memperkatakan sesuatu mengenai sejarah Teluk Mak Intan, siapa pun tak boleh lawan. Mereka berwibawa dalam hal ini.Teluk Intan bukan kampung aku, tetapi semacam kampung aku juga. Ramai kawan-kawan rapat tinggal di Teluk Intan. Cikgu Nordin Mahmud (sekarang dah Dato’), Tuan Haji Yahaya Othman, Tuan Haji Dollah, Cikgu Bakir ( arwah) dan ramai lagi. Mereka sememangnya kawan rapat. Ingat selalu walaupun dah lama tak jumpa.
Dulu-dulu sememangnya aku amat gemar ke Teluk Intan ataupun apabila pulang ke Padang Rengas melalui Teluk Intan. Ini ‘cerita’ tahun-tahun 80an. Mengapa aku suka melalui Teluk Intan. Ada beberapa sebab.
· Aku dapat menikmati alam yang dihiasai dengan sawah padi terbentang terutama apabila waktu petang ketika matahari hampir terbenam. Dengan sebab itulah aku pastikan mesti sampai di Teluk Intan waktu petang supaya dalam perjalanan aku ke Sabak Bernam aku dapat menikmati suasana alam yang amat indah itu. Mungkin keadaan sedemikian sudah tidak ada lagi. Mungkin agaknya sudah dijadikan kawasan perumahan.
· Nenas Selabak sememangnya manis berbanding dengan nenas-nenas yang terdapat di tempat lain. Oleh itu antara ‘agenda’ aku melalui Teluk Intan adalah untuk membeli nenas di sana disamping membeli buah-buahan lain yang terdapat sepanjang jalan dari Teluk Intan ke Kuala Lumpur.
Kini Teluk Intan sudah menjadi ‘buah mulut’ di seluruh Malaysia disebabkan pilihan raya kecil yang akan diadakan tidak lama lagi. Yang menyebabkan luar biasa ‘riuh-rendah’nya adalah disebabkan calon yang akan bertanding dalam PRK berkenaan. Calon Barisan Nasional agak kurang diperkatakan, walaupun beliau merupakan Presiden parti Gerakan. Yang menjadi heboh ialah disebabkan kehadiran Dyana Sofia dari DAP. Agak aku ramai orang Teluk Intan yang ‘pening’ juga melihatkan keadaan yang wujud. Mereka tidak terfikir yang Teluk Intan akan menjadi begitu popular disebabkan Dyana Sofia.
Dyana terpaksa berhati-hati dalam mengharungsi arus politik yang sentiasa mencabar ini. Terpaksa kena ingat bahawa masyarakat Melayu penuh dengan adat dan tata susila. Kena selalu ingat peribahasa Melayu,’ masuk kandang kambing mengembik dan masuk kandang lembu menguak’. Peribahasa orang putih juga ada mengatakan,’when you are in Rome do what the Romans do’. Tetapi kena ingat juga bahawa anda berada di Teluk Mak Intan! Dan kena ingat juga apabila membuat kenyataan. Peribahasa Melayu juga mengatakan, ‘ terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata bururuk padahnya’. Dan orang tua-tua ada juga berkata, ‘kena ikut rasmi padi, semakin tunduk semakin berisi dan jangan ikut rasmi lalang…”
Aku tidak dapat meramalkan keputusan PRK nanti, tetapi yang pastinya ialah kemunculan Dyana telah menimbulkan ‘huru-hara’ yang agak luar biasa. Yang agak peliknya Tun mahathir pun ‘tumpang semangkuk’ memperkatakan tentang kemunculan Dyana. Kebiasaanya tokoh dan negarawan seperti Tun Mahathir tidak begitu mempedulikan tentang PRK sebegini, apatah lagi apabila calonnya merupakan calon muda. Dan tentulah tidak ‘layak’ agaknya Tun Mahathir mencampuri urusan sedemikian.
Ramai rakyat mula mempersoalkan mengapa Tun Mahathir ‘berkelakuan’ sedemikian. Memberikan komen yang agak pedas kepada ‘ibu bapa UMNO’ yang seolah-olah ‘salah asuh’ anak-anak mereka sehinggakan sanggup ‘menderhaka’ kepada parti UMNO seperti yang dilakukan oleh Dyana. Seolah-olah Tun Mahathir amat bimbang dengan kehadiran Dyana dalam PRK Teluk Intan. Seolah-olah Tun Mahathir sudah dapat merasai sesuatu keadaan buruk akan menimpa parti UMNO (BN) tidak lama lagi.
Hanya Tun Mahathir yang dapat merasakan….
abuhassanadam
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.