KUALA LUMPUR – “Aku akan tembak kau dengan Subramaniam.” Demikian ugutan bunuh yang diterima Naib Presiden MIC, M. Saravanan yang dipercayai dilakukan oleh ahli kumpulan gengster menerusi satu panggilan telefon pada sidang akhbar di ibu pejabat MIC di Menara Manickavasagam di sini semalam.
Ugutan tersebut turut dapat didengar dengan jelas oleh petugas media dan ahli-ahli MIC selepas Saravanan mengaktifkan pembesar suara pada telefon bimbitnya.
Pemanggil tersebut turut menyebut nama Datuk Seri S. Subramaniam kerana Timbalan Presiden MIC berkenaan antara pemimpin yang turut kecewa dengan kepimpinan Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel selepas gagal menyelesaikan isu pemilihan semula parti seperti diarahkan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Panggilan telefon ugutan bunuh berkenaan dibuat selepas lebih 20 orang gengster yang dipercayai diupah orang tertentu cuba menghalang Saravanan, Ketua Wanita MIC, M. Mohana dan Ketua Pemuda MIC, C. Sivarraajh daripada memasuki ibu pejabat MIC sehingga menimbulkan kekecohan dan insiden tolak-menolak.
Saravanan (duduk di tengah), Sivarraajh (duduk di kiri) dan Mohana mengadakan sidang akhbar di ibu pejabat MIC semalam.
Pergaduhan tersebut menyebabkan krisis parti tunjang masyarakat India itu semakin memuncak apabila perselisihan faham antara pemimpin kanan parti tesebut bukan sahaja gagal diselesaikan selepas hampir dua bulan, bahkan kini didakwa melibatkan kumpulan gengster dan ugutan bunuh.
Selain dihalang memasuki ibu pejabat, kekecohan tersebut juga semakin panas apabila ketiga-tiga pemimpin berkenaan dihambur dengan kata-kata kesat.
Saravanan, Mohana dan Sivarraajh bersama para penyokong ketika itu berhasrat mengadakan sidang akhbar khas mengenai usaha untuk menyelamatkan parti tersebut yang dijadualkan berlangsung pada pukul 1 tengah hari. ~kosmo
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.