Anwar memeluk rakannya semasa hadir di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur hari ini. Gambar diambil daripada laman sosial Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Baru sahaja seminggu selepas menjadi 'penghuni' Penjara Sungai Buloh, Datuk Seri Anwar kini 'bebas' seketika hari ini. Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu muncul di Mahkamah Tinggi untuk memberi keterangan dalam kes saman fitnah yang difailkan olehnya terhadap Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di Jalan Duta sebentar tadi.
Kali ini beliau juga bertemu semula dengan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengalahkan pasukan peguamnya dalam kes liwat pada minggu lepas di mahkamah Putrajaya.
Malah Anwar dan Muhammad Shafee juga saling 'berlawan' cakap pada prosiding hari ini ketika ditanya sama ada beliau mengenali bekas Timbalan Pengerusi KFC Holding (M) Bhd, Datuk Ishak Ismail sehingga peguam tersebut menasihati Ketua Umum PKR itu supaya jangan main-main ketika memberikan keterangan.
Anwar kemudiannya memberitahu mahkamah beliau tidak pernah menghantar Ishak sebagai ejen untuk berjumpa Anifah dan meminta beliau melompat parti.
Anwar juga berkata kali terakhir beliau berhubung dengan Ishak pada 2004 apabila Ishak bertemu dengannya di Munich, Jerman. Beliau memberi keterangan dalam kes saman fitnah yang difailkan olehnya terhadap Anifah selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Menteri Luar itu untuk meminda pernyataan pembelaan tambahan berhubung dakwaan bahawa Anwar menawarkan RM100 juta kepadanya untuk melompat parti.
Anwar memakai kemeja putih dan berseluar hitam diiringi beberapa pegawai penjara serta anggota polis, tiba pada 8.50 pagi. Isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, anaknya Nurul Izzah, Nurul Nuha, dan beberapa pemimpin parti pembangkang turut hadir di bilik bicara.
Anwar dibawa oleh pihak polis dari Penjara Sungai Buloh setelah dijatuhi hukuman bermula 10 Februari lepas setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ketua Pembangkang itu kerana meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
Pada 27 Ogos tahun lepas, Anwar selesai memberi keterangan dalam kes saman tersebut namun dipanggil semula hari ini selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Anifah untuk meminda pernyataan pembelaan tambahan berhubung dakwaan Ketua Pembangkang itu menawarkan RM100 juta kepadanya untuk melompat parti.
Dalam kes yang didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah S. Hassan Badjenid ini Anwar diwakili peguam Razlan Hadri Zulkifli manakala Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mewakili Anifah.
Perbicaraan penuh kes tersebut bermula 25 Ogos tahun lepas dan berakhir pada 26 Disember lalu selepas Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi yang merupakan saksi terakhir defendan (Anifah) memberi keterangan.
Bagaimanapun selepas saksi itu selesai memberikan keterangan, Anifah membuat permohonan untuk meminda pernyataan pembelaan tambahannya. Anwar mengemukakan saman terhadap Anifah pada 27 Mei 2009 kerana mendakwa kenyataan anggota Parlimen Kimanis itu pada sidang media di Washington pada 16 Mei 2009 yang turut dihadiri Setiausaha Negara Amerika Syarikat ketika itu, Hillary Clinton telah mencemarkan nama baiknya.
Ketua pembangkang itu mendakwa Anifah menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak layak untuk memegang sebarang jawatan politik atau apa-apa jawatan dan berbahaya kepada masyarakat Malaysia. Anwar juga mendakwa bahawa kenyataan defendan yang dilaporkan secara meluas dalam media tempatan dan asing telah menimbulkan fitnah terhadap perwatakannya dan secara langsung dan tidak langsung menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak beretika, tidak berprinsip dan rasuah.
Hakim kemudiannya menetapkan tarikh 5 Jun ini untuk menetapkan keputusan kes tersebut. Wan Azizah dalam entri di laman sosial memuatnaik gambar suaminya di mahkamah dan mengatakan Anwar semakin kurus.--MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.