`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, April 8, 2016

Selamatkah makanan di kantin sekolah anak saya?

Sejauh mana kita tahu tentang prosedur dan proses penyediaan makanan di kantin sekolah anak kita walaupun kita sebenarnya berhak tahu.
KOMEN
kantinMembaca berita tentang kes keracunan makanan di sebuah sekolah di sebelah timur negara, teringat betapa selamat anak-anak saya sendiri yang dilatih membeli makanan waktu rehat di kantin sekolah.
Saya pernah melihat sendiri pengendali kantin sekolah anak saya membeli beberapa beg makanan segar, mungkin ayam dan makanan laut seperti ikan dan udang dan sayur-sayuran serta lain-lain pada hujung minggu. Sangat besar bungkusannya, mungkin disimpan sebagai stok bekalan seminggu. Mungkinkah?
Saya tidak boleh membuat justifikasi, saya sekadar membuat andaian.
Kalau seminggu, elokkah kualiti ayam itu? Harap-harap bukan bekalan seminggu.
Kembali kepada berita hari ini, kes keracunan makanan di kantin sekolah seolah-olah semakin menjadi-jadi. Loya, muntah, sakit perut, cirit-birit, terlihat ulat sampah, lauk basi, berbau, lebih buruk, ada juga kes terjumpa serpihan kaca. Saya terfikir apakah tahap penjagaan dan kualiti kebersihan di kantin sekolah benar-benar dipantau oleh pihak berwajib?
Kita seakan-akan membudayakan amalan pantau selepas sesuatu kejadian berlaku. Hanya selepas berlaku satu insiden yang tidak diingini itulah, semua orang sibuk pantau. Kita tiada kesedaran untuk membuat pencegahan awal.
Kalau jabatan pendidikan dan kesihatan buat pemantauan sesekali, apakah pihak sekolah tidak buat pemantauan juga? Atau adakah mereka tidak dibenarkan berbuat demikian? Bagaimana dengan pihak Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG)?
Apakah yang menyebabkan kes keracunan makanan begitu berleluasa dan pihak pengendali kantin tidak cukup prihatin dengan tahap kebersihan dan kualiti masakan mereka?
Saya ingin memetik beberapa kes keracunan yang berlaku dalam masa terdekat ini, agak menggerunkan, lebih-lebih lagi sebagai ibu bapa;
Pada 2 Mac yang lalu, Kementerian Pendidikan menggantung kantin sebuah sekolah vernakular selepas mendapati makanan yang disediakan kepada pelajar di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) tercemar dengan serpihan kaca.
Pada 11 September tahun lalu pula seramai 19 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mengalami keracunan makanan selepas makan kari ayam dan ayam masak merah di kantin sekolah sehingga terpaksa mengambil peperiksaan tersebut di Hospital Kuala Kangsar.
Satu lagi kejadian keracunan makanan yang masih baharu pula berlaku di di Sekolah Menengah Sains Tapah membabitkan 63 orang murid dan guru selepas dipercayai memakan roti jala dan kari ayam di dewan makan asrama sekolah.
Untuk rujukan semua, Menteri Kesihatan, Dr. Subramaniam berkata, ibu bapa atau pelajar yang meragui status kebersihan makanan yang dihidangkan di kantin sekolah, supaya memaklumkan kepada pihak sekolah atau membuat laporan kepada Pejabat Kesihatan Daerah.
Laporan juga boleh dilakukan di Jabatan Kesihatan Negeri melalui laman web moh.spab.gov.my atau laman Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di www.facebook.com/bkkmhq.
Menurut beliau pada tahun lalu sebanyak 13,674 pemeriksaan kantin dilaksanakan di seluruh negara dan 66 pengusaha kantin diarah menghentikan operasi di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.
Nampaknya kita sebagai ibu bapa atau pihak yang terlibat dalam sekolah atau bertanggungjawab terhadap kanak-kanak ini diberi pelbagai ruang untuk menunjukkan rasa tidak puas hati dalam hal ini.
Oh, baru saya tahu! Esok juga saya mahu pantau-pantau keadaan kantin sekolah anak saya dan makanan yang disediakan. Tetapi tanggungjawab first-hand iaitu kesedaran untuk memastikan makanan itu bersih dan sihat perlulah datang daripada pengendali kantin atau makanan itu sendiri.
Takkan hari-hari saya boleh pergi periksa makanan di kantin, bukankah begitu?

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.