`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, April 30, 2016

SELEPAS POLIS PENGIRING TUN M DITARIK BALIK, APAKAH JET KERAJAAN PULA DISEKAT SELEPAS INI?

Menurut tulisan yang dikemaskini dalam blog A Kadir Jasin, khidmat polis pengiring bermotosikal untuk Tun Mahathir Mohamad telah ditarik balik oleh kerajaan berkuat kuasa 28 April yang lalu. Namun, khidmat ADC dan Unit Tindakan Khas atau UTK masih dikekalkan.

Walaupun tidak diketahui dengan jelas sebab-sebab tindakan itu diambil, ia dipercayai bagi menyukarkan lagi perjalanan Tun Mahathir untuk menghadiri majlis-majlis yang berkaitan pengumpulan tandatangan Deklarasi Rakyat.

Apa pun sebabnya, penarikan itu tentunya berkaitan dengan pendirian bekas Perdana Menteri itu yang tidak lagi menyokong Najib Razak dan berterusan mendesaknya meletakkan jawatan.

Apa pula selepas ini? Mungkinkah kemudahan lain seperti jet kerajaan juga akan ditarik balik?

Yang jelas, di mata rakyat, tindakan kerajaan itu seperti kebudak-budakkan dan tidak matang. Ia seperti seorang kanak-kanak yang apabila kawan sebelah rumahnya tidak mahu lagi berkawan dengannya, lalu bertindak mengambil balik semua permainan yang selama ini biasa dikongsi bersama.

Selepas jawatan Penasihat Petronas dilucutkan, ini adalah tindakan kebudak-budakan kedua yang diambil Najib terhadap Tun Mahathir.

Tetapi, jika Najib merasakan tindakan menarik khidmat polis pengiring itu akan menyukarkan perjalanan Tun Mahathir dan membuatkannya selalu terperangkap dalam kesesakan jalanraya, simpati dan sokongan yang diterima oleh bekas Perdana Menteri itu mungkin lebih berganda jadinya.

Kecuali penagih dedak yang senantiasa bersetuju, rakyat biasa akan melihatnya suatu layanan melampau kepada seorang negarawan yang banyak berjasa kepada negara.

Bagi seorang bekas Perdana Menteri, khidmat polis pengiring bermotosikal adalah kelayakan yang sepatutnya diterima, malah Tun Abdullah Badawi juga menerima perkhidmatan itu.

Jika khidmat itu ditarik daripada Tun Mahathir yang menentang, apakah ia masih dikekalkan kepada Tun Abdullah yang menyokong Najib?

Kiranya penarikan itu semata-mata kerana mengkritik dan tidak menyokong, tetapi terus dikekalkan kepada Tun Abdullah, ternyata Tun Mahathir jauh lebih berjiwa besar kerana tidak pernah pun mengusik khidmat polis pengiring kepada Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj yang juga tidak menyokong dan selalu mengkritiknya.  (SH).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.