Zainuddin Maidin berkata sekolah tahfiz tumbuh bagai cendawan tetapi dikelola oleh mereka yang tidak ada pendidikan selain agama.
PETALING JAYA: Bekas menteri penerangan hari ini mencadangkan kerajaan mengharamkan semua sekolah tahfiz persendirian, susulan kematian pelajar Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi di sebuah madrasah di Johor dipercayai selepas dipukul sehingga cedera.
Tan Sri Zainuddin Maidin berkata tindakan itu lebih berkesan daripada kenyataan simpati dan takziah oleh pemimpin kerajaan termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Perkembangan sekolah-sekolah tahfiz yang tumbuh seperti cendawan sejak akhir-akhir ini lebih banyak membawa aspek negatif kepada anak-anak Melayu Islam di negara ini. Ramai yang tidak lagi melalui pendidikan formal untuk jaminan masa depan mereka,” kata Zainuddin, yang juga dikenali sebagai Zam, dalam blognya.
“Perkembangan ini berlaku kerana fahaman agama yang sempit di kalangan ibu bapa. Mereka percaya dengan anak mereka menjadi hafiz maka mereka akan terlepas dari neraka terutama bagi ibu bapa yang melakukan dosa yang besar.”
Zam berkata apa yang menimpa Thaqif sepatutnya kesempatan kepada kerajaan untuk bertindak dengan “pantas dan tegas” menilai semula kewujudan sekolah agama dan tahfiz sama ada persendirian mahupun yang menerima bantuan kerajaan.
Semalam, negara digemparkan dengan kematian Thaqif, 11, yang dipotong kedua-dua kakinya, selepas dipercayai dipukul oleh seorang pembantu warden di Madrasah Tahfiz Al Jauhar, Kota Tinggi, Johor.
Thaqif yang mengalami pembekuan darah dijadualkan menjalani pembedahan memotong lengan kirinya. Bagaimanapun, kanak-kanak malang itu meninggal dunia pada jam 2.06 petang. -FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.