`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, July 1, 2018

MALAPETAKA KEDUA MENANTI UMNO?

Tiada apa-apa yang menarik dengan keputusan pemilihan UMNO kali ini. Kemenangan Zahid Hamidi dan Mohamad Hassan sebagai Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidaklah mengejutkan, malah sudah pun dijangka.
Begitu juga bagi jawatan Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi, semuanya tidak menarik dan memberi gambaran UMNO masih sama seperti sebelumnya.
UMNO, meskipun nasibnya sudah berubah daripada kerajaan kepada pembangkang, tetapi sikap, pemikiran dan keputusan perwakilan dalam memilih pemimpin sama sekali tidak berubah.
Gambaran pemilihan kali ini ialah UMNO telah menolak perubahan dan masih kekal dengan stail lama dalam memilih pemimpin di mana politik wang dan “sistem cai”  masih lagi menjadi amalan.
Dengan “sistem cai” yang bersamanya dikatakan turut diselitkan pemberian wang tunai, “sampah sarap” dan “kayu” pun akan turut terpilih sebagai pemimpin jika mereka termasuk dalam senarai tersebut.
Itulah yang terus berlaku dalam UMNO – dulu, kini dan selamanya sama ada di peringkat cawangan, bahagian dan pusat.
Zahid Hamidi yang dipilih memimpin UMNO bukan saja berwatak lemah dan banyak masalah, malah beliau adalah “kroni kanan”  kepada Najib Razak yang sudah ditolak rakyat, malah kedudukannya sebagai pemangku presiden sebelum ini adalah kelebihan baginya untuk meraih kemenangan melalui peranan “warlords” di pelbagai peringkat.
Meskipun UMNO memilihnya sebagai peneraju yang baru, tetapi adakah rakyat di luar UMNO, pengundi atas pagar, anak muda dan pengundi bukan Melayu dapat menerima dan lebih meyakininya?
Siapakah yang dapat meyakini Zahid Hamidi sebagai calon Perdana Menteri untuk pilihanraya akan datang?
Bahkan, kedudukan Zahid Hamidi yang mungkin disiasat oleh pihak berkuasa, sama ada berkaitan wang haram yang diterima oleh UMNO sehingga akaun banknya dibekukan, tentang dana RM2,600 juta yang diterima Najib lantaran beliau mengaku pernah berjumpa dengan waris keluarga penderma, berkaitan urusan kemasukan pendatang Bangladesh atau lain-lain perkara yang belum kita ketahui,  keadaan ini sekaligus meletakkan UMNO selepas ini dalam kedudukan yang bahaya sekali lagi.
Apakah, selepas Najib terpaksa mengundurkan diri kerana kalah pilihanraya dan terlibat  dalam skandal kewangan terbesar melibatkan dirinya, UMNO harus menerima satu lagi “malapetaka” disebabkan seorang lagi presidennya turut disiasat dan terpaksa mengundurkan diri?
Jika pun tidak disiasat, mampukah UMNO berdepan dengan pelbagai isu yang melibatkan Zahid Hamidi jika ianya dijadikan isu berterusan oleh Pakatan Harapan?
Yang tidak kurang malangnya bagi UMNO, meskipun keputusan rasmi belum dikeluarkan lagi, ialah juga mengenai barisan kepimpinan yang dipilih sebagai Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.
Semua mereka yang terpilih adalah kalangan yang kuat menyokong, membodek dan mengampu Najib sebelum ini, walaupun ketika itu skandal berkaitan bekas Perdana Menteri itu, isterinya dan keluarganya sudah pun menjadi bahan berita serta bualan di seluruh dunia.
Apakah yang mereka ini mampu tawarkan untuk memulihkan imej UMNO jika kesalahan Najib yang terang lagi nyata pun mereka sanggup terus menyokongnya?
Kebimbangan lain ialah jika sebelum ini mereka sanggup mempertahan perkara yang tidak betul dan bersekongkol dengan salah laku Najib, apakah tidak mungkin sikap itu akan berterusan ada dalam diri mereka sampai bila-bila?
Selain itu, bagaimana jika majoriti Ahli Majlis Tertinggi yang terpilih kali ini turut terbukti pernah menerima wang haram 1MDB daripada Najib dan merupakan sebahagian daripada 900 pemilik akaun bank yang sudah dibekukan oleh SPRM?
Apakah nasib dan kedudukan mereka selepas ini?
Yang nyata, oleh kerana UMNO telah menolak perubahan dengan memilih barisan kepimpinannya yang lemah serta ada masalah untuk menerajui parti itu, keputusan pemilihan kali ini juga adalah suatu “kegembiraan”  buat Tun Mahathir dan Pakatan Harapan.
Pakatan Harapan nampaknya mempunyai kerja yang lebih senang untuk terus kekal berkuasa berbanding mereka yang dianggap “saki baki penyamun” juga yang mewarisi kepimpinan UMNO ketika ini.
http://shahbudindotcom.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.