Persatuan Patriot Kebangsaan atau Patriot akhirnya tampil sebagai pihak pertama yang membuat laporan polis berhubung surat memohon agar Amerika Syarikat menyokong kerajaan BN pimpinan Najib Razak yang ditulis dan ditandatangani oleh Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri, Hasanah Ab.Hamid kepada Pengarah CIA, Gina Haspel lima hari sebelum hari pengundian PRU14 pada 9 Mei lalu.
Laporan polis tersebut dibuat di ibu pejabat polis daerah Subang Jaya, hari ini.
Dalam laporan polisnya Patriot menuntut agar Hasanah disiasat dengan segera untuk menjelaskan mengenai surat yang ditulis dan ditandatanganinya kepada Pengarah CIA itu.
“Ia adalah kesalahan serius dan berbentuk pengkhianatan kepada negara apabila menjemput pihak luar untuk campurtangan dalam hal ehwal dalaman negara.
“Di manakah kesetian Hasanah kepada negara ini?” soal Presiden Patriot, Mohamed Arshad Raji.
Selain mempersoalkan apakah pertolongan yang diharapkan daripada CIA dan Amerika Syarikat, Patriot juga mahukan jawapan sama ada Hasanah menulis serta menandatangani surat itu atas arahan pihak tertentu atau beliau mendapat imbuhan daripadanya?
“Semua itu perlukan jawapan,” tegas Mohamad Arshad lagi.
Dengan adanya laporan polis oleh Patriot ini, tiada sebab lagi bagi pihak polis untuk tidak bertindak dengan segera membuka kertas siasatan dan memanggil Hasanah bagi tujuan penyiasatan.
Sementara itu, satu sumber lain memberitahu bahawa berikutan adanya laporan polis oleh Patriot itu, pihak polis sudah pun membuka kertas siasatannya ketika ini.
Apa pun, syabas kepada pihak polis atas tindakan pantas ini dan rakyat kini tidak sabar lagi untuk melihat sesiapa juga yang dianggap pengkhianat kepada negara dibawa ke muka pengadilan dengan segera dan seterusnya dihukum sewajarnya.
– http://shahbudindotcom.blogspot.com
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.