`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, June 14, 2020

ANWAR-MUKHRIZ – NOT THE BEST COMBO – BUT STILL BETTER THAN MAHATHIR-ANWAR: BERBANDING TUN M/ANWAR, GANDINGAN ANWAR/MUKHRIZ LEBIH MENGUJAKAN UNTUK DITERIMA

Apa yang semua orang fahami sekarang ini, ada dua gandingan calon PM dan TPM untuk ditonjolkan dalam usaha menjadikan PH sebagai kerajaan semula.
Pertama, calon PM ialah Tun Mahathir Mohamad dan TPM adalah Anwar Ibrahim.
Kedua, calon PM adalah Anwar dengan nama TPM yang digandingkan dengannya ialah Mukhriz Mahathir.
Bagi cadangan pertama, oleh kerana Tun Mahathir dikatakan hanya mahu menjadi PM bagi tempoh sementara iaitu antara enam bulan hingga setahun dan Anwar akan mengambil alih jawatan selepas itu, Presiden PKR itu turut diberikan jawatan Menteri Kewangan sebagai pengesahan yang lebih kukuh bahawa janji tidak lagi dipermain-mainkan seperti dulu.
Untuk cadangan yang kedua, ada pula tambahannya iaitu meletakkan Presiden Warisan, Shafie Apdal sebagai TPM kedua bagi memperkukuh lagi hubungan Borneo dengan Semenanjung.
Begitu pun, bagi cadangan pertama, jawatan TPM kedua dikatakan tidak diperlukan kerana gandingan tersebut hanyalah sementara dan jawatan TPM kedua itu boleh dipertimbangkan semula setelah Anwar menjadi Perdana Menteri.
Walaupun PH kekal komited dengan Anwar sebagai calon PM, tetapi apabila perbincangan mengenai perkara itu melibatkan sama Bersatu dan Warisan dalam apa yang dikenali sebagai PH Plus, keputusan muktamad belum lagi dapat dicapai.
Ini berikutan Tun Mahathir masih mahu menjadi PM semula dengan janji hanya buat sementara dan akan melakukan peralihan kuasa kepada Anwar dalam tempoh antara enam bulan hingga setahun selepas itu.
Memandangkan kedua-dua pihak iaitu PH di satu pihak dan Bersatu serta Warisan yang bukan anggota PH di pihak lain akur bahawa tanpa sebarang kerjasama antara mereka, usaha menumbangkan PN adalah sesuatu yang mustahil, maka itulah perbincangan untuk mencapai keputusan muktamad perlu dilakukan.
Setelah beberapa siri mesyuarat dan perbincangan aktif, difahamkan keputusan muktamad akan diumumkan pada Selasa depan.
Sesungguhnya PH dan PH Plus tidak boleh lagi bertangguh dalam soal ini kerana rakyat tidak boleh menunggu lebih lama untuk mengetahuinya.
Setelah calon PM dan TPM diputuskan, usaha bersepadu boleh terus digerakkan untuk mengambil alih kerajaan dengan sesegera yang mungkin.
Harapan rakyat juga amat tinggi terhadap usaha itu, bukan saja kerana PH yang memperolehi mandat sebenar sebagai kerajaan, tetapi juga berikutan terlalu banyak caca marba dan kebobrokan yang menyesakkan nafas dalam kerajaan tebuk atap PN yang diketuai oleh Muhyiddin Yassin sekarang ini.
Tetapi, di antara kedua-dua cadangan calon yang masih menjadi perbincangan itu, yang manakah lebih baik, mengujakan serta patut dijadikan pilihan?
Walaupun gandingan Tun Mahathir/Anwar adalah jelmaan era BN 1993-1998 di mana banyak kejayaan dan kecemerlangan dicapai ketika itu, memilih mereka semula lebih menunjukkan PH Plus tidak progresif, malah cuba mengundur ke belakang.
Kejayaan masa lalu gandingan itu tidak boleh dijadikan ukuran bahawa kejayaan sama pasti akan berulang lantaran zaman dan cabaran yang banyak berbeza antara dahulu dan sekarang.
Lebih-lebih lagi kerana PH begitu menjunjung tinggi semangat reformasi dan Tun Mahathir yang diberi peluang menjadi PM selama 22 bulan bersamanya dilihat begitu perlahan, kalau pun tidak mahu dikata gagal dalam melakukan perubahan yang diharap-harapkan oleh rakyat.
Dengan itu, ramai yang skeptikal jika PH Plus tetap mahu menonjolkan Tun Mahathir sebagai PM lagi buat kali yang ketiga.
Kebimbangan lain ialah mungkin Tun Mahathir berperangai lama semula setelah beroleh kuasa dengan melengah-lengahkan atau mencipta pelbagai helah untuk sekali lagi mengelakkan peralihan kuasa.
Dalam hal ini, ramai yang tidak lupa bagaimana Tun Mahathir bukan saja menolak keras, bahkan mengakui menjadi marah apabila diberitakan Anwar mahu menuntut kerusi TPM ketika proses peralihan kuasa sedang hangat diperdebatkan sebelum itu.
Tidak itu saja, dalam pusingan kedua pemilihan calon PM kepada Yang Dipertuan Agong setelah beliau meletakkan jawatan pada 24 Februari lalu di mana pada pusingan pertama tiada mana-mana calon memperolehi sokongan majoriti, Tun Mahathir masih tetap menolak Anwar sebagai calon timbalannya.
Setelah Muhyiddin dipilih sebagai PM kemudiannya, dalam interbiu dengan sebuah portal harian, Tun Mahathir yang sudah hilang jawatan sekali lagi menibai Anwar dengan menganggap Presiden PKR itu sebagai liberal serta tidak boleh diterima oleh orang-orang Melayu sebagai pemimpin
Makna kata, sama ada semasa menjadi PM atau setelah hilang jawatan PM, Tun Mahathir seolah-olah ada kebencian yang terpendam terhadap Anwar.
Lantaran itu, ramai yang bimbang jika PH lupa kepada sejarah dan sedia mengalah dengan mencalonkan semula Tun Mahathir sebagai PM dan meskipun Anwar diletakkan sebagai TPM serta Menteri Kewangan untuk memberi gambaran sebagai penggantinya yang sah, sukar untuk menidakkan tragedi lama tidak berulang kembali.
Tun Mahathir – dulu, kini dan selamanya dipercayai oleh majoriti rakyat Makaysia adalah orang yang sama dan tidak pernah berubah dari segi perangai, hati perut dan dendamnya.
Oleh yang demikian, sesuai dengan semangat reformasi yang dijunjung oleh PH, maka PH Plus seharusnya lebih bersedia meletakkan Anwar sebagai calon PM bersama gandingan dua TPM iaitu Mukhriz dan Shafie.
Gandingan ini bukan saja lebih baik dalam menepati perjuangan reformasi, bahkan memperlihatkan PH Plus benar-benar bergerak ke hadapan dalam menonjolkan calon muda untuk mentadbir negara.
Tun Mahathir dalam hal ini boleh memainkan aktif seperti biasa, tidak saja dalam usaha menumbangkan PN dan mengembalikan PH sebagai kerajaan semula, bahkan mungkin boleh dipertimbangkan jawatan lain sebagai Menteri Mentor misalnya dalam kerajaan baru nanti.
Ini bukan saja menjadikan perjuangannya lebih disanjungi dan menampakkan lebih keikhlasannya terhadap Anwar, bahkan suatu pengorbanan untuk memberi laluan kepada anaknya sendiri, Mukhriz melangkah lebih jauh mencipta nama dalam dunia politik.
Yang pasti, mencalonkan Anwar sebagai PM akan membuatkan rakyat lebih teruja menanti dan menerimanya berbanding meletakkan sekali lagi Tun Mahathir ke puncak kuasa buat kali yang ketiga.
-https://shahbudindotcom.net/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.