Catatan Facebook wartawan veteran A Kadir Jasin begini bunyinya: “Pasal ‘kartel’ polis ni cakap siapa nak percaya? KPN atau Menteri Dalam Negeri. KPN kata ada. MDN nafi”.
Ini perkara serius. Ketua polis negara mendakwa ada kartel yang mahu menjatuhkannya. Menteri Dalam Negeri Hamzan Zainuddin kata beliau tak tau menahu. Lantas, mahu KPN beri laporan penuh kepada beliau.
Dakwaan Abdul Hamid Bador bukan “pendedahan” baharu. Sebenarnya Hamid mula-mula bercakap mengenai “kartel” awal Januari lagi. Dalam wawancara dengan Utusan Malaysia ketika itu Hamid mendakwa ada “kartel polis kotor” dalam PDRM.
Menurut beliau, pegawai kanan peringkat pertengahan di belakang “kartel” berkenaan. Kata Hamid, “kartel” itu mahu memastikan rakan-rakan yang bersekongkol dengan mereka dinaikkan pangkat, mempunyai kuasa untuk menentukan hieraki atau kepimpinan polis bagi membolehkan mereka menjalankan “kerja kotor” mereka. Lalu beliau berikrar akan memerangi gejala buruk dalaman itu.
Badan bukan kerjaan – EDICT – ketika memberi reaksi terhadap dakwaan Hamid melihat isu itu “seolah-olah tidak mendapat perhatian atau sokongan pihak berkepentingan”. Atau “stakeholders”.
NGO itu menasihati Hamid supaya membuat laporan polis. Sejak Januari, tidak dapat dipastikan sama ada KPN ada buat aduan polis atau tidak. Kemungkinan tidak, sehingga sekarang, jika diambil kira kenyataan Hamzah yang mahu KPN beri laporan penuh kepadanya.
Dua hari lalu, Hamid mengakui belum membuat laporan polis kerana “belum sampai ke situ (laporan polis) saya kena dedahkan dahulu dan saya berani dedahkan sebab saya ada bukti-bukti”.
Kata beliau “perkara ini telah dikesan sejak tahun lalu lagi (2020)”. Sejak itu apa yang telah dilakukan? Mengapa tidak ada laporan?
“Jadi saya perlu dedahkan kepada masyarakat kerana PDRM adalah hak rakyat bukannya hak individu tertentu, pendedahan ini perlu agar dapat mengekang mereka daripada mempengaruhi individu lain sehngga tidak dapat dikawal dan menjadi barah,” Hamid dipetik berkata Khamis lalu.
Apa dikata beliau membuka ruang untuk pelbagai intepretasi, spekulasi, serta persoalan. Yang jelas ada yang tersurat dan tersirat. Banyak diperkatakan tanpa banyak berkata-kata.
Setakat ini antara apa yang didedahkan Hamid ialah:
Ada gerakan sulit dijalankan pegawai polis untuk cuba mencatur keadaan dan mencemar imejnya bagi menjatuhkan beliau. Siapa? Hamid tidak mendedahkan. Cuma berkata ada pegawai muda terbabit. Bagaimana pegawai itu boleh mengugat beliau tidak diketahui setakat ini.
Mengapa mereka mahu menjatuhkan beliau? Seperti dikatakan tadi, menurut Hamid bagi membolehkan atau memudahkan mereka menjalankan “kerja kotor”.
“Kartel” itu kata Hamid mendapat bantuan “luar”. Siapa? Apa maksud “luar”? Adakah pihak luar polis? Lebih menakutkan adakah “luar” bermaksud negara luar? Hamid bagaimanapun tidak memberitahu siapa golongan “luar” yang dimaksudkan.
Ada lagi dakwaan tetapi empat perkara itu pun sudah cukup memeranjatan. Apa yang Hamid dakwa adalah perkara besar. Serius.
Setahu umum, sebelum ini tidak pernah ada komplot atau gerakan sulit untuk menjatuhkan seseorang ketua polis negara – pegawai tertinggi PDRM.
Dakwaan Hamid amat membimbangkan malah menakutkan. Bayangkan, ada kumpulan polis kotor yang mahu menentukan penguasaan polis untuk menjalankan “kerja kotor”.
Tindakan tegas mesti diambil untuk menyiasat apa yang sudah dan sedang berlaku. Masalahnya Hamid belum buat laporan polis. Hamzah pula masih menunggu kerana katanya tidak tahu apa-apa mengenai “kartel” yang diperkatakan.
Oleh itu saya setuju saranan EDICT agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan Hamid.
Bagi EDICT, dengan membuat pendedahannya, Hamid seolah-olah merayu kepada kerajaan supaya mengambil tindakan cepat. Jika apa yang dikata EDICT itu betul, ia mengecewakan kerana tiga bulan sudah berlalu sejak Hamid mula-mula membuat “rayuannya”.
Badan bukan kerajaan itu percaya “kartel” yang dimaksudkan mempunyai “tangan” di setiap jabatan di PDRM dan oleh itu wajar satu badan bebas seperti RCI menyiasat dan mengenal pasti siapa yang terbabit (jika kartel itu wujud).
Ada logiknya pandangan EDICT bahawa dalam kedaaan seperti ini kerajaan tidak boleh bergantung kepada polis untuk menyiasat orang sendiri. Dalam erti kata lain, polis siasat polis agak sukar ketika anggota “kartel” mungkin sudah menguasai jabatan tertentu dalam PDRM.
Ini bukan bererti situasi polis siasat polis tidak pernah berlaku. Ia ada dijalankan tetapi mungkin tidak membabitkan isu sebesar ini.
“Jika kerajaan terus menunjukkan mereka seolah tidak peduli, kita bimbang negara akan dikuasai golongan penguatkuasa beruniform yang kejam yang akan menjejas keamanan negara,” kata EDICT.
Kesimpulannya kerajaan mesti bertindak sekarang. Jangan berlengah.
OK, seperkara lagi. Hamid dijadual bersara Mei ini. Cepat siasat dakwaan beliau. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.