`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, March 26, 2021

Persoalan selepas PAU

 

Esok Perhimpunan Agong Umno diadakan dan apabila tirai dilabuh Ahad ini, Umno, jika tidak ada aral melintang akan secara rasmi memutuskan hubungan dengan PPBM.

Jika ikut rancangan asalnya, hubungan Umno dengan PPBM pimpinan Muhyiddin Yassin hanya dijalin sehingga Parlimen dibubarkan untuk PRU15 diadakan. Oleh itu PAU kali ini dijangka mengesahkan dan menyokong (endorse) pendirian itu. Melainkan sesuatu drastik berlaku. Umpamanya ada desakan hubungan dengan PPBM diputus serta-merta.

Pemimpin tertinggi Umno termasuk Presiden Ahmad Zahid Hamidi, bekas presiden Najib Razak, dan tokoh veteran yang hampir menjadi presiden suatu ketika dahulu, Tengku Razaleigh Hamzah, mengulangi pendirian Umno akan dengar suara akar umbi semasa mereka mengadakan pertemuan beberapa hari sebelum PAU.

Akar umbi dilihat mahu hubungan dengan PPBM diputuskan. Walaupun Annuar Musa pemimpin Umno pro-PPBM mendakwa sebahagian besar Umno bahagian yang mahukan itu berbuat demikian atas arahan. Arahan siapa? Tidak pula disebut beliau.

Apa pun pasti di PAU, tim Annuar atau pro-PPBM akan tetap menyatakan bantahan mereka dan mahu Umno meneruskan kerjasama dengan PPBM. Cuma sekuat manakah mereka? Sejauh mana keberkesanan mereka?

Namun persoalannya ialah apa langkah mereka seterusnya jika atau apabila hasrat mereka tidak kecapaian? Khususnya Annuar sendiri.

Jika (saya ulang jika) Annuar ada memendam rasa untuk mendapatkan jawatan presiden pada pemilihan Umno kelak, tanda-tanda untuk beliau berjaya tidak memberangsangkan.

Lihat sahaja di Kelantan negeri kelahiran beliau. Dua belas daripada 13 Umno bahagian mahu hubungan Umno dengan PPBM diputuskan. Bahagian tunggal yang membuat pendirian berbeza ialah Ketereh. Umum tahu siapa ketua Umno Ketereh. Itu menceritakan segala-galanya.

Sebelum itu pun menurut pemerhati politik, Annuar dilihat sebagai tidak berpengaruh (influential) terutama dalam kalangan akar umbi Umno bukan sahaja di Kelantan tetapi secara keseluruhan.

Namun beliau sekarang adalah menteri kerajaan Perikatan Nasional.

Adakah beliau akan keluar Umno masuk PPBM apblila PRU15 diadakan? Bagaimana pula penyokongnya di Ketereh?

Persoalan lebih besar ialah langkah Umno selepas PAU.

Ketetapan mesti dibuat mengenai hubungan dengan PAS dan status Muafakat Nasional. Ramai dalam Umno mahu Muafakat Nasional diperkukuhkan. Tetapi mereka mahu MN dianggotai Umno dan PAS sahaja. PAS pula seperti kita tahu mahu PPBM bersama. MN dia mahu Perikatan Nasional pun di mahu.

Jelas Umno sudah bosan. Lantas ada pihak dalam Umno lantang mendesak PAS menyatakan secara terbuka dan mutlak pilih Umno atau PPBM. Main dua kolam tak main lah kata mereka.

Timbul persoalan adakah Umno akan bersendirian menghadapi PRU15? Berdepan dengan PAS? Tentunya menentang PPBM di kawasan yang pernah dimilikinya.

Atau adakah Umno akan wujudkan gabungan politik baharu? Bekerjasama dengan siapa? Gabungan itu mesti mengambil kira pembabitan parti politik Sabah dan Sarawak. Umno ada di Sabah tetapi tidak di Sarawak.

Yang heboh kita dengar pakatan Umno dengan PKR dan DAP. Ini sudah dinafi pemimpin Umno yang “tegas” No Anwar No DAP. Tetapi cakap-cakap mengenai kerjasama itu masih kedengaran.

Beberapa pemerhati politik beranggapan kerjasama Umno-PKR-DAP-Amanah adalah gabungan yang sekuat BN pada zaman kegemilanganya dulu. Tetapi mereka akui untuk merealisasikan gandingan itu sesuatu yang sukar. Walau pun bukan mustahil kerana dalam politik tidak ada yang mustahil.

PAU kali ni akan “membincangkan” semua persoalan yang disenaraikan dan banyak lagi. Tetapi hanya ketetapan mengenai hubungan Umno-PPBM yang akan dibuat dengan jelas. Jawapan kepada persoalan lain tidak akan diperlihatkan. Tak kan Umno nak tunjuk semua langkahnya, betul tak?

Namun jika (diulangi jika) memang ada aral yang melintang pada PAU ini, bukan sahaja Zahid sahaja, Umno juga ada masalah besar. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.