`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, March 16, 2021

Warga asing hanya divaksin selepas 70% penduduk Sabah menerimanya, kata Masidi

 

Masidi Manjun menegaskan semua penduduk di Sabah sama ada tempatan atau warga asing termasuk yang tiada dokumen akan diberi vaksin demi keselamatan semua. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Masidi Manjun berkata, penduduk warga asing di Sabah dirancang akan diberi vaksinasi Covid-19 selepas liputan vaksinasi di kalangan penduduk tempatan mencapai 70%.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu masih dalam perbincangan antara kerajaan negeri dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta semua agensi berkaitan.

“Saya ingin tegaskan, semua penduduk di Sabah sama ada tempatan atau warga asing termasuk yang tiada dokumen akan diberi vaksin kerana ini demi keselamatan semua.

“Bagi program vaksinasi untuk warga asing yang tidak mempunyai dokumen atau tiada dalam data Jabatan Imigresen, kerajaan negeri bersama MKN sedang memperhalusi mekanisme pendaftaran mereka dan perkembangan lanjut akan dikongsikan selepas terdapatnya keputusan kelak.

“Sementara itu warga asing yang mempunyai dokumen pekerjaan atau perjalanan (ekspatriat) yang tinggal di Sabah boleh mendaftar seperti rakyat biasa dan mereka akan dijadualkan mengikut kategori umur serta risiko komorbiditi, iaitu fasa 2 untuk warga emas, pesakit kronik serta OKU (orang kurang upaya) dan fasa 3 untuk dewasa yang berumur 18 tahun ke atas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media perkembangan Covid-19 di Sabah yang diadakan menerusi aplikasi Zoom, hari ini.

Masidi berkata, setakat hari ini, 28,445 orang telah diberikan dos pertama vaksin Covid-19 di Sabah iaitu 67.5% daripada keseluruhan senarai anggota barisan hadapan di negeri itu.

“Setakat hari ini juga, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) telah menerima 470 laporan kesan sampingan yang dilaporkan menerusi aplikasi MySejahtera, laman sesawang Bahagian Regulatori Fasmasi Negara (NPRA) dan melalui Sistem Maklumat Farmasi (PhIS).

“Kebanyakan daripada mereka yang mengalami kesan sampingan hanya melaporkan kesan yang ringan dan tidak membahayakan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Masidi berkata, setakat ini, kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Negeri Sabah masih belum membenarkan aktiviti gelembung perjalanan antara negeri PKPP.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu akan dibincangkan semula dalam jawatankuasa berkenaan apabila angka jangkitan di negeri itu benar-benar telah stabil. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.