`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, May 24, 2021

Nikah, demam, alasan 10,000 tak hadir janji temu vaksin di Kelantan

 

Exco Kelantan berkata, tindakan tidak menghadiri janji temu vaksinasi turut mengakibatkan pembaziran dos vaksin Covid-19.

PETALING JAYA: Bernikah dan demam antara alasan diberikan 10,000 pendaftar vaksin Covid-19 di Kelantan yang tidak menghadiri janji temu menerima suntikan setakat semalam, kata Exco negeri, Izani Husin.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan itu berkata, ia amat mendukacitakan pelbagai pihak, terutama Jabatan Kesihatan Kelantan (JKNK) yang berusaha sedaya upaya menguruskan proses vaksinasi sebaik mungkin.

Katanya, tindakan itu turut mengakibatkan pembaziran dos vaksin.

“Pelbagai alasan yang mereka berikan seperti nak tukar tarikh, demam, nak bernikahlah, akhirnya Jabatan Kesihatan yang susah sebab dah atur elok, tetapi sampai masanya, mereka tidak hadir,” katanya dipetik Bernama di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Oleh itu, beliau menggesa mereka yang sudah mendaftar untuk memberikan kerjasama kepada JKNK dengan menepati janji temu suntikan vaksin dan yang belum berdaftar supaya berbuat demikian melalui saluran sedia ada, termasuk aplikasi MySejahtera dalam usaha kerajaan mewujudkan kelompok imuniti.

“Saya harap lebih ramai penduduk mendaftar bagi program imunisasi ini kerana Insya-Allah, Kelantan akan menerima bekalan vaksin Sinovac dalam kuantiti yang banyak pada Jun ini,” katanya sambil mengingatkan pihak tidak bertanggungjawab supaya berhenti menyebarkan berita palsu berkaitan vaksin Covid-19.

Mengenai pematuhan SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) di Kelantan, Izani berkata, ia masih di tahap rendah sehingga berlaku trend peningkatan kes harian Covid-19 yang mencecah tiga angka sejak kebelakangan ini.

“Kita semua gagal (patuh) SOP (bermula) daripada rakyat, peniaga, di masjid dan semua golongan. Itulah jadinya apabila kita semua tidak mendengar nasihat ulama, mufti dan pakar perubatan dalam hal ini.

“Jadi, saya meminta semua rakyat, terutama di Kelantan, patuh kepada SOP, termasuk menjadi ‘ejen kerajaan’ dengan bantu mengingatkan satu sama lain untuk ikut SOP dalam membendung penularan wabak ini.”

Semalam, Kelantan merekodkan sebanyak 626 kes harian baharu Covid-19 menjadikan kumulatif kes kepada 22,546 dengan kluster yang masih aktif sebanyak 56. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.