`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, May 24, 2021

Tawaran Shafie mungkin ‘epal beracun’ untuk kembali berkuasa, kata Pemuda Bersatu

 

Ceasar Mandela Malakun berkata, tiada alasan untuk mana-mana parti komponen Gabungan Rakyat Sabah bekerjasama dengan Shafie Apdal dan Warisan yang mempunyai ideologi serta pendekatan bertentangan.

KOTA KINABALU: Naib Ketua Pemuda Bersatu, Ceasar Mandela Malakun menggesa semua parti berasaskan Kadazan Dusun Murut (KDM) tidak terjerat kepada agenda politik Presiden Warisan, Shafie Apdal yang mementingkan dirinya.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Mandela, mendakwa Shafie menggunakan umpan untuk memecah-belahkan pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan mencetuskan ketidakstabilan dalam kerajaan negeri.

“Jadi, mereka perlu berhati-hati dengan tawaran untuk berdamai Shafie yang kononnya demi kebaikan Sabah. Mungkin ia adalah epal beracun yang Shafie tawarkan bagi membolehkan dirinya kembali berkuasa.

“Tiada alasan untuk mana-mana parti komponen GRS bekerjasama dengan Shafie dan Warisan kerana ideologi serta pendekatan mereka bertentangan dengan kita,” katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini, Shafie menyuarakan hasrat untuk menjalin kerjasama dengan PBS demi kebaikan Sabah dan hak negeri itu.

Susulan itu juga, Presiden PBS, Maximus Ongkili turut menyuarakan kesediaan parti itu untuk bekerjasama dengan mana-mana parti pembangkang, termasuk Warisan.

Bagaimanapun, Ongkili selepas itu mengulangi komitmennya untuk terus teguh bersama GRS yang dipimpin Ketua Menteri Hajiji Noor.

Mandela berkata, rakyat Sabah berpendirian tegas terhadap “kelembutan” Warisan ke atas pendatang asing tanpa izin (PATI), melalui bantahan Pas Sementara Sabah (PSS) yang dicadangkan parti itu ketika menjadi kerajaan negeri.

Katanya, rakyat turut menghantar mesej jelas kepada Warisan yang orang Sabah tidak akan menggadaikan negeri itu kepada PATI kerana Sabah milik rakyatnya yang perlu dilindungi demi generasi akan datang.

Beliau berkata, senarai rasa tidak puas hati orang Sabah terhadap Shafie dan kerajaan negeri pimpinan Warisan terdahulu adalah panjang dan diterjemahkan dalam undi pada pilihan raya negeri 2020.

“Majoriti rakyat Sabah mengundi untuk menyingkirkan Shafie dan kerajaan negeri pimpinan Warisan.

“Kita juga tidak boleh lupa pengundi KDM memainkan peranan penting dalam menghancurkan rejim Shafie. Mereka ternyata memandang enteng undi KDM dan terlalu yakin boleh memenangi banyak kerusi di kawasan Orang Asal.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.