`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, May 19, 2021

Ziarah raya tetap salah, jangan spekulasi, kata polis

 

Ketua Polis Daerah Brickfields, Anuar Omar berkata, polis tidak pernah mempertahankan pihak yang melakukan kesalahan, termasuk selebriti mahupun orang kenamaan, jika menerima laporan berkaitannya.

PETALING JAYA: Aktiviti ziarah sepanjang Aidilfitri adalah satu kesalahan dan tidak dibenarkan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), kata Ketua Polis Daerah Brickfields, Anuar Omar.

Beliau meminta orang ramai, khususnya warganet tidak membuat tafsiran salah berhubung kesalahan itu, termasuk spekulasi berhubung video tular membabitkan selebriti Noor Neelofa Mohd Noor sebelum ini.

Katanya, tuduhan polis cuba mempertahankan kesalahan selebriti itu dan keluarganya yang melanggar SOP berkaitan larangan ziarah Aidilfitri, tidak benar.

“Jangan sengaja putar belit kenyataan itu, yang saya maksudkan pergerakan dalam Kuala Lumpur sahaja tidak perlu surat rentas daerah. Apa yang berlaku kepada Neelofa dan keluarga adalah kesalahan kunjung-mengunjung.

“Ia jelas melanggar arahan dan SOP Majlis Keselamatan Negara, iaitu tidak boleh melakukan kunjungan dan ziarah pada hari raya,” katanya kepada FMT susulan kekeliruan orang ramai berhubung kenyataan membabitkan pelanggaran SOP Aidilfitri Neelofa dan keluarganya.

Terdahulu, video Neelofa dan keluarganya dikatakan menyambut 1 Syawal bersama di sebuah rumah di Pinggir Zaaba, Taman Tun Dr Ismail tular di media sosial.

Susulan itu, polis mengambil keterangan daripada 10 ahli keluarga Neelofa semalam.

Anuar berkata, siasatan terhadap selebriti itu dan keluarganya sudah selesai dan dirujuk ke Bukit Aman untuk tindakan lanjut.

Katanya, polis tidak pernah mempertahankan pihak yang melakukan kesalahan, termasuk selebriti mahupun orang kenamaan, jika menerima laporan berkaitannya.

Susulan tindakan Neelofa yang berulang kali melanggar SOP PKP, warganet mengkritiknya gilakan perhatian.

Malah, ada yang mempersoalkan kenyataan polis menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung video tular membabitkan keluarga selebriti itu dan mematuhi peraturan ditetapkan.

Pengguna Twitter @mohamad_rol berkata, “Keluarga selebriti ini seperti memperlekeh atau tidak menghormati kedaulatan undang-undang dengan berkali-kali melanggar SOP. Tindakan lebih keras perlu diambil untuk mereka ini jika terbukti. Mungkin wang untuk bayar kompaun tu tiada masalah, tapi selebriti ni tunjuk pekung.”

Seorang lagi pengguna @Ezuanroslam mempertahankan penjelasan polis dengan berkata: “Jangan lawan la cakap polis. Kita tunggu la hasil siasatan.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.