Teka-teki ialah penyataan atau soalan yang mempunyai pembayang tertentu bagi tujuan menduga akal seseorang. Kebiasaannya, teka-teki mempunyai jawapan yang menarik, unik, atau kelakar.
Namun apa yang saya bentangkan di sini bukan teka-teki. Ini “teka-teka”. Saya beri pembayang dan anda teka apa jawapannya. Lebih tepat, teka siapa yang dimaksudkan.
Perlu diingat tidak ada hadiah untuk anda yang teka dengan betul. Lagi pun hadiah bukan segala-galanya. Bak kata pengasas Sukan Olimpik moden, Pierre de Coubertin: “Yang paling penting dalam Sukan Olimpik ialah bukan untuk menang tetapi mengambil bahagian”.
Sebenarnya, beliau juga berkata: “Yang paling penting dalam kehidupan ialah bukan menakluki tetapi berlawan dengan hebat”.
Ayuh kita mulakan permainan teka-teka. Jawapan anda tidak perlu dihantar kepada sesiapa. Simpan untuk membuktikan anda tahu apa yang sedang berlaku. Jom mula cuba teka siapa.
- Seorang anggota pentadbiran Muhyiddin Yassin yang pada waktu pandemik berjaya keluar negara untuk bersama keluarganya. Duduk di negara itu untuk sekian lama dan habiskan cuti panjang yang diizinkan bosnya. Siapa?
- Seorang menteri yang keluar negara dikatakan atas urusan rasmi tetapi bila pulang ke tanah air melanggar SOP, khususnya peraturan wajib kuarantin yang ditetapkan kerajaan. Beliau kemudiannya dikompaun. Siapa?
- Seorang menteri yang dihormati ramai menghadiri majlis di kediaman artis terkenal. Beliau kemudian dikompaun. Denda RM2,000. Siapa?
- Seorang menteri yang melawat kawasan Parlimennya tetapi singgah ke sebuah kafe dan menikmati juadah yang dihidangkan bersama beberapa rakan, sekali gus melanggar peraturan waktu pandemik. Beliau mengaku langgar SOP. Siapa?
- Beliau bukan menteri tetapi memegang jawatan tinggi dan penting dalam institusi melambangkan demokrasi negara. Beliau menyertai satu pesta buah-buahan bersama sekumpulan besar rakan dan penyokong. Siapa agaknya?
- Beliau ini menteri. Sudah dua kali langgar SOP. Tidak patuh peraturan penjarakan sosial termasuk juga mengunjungi seorang pembesar di kediaman beliau walaupun kerajaan menetapkan semua pihak tidak boleh melakukan lawatan serta kunjungan pada waktu pandemik. Beliau dikompaun dan sudah membayar denda untuk kesalahan terbaharunya. Siapa?
Amacam? Boleh jawab? Senang? Semua mereka yang disebut tadi mengaku bersalah dan memohon maaf kepada rakyat kerana mengingkari SOP yang ditetapkan mereka sendiri. Saya kata SOP yang mereka tetapkan sendiri kerana mereka berada dalam kerajaan atau bersamanya. Tentunya mereka maklum keputusan yang diambil, tetapi mereka sendiri melanggarnya.
Memang mereka dikompaun. Ada yang didenda RM1,500. Ada RM2,000. Mereka bayar dengan pantas. Tak ada masalah. Namun ada dalam kalangan rakyat yang tidak puas hati. Mengapa?
Kerana ada antara golongan VIP berkenaan langgar SOP meskipun tahu mereka langgar peraturan. Mereka tahu mereka melakukan kesalahan. Maksudnya ini bukan kes tidak tahu, tidak sengaja, atau terlepas pandang. Ada dalam kalangan mereka mohon maaf tetapi buat lagi.
Ketidakkepuasaan hati warganet boleh dilihat di media sosial. Bukan sahaja mereka tidak puas hati dengan jumlah denda, yang tidak menimbulkan masalah bagi seorang VIP.
VIP yang memohon maaf tetapi ulang langgar SOP bermakna hukuman yang dijatuhi tidak cukup untuk mengajar mereka. Tidak cukup untuk buat mereka insaf.
Lantas ada pelbagai cadangan rakyat utarakan. Ada cadang hukuman lebih berat seperti penjara. Denda lebih tinggi tidak diutarakan kerana sudah ada peruntukan sedemikian.
Seorang rakan lama menerusi Facebook mengutarakan: “Daripada denda RM2,000 ke atas VVIP elok mahkamah denda dengan cara mewajibkan mereka derma minimum 2,000 komputer riba atau tablet kepada anak-anak di luar bandar dan miskin di bandar yang memerlukan.”
Bagi saya itu satu cadangan yang baik.
Elok juga selain komputer riba dan tablet diwajibkan mereka menyumbangkan barangan keperluan kepada golongan susah untuk satu jangka waktu yang dianggap munasabah.
Ingin saya mencelah. Bagus juga jika golongan berada ini diperintah melakukan khidmat masyarakat untuk sesuatu tempoh. Arah mereka bekerja di tempat awam untuk bersihkan kawasan persekitaran, misalnya.
Atau suruh mereka jaga anak-anak yatim di pusat penjagaan atau warga emas di rumah orang tua. Satu lagi bentuk hukuman – suruh mereka sediakan makanan dan lain-lain barangan keperluan serta memberi pelbagai khidmat bakti untuk gelandangan. Banyak lagi yang boleh difikirkan.
Ini semua bukan bertujuan membalas dendam. Sekadar mereka serik agar tidak mengulangi kesalahan. Ini juga untuk memberi pengajaran betapanya susahnya orang susah. Agar mereka tahu erti kesusahan sebenar. Bila sudah menghayati kesusahan dengan cara paling dekat, diharapkan kelak khidmat bakti sebagai ahli politik itu akan benar-benar bererti.
Itu semua harapan kita rakyat marhean. Adakah akan jadi realiti? Waullahulaam.
Apa pun kepada anda yang mengambil bahagian dalam permainan teka-teka tadi, saya sampaikan ucapan terima kasih. Kepada anda yang dapat jawab dengan betul, tahniah. Syabas diucapkan. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.