KUALA PILAH: Kebimbangan Samsiah Yusof, 52, mengenai kelangsungan hidupnya bersama ibu yang uzur serta abang yang tidak sihat kerana ketiadaan punca pendapatan sedikit terubat apabila menerima bantuan bakul makanan hari ini.
Dalam situasi ancaman pandemik Covid-19 yang masih belum reda, kehidupan Samsiah yang terpaksa berhenti kerja sejak lima tahun lalu untuk menjaga ibunya Fatimah Sihin, 89, bertambah sukar apabila abangnya, Samsudin Yusof, 55, tidak lagi dapat membantu keluarga kerana menghidap penyakit batuk berdarah.
Samsiah dari Kampung Sungai Jelutong, Padang Lebar berkata, mereka tiga beranak terpaksa berjimat cermat kerana hanya bergantung sepenuhnya dengan bantuan kewangan daripada Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM750 sebulan.
“Abang baru sahaja keluar dari hospital dan sebelum ini dia yang membantu keluarga dengan melakukan kerja kampung namun kini tidak mampu meneruskan kerjanya. Bantuan ini sangat dihargai, sekurang-kurangnya saya tidak perlu membeli barangan keperluan untuk masa sebulan ini,” katanya selepas menerima bantuan daripada Timbalan Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah Eddin Syazlee Shith.
Manakala Idris Taseh, 67, yang hanya bergantung duit persaraan RM600 sebulan menyifatkan bantuan diterima itu meringankan bebannya dalam menampung keperluan harian keluarga.
Warga emas yang mempunyai penyakit gout itu berkata dia juga tidak dapat melakukan kerja kampung bagi menambah pendapatan keluarga selain terpaksa berjimat cermat dengan duit simpanan untuk membeli ubat.
Sementara itu, Eddin Syazlee berkata penduduk di daerah Kuala Pilah yang terjejas pendapatan dialu-alukan datang ke pejabat Pusat Khidmat Rakyat Kuala Pilah untuk mengambil bakul makanan. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.