`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Saturday, July 31, 2021

Muhyiddin punyai sokongan ‘cukup dan jitu’ di Parlimen, sidang dewan ditangguh bukan kerana politik, kata Ahmad Faizal

 

Ahmad Faizal Azumu berkata, dakwaan Muhyiddin menangguhkan sidang Dewan Rakyat Isnin ini kerana “bimbang kerajaan berkemungkinan tumbang” adalah tohmahan dan tidak berasas sama sekali. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu yakin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kekal mempunyai sokongan majoriti sekiranya sidang Parlimen dipanggil semula.

Justeru, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, dakwaan Muhyiddin yang juga presiden Bersatu menangguhkan sidang Dewan Rakyat Isnin ini kerana “bimbang kerajaan berkemungkinan tumbang” adalah tohmahan dan tidak berasas sama sekali.

“Saya dan rakan-rakan Ahli Parlimen Bersatu dan Perikatan Nasional bersedia menghadapinya (sidang Dewan Rakyat) apabila dipanggil semula.

“Kita amat yakin dengan sokongan majoriti yang dapat dikekalkan bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi dengan sempurna dan memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat,” kata beliau kepada FMT.

“Jadi, soal mengelak daripada bersidang kerana bimbang kerajaan berkemungkinan tumbang, tidak timbul sama sekali. Kami yakin dan tahu, kerajaan yang ada kini, mendapat sokongan yang bukan sekadar cukup bilangan tetapi sokongan yang jitu,” katanya.

Terdahulu, Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat memaklumkan hari terakhir Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 Dewan Rakyat yang dijadual pada Isnin ini ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Dalam satu surat yang ditandatangani Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin berkata Pejabat Speaker telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berhubung perkara berkenaan.

Katanya, penangguhan itu adalah selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan Covid-19.

Faizal yang juga bekas Menteri Besar Perak berkata, pihak yang mendakwa keputusan penangguhan itu cenderung kepada politik telah menghina penjawat awam yang bertindak menasihati kerajaan.

“Mana mungkin profesional di KKM bertindak memberi nasihat dengan meletakkan pertimbangan politik sebagai asas utama?

“Mereka yang membuat dakwaan ini juga, perlu diberi pendedahan yang lebih berkenaan pandemik Covid-19 dan bahayanya varian baru seperti delta,” katanya.

Sementara itu, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Razali Idris berkata tindakan pembangkang yang cuba mendesak undi percaya diadakan ketika mesyuarat khas yang bermula pada 26 Julai lalu jelas mempunyai niat tersembunyi.

“Kalau kita tengok apabila pembangkang buat desakan untuk adakan persidangan sebagai pemulihan atau tambah baik terhadap cara menangani Covid-19, kerajaan secara jujur akan terima tetapi kita tengok mereka (pembangkang) bukan ke situ. Lagi nak kucar-kacirkan keadaan,” katanya kepada FMT.

Beliau yang juga ahli Dewan Negara berkata, semua Ahli Parlimen sudah dimaklumkan terlebih awal bahawa mesyuarat khas itu hanyalah perbahasan mengenai pelan Pemulihan Negara dan tiada sebarang usul atau pengundian boleh dilakukan pada lima hari persidangan berkenaan.

“Mereka semua kena tunggulah, jika ada usul baru atau nak bawa usul undi percaya, boleh bawa pada September nanti,” katanya yang turut menjangkakan sidang Dewan Negara akan ditangguhkan susulan penularan wabak Covid-19 di bangunan Parlimen.

Pada 15 Julai lalu, Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dalam satu kenyataan mengumumkan sidang penuh Dewan Rakyat bagi penggal keempat, Parlimen ke-14 diadakan selama 15 hari bermula 6 Sept hingga 30 Sept.

Mesyuarat kedua pula mulai 25 Oktober hingga 16 Disember iaitu selama 32 hari. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.