`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, July 19, 2021

Wawasan Kemakmuran Bersama perlu ‘overhaul’ besar-besaran, kata pakar ekonomi

 

Kebanyakan pelan pembangunan ekonomi serta inisiatif yang dirangka oleh Putrajaya dipacu secara dalaman, berbanding luaran, kata Firdaos Rosli.

PETALING JAYA: Kerajaan perlu merombak rawat inisiatif Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) secara besar-besaran setelah mengambil kira situasi ekonomi semasa, kata Ketua Ekonomi Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC), Firdaos Rosli.

Firdaos berkata, sasaran WKB 2030 yang cukup tinggi tidak mengambil kira impak wabak Covid-19 seperti mensasarkan KDNK mencapai RM3.4 trilion menjelang 2030.

Ia juga mensasarkan purata pertumbuhan KDNK pada kadar 4.7% setahun bermula 2021 hingga 2030 dan perolehan pekerja mencapai 48% daripada KDNK, berbanding 35.7% pada 2018.

Beliau berkata, kebanyakan pelan pembangunan ekonomi serta inisiatif yang dirangka oleh Putrajaya dipacu secara dalaman berbanding luaran, selain pertumbuhan model ekonomi masih berasaskan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenal pada 1971.

Firdaos Rosli.

“Pada 1971, ekonomi global tidak diintegrasi seperti hari ini, jadi pelan pertumbuhan jangka panjang secara dalaman adalah ‘okay’. Pada 1990 kita lihat lebih banyak penumpuan dan pada 2019, sebelum wabak, globalisasi kian melonjak dan merata.

“Namun Malaysia berterusan mengejar perkembangan ekonomi global. Walaupun mempunyai banyak pelan jangka panjang, ‘blueprint’ dan belanjawan tahunan, kita masih belum mencapai 50% KDNK bagi setiap pekerja, yang menjadi penanda aras di Amerika Syarikat.

“Ini menimbulkan persoalan membabitkan kecekapan perancangan pelan jangka panjang ekonomi Malaysia. Adakah kita mencapai sasaran pembangunan? Jika ya, adakah sasaran ini penting dalam perspektif global?” katanya pada sidang media maya.

Firdaos berkata, pelbagai pelan dirangka oleh kerajaan hampir semuanya sama dan berulang. Beliau menggesa Putrajaya agar mengubah sasaran sekiranya pelan pembangunannya tidak berjaya.

Walaupun diakui pelan pembangunan sememangnya memerlukan sasaran dan usaha untuk mencapainya, beliau berkata, pelan jangka panjang mesti sentiasa boleh diubah mengikut situasi.

Katanya, pandemik menawarkan peluang kepada kerajaan merombak semula perancangan ekonominya. Beliau mencadangkan sasaran dikecilkan kepada sasaran yang berkesan.

Menggesa kerajaan ke arah pembangunan prasarana lebih besar, Firdaos berkata, kekurangan prasarana asas dan keperluan di beberapa tempat tertentu perlu ditangani.

Beliau memberi contoh, Kelantan mempunyai peratusan tinggi isi rumah yang tidak mendapat akses kepada air paip, manakala banyak orang di Sabah dan Sarawak tiada akses segera kepada penjagaan kesihatan awam.

“Ekonomi berpendapatan tinggi jenis apakah yang kita mahu pada masa depan? Adakah kita mahu jadi negara berpendapatan tinggi dengan peratusan besar rakyat tiada akses kepada air paip?” katanya.

Firdaos turut menekankan pengenalan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang perlu dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Ketika negara menuju negara menua dengan 50% populasinya golongan pesara, ia boleh membawa kepada penurunan hasil cukai kepada KDNK kerana tiada cukai langsung terhadap golongan berkenaan.

“Masalahmya bukan struktur cukai, namun lebih kepada reka bentuk percukaian yang tepat. Kita boleh kata tetapkan pada kadar ini dan itu, kadar barang tertentu patut standard atau dikecualikan GST. Persoalan ini harus dibahas kerana ia perkara penting.

“Garis masa pelaksanaan semula GST juga perlu diambil kira kerana jika lambat ia menimbulkan persepsi cukai ini tidak terlalu penting. Kita boleh buat keputusan melaksanakan semula GST pada 2029.

“Bagi pelaksanaan cukai langsung pula, kita perlu bandingkan dengan negara lain di rantau ini. Ketika ini, ada negara mengenakan struktur cukai korporat yang lebih rendah, justeru, cukai perseorangan juga rendah,: katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.