`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, August 5, 2021

Kisah seorang ‘Abah’

 

Di negara Komunis, adalah satu kebiasaan seorang pemimpin itu dibentuk citra mereka sebagai seorang ‘abah’. Hal ini akan memudahkan rakyat dikawal, didera, dan ditekan. Mana tidaknya, kalau kita dirotan, kita tidak akan meronta. Ini kerana ‘abah’ dilihat memiliki wewenang dan keabsahan untuk merotan anak-anaknya. Rakyat, iaitu ‘anak-anak’ meski putus harap, akan terpaksa tunduk kepada kekuasaan seorang ‘abah’ sebagai ‘ketua keluarga’.

Sebuah negara Komunis yang terkenal dengan konsep abah-abah, tidak lain tidak bukan adalah Soviet Union. Abah yang paling terkenal satu masa dahulu tidak lain tidak bukan adalah Stalin. Nama penuhnya Joseph Stalin.

Dalam 1929, untuk meraikan hari lahir Stalin yang ke-50, program dan kempen Stalinisasi atau pengabahan Stalin berlaku secara besar-besaran. Di sini bermula pengkultusan dan pemitosan Stalin. Wajah Stalin ditegakkan merata-rata, patung dan gambarnya dinaikkan segenap ceruk kota dan negara. Menjelang 1933, Stalin dianggap ‘abah’, ‘ayahanda’, ‘bapa’, dan pemberi rezeki serta perlindungan.

Media Soviet ketika itu menggunakan kata sifat ‘tegas’, ‘penyayang’, ‘bertanggungjawab’, ‘kasihankan dia’, ‘mengilhamkan’, dan ‘bijak’. Mulai 1936, istilah abah lebih kerap digunakan. Stalin digambarkan sebagai ‘Abah Nusa Bangsa’. Konon, kerana ekoran krisis dek peperangan, rakyat memerlukan pemimpin yang kuat, dan penyayang iaitu abah.

Setelah itu, demi pengkultusan Stalin, frasa ‘terima kasih komrad Stalin untuk hari yang bahagia buat kami sebagai anakmu’ diperkenalkan. Kanak-kanak diminta mengucapkan ungkapan ini berulang-ulangan. Ia masyhur di sekolah. Ibu-bapa malah harus menghafal ini dan mengajarkan anak-anak.

Mitos pengabahan Stalin ini demikian mencekam dan dipercayai; kerana program pembodohan rakyat di negara Komunis itu berjaya. Akhirnya, beberapa generasi Soviet percaya dan meyakini Stalin adalah abah. Tiada abah lain selain Stalin. Segala penipuan, kekejaman, pembunuhan, penyamunan atas nama abah dilupa dan dialpakan.

Selepas kematian Stalin, Soviet berdepan dengan satu krisis besar iaitu pengkultusan Stalin telah menyukarkan pemimpin sesudahnya untuk membentangkan gagasan politik dan kepimpinan masing-masing. Harus diingat Soviet masih sebuah negara Komunis. Akan tetapi pengabahan Stalin telah menyusahkan Nikita Khrushchev, pemimpin Soviet pada 1956. Abah Stalin membayanginya.

Nikita geli-geleman dengan pendekatan abah-abah Stalin itu. Beliau kemudian menyarankan proses nyahstalinisasi, atau dalam bahasa lain kempen pembutohan abah. Dalam satu laporan bertajuk ‘Ucapan Rahsia Untuk Kongres’ pada 1956, Stalin menyatakan semangat Marxism-Leninism menghalang seseorang manusia diangkat sebagai manusia suci, dan diabahkan.

Pun, pengganti Khrushchev iaitu Leonid Brezhnev, seorang yang pro-Stalin kembali mengangkat mitos pengabahan Stalin sepanjang 1960-an. Sukar sekali mengungkai seorang abah. Stalin adalah abah yang liat. Sudah mati pun masih diabahkan.

Pembutohan abah Stalin kembali dikemukakan oleh Mikhail Gorbachev dalam 1980-an. Gorbachev sering menyatakan Stalin tidak mematuhi keluhuran undang-undang. Malah program beliau yang dinamai “glasnost” (keterbukaan) dan “perestroika” (penyusunan semula) adalah usaha nyah-stalinisasi, atau penolakan mitos Stalin selaku abah. Perlahan-lahan pembutohan abah Stalin merancakkan idea anti-Komunis di Soviet. Juga, rakyat terbiasa mengkritik dan menolak cara pemerintahan yang autoritarian.

Hari ini, sejak 2009 iaitu bawah kepimpinan Dmitry Medvedev dan Vladimir Putin, mitos abah Stalin terus diungkai dan dicungkil dari minda generasi bangsa Rusia. Ia bukanlah satu kerja mudah dan memerlukan masa yang lama untuk dilakukan.

Pengalaman dan teladan yang menimpa negara Komunis iaitu program pengabahan Stalin menyebabkan pelbagai kekarutan dan krisis dalam negara mestilah diteladani oleh sebuah negara Islam. Jika pembutohan abah Stalin dilakukan kerana gagasan Komunis sebenar melarang pengabahan seseorang pemimpin dan individu, maka dalam sebuah negara yang mengaku larasnya Islam tentulah harus lebih lagi.

Dalam Islam, pemimpin hatta abah sekalipun adalah manusia biasa yang biasa melakukan kesialan dan kecuaian. Malah mereka bukan abah pun. Abah adalah bapa biologi kita yang sebenar. Pemimpin pula adalah mereka yang berkhidmat kepada kita rakyat. Cukai dan juga wang saku kita membayar gaji dan pendapatan mereka. Kerja mereka yang tidak berkualiti membolehkan kita mengkritik dan mengkomentari mereka. Pemimpin boleh disanjung jika bagus, dan boleh dibutoh jika tidak bagus.

Lazimi saja satu hakikat, pemimpin kalau lahanat, elok dipantat.

Dalam Islam, pemimpin yang maksum hanyalah Rasulullah. Malah Khulafa al-Rasyidin seperti Abu Bakar sendiri akur dirinya bukan abah. Beliau malah mengatakan, jika terlihat sesuatu yang pincang pada dirinya, mohon ditegur. Itulah yang dilakukan para sahabat terhadap beliau. Apabila Uthman Affan yang demikian lemah dalam pentadbiran, ditenggeki mereka yang oportunis dan gila kuasa; beliau menerima kecaman hebat malah daripada Aisyah Abu Bakar.

Tidak ada program pengabahan dalam kerajaan Islam seperti yang terlihat dalam sejarah. Kerja pengabahan, atau perasan ayah-ayah ini hanya dilakukan oleh mereka yang gila dan karut seperti Stalin. Joseph Stalin sebagai abah melakukan pelbagai kekejaman bukan sahaja di wilayah penguasaan Soviet, tetapi juga meluaskan kezalimannya di Eropah Timur. Konsep abah itu membolehkan Stalin untuk melakukan pelbagai kejahatan. Ia diprogram dan dikemukakan untuk mengawal minda rakyat yang merempat di kampung dan pedalaman. Tentu abah Stalin berselindung di sebalik kenyataan demi kenyataan secara publik di televisyen.

Sebagai negara demokrasi, tentu saja pengabahan atau pengayahan seseorang pemimpin adalah sesuatu yang aneh dan tidak boleh ditolak ansur. Malaysia sebagai misalan mempunyai pelbagai prinsip yang perlu dipatuhi. Dewan Rakyat misalnya adalah tempat yang mulia, dan ketuanan rakyat adalah satu idea yang mesti difahami semua. Ia tidak boleh sesuka hati dibuka ditutup untuk memanjangkan kuasa sedia ada. Stalin bukan abah. Perdana Menteri Malaysia lagi-lagilah bukan abah.

Pengabahan Stalin menyebabkan kecelakaan berpanjangan kepada Soviet Union sehingga proses pembutohan abah Stalin mengambil masa yang lama untuk diungkai.

Kisah abah Stalin ini wajar dijadikan sempadan. Tidak ada pemimpin serupa abah biologi kita. Pemimpin dalam agama kita adalah manusia biasa yang dilantik untuk mengurusi siasah, dan bukanlah seorang manusia yang perlu dipatuhi apatah lagi disembah membabi buta.

Jika pemimpin itu buta dan membabi, Islam menganjurkan mereka dilengser. Namanya mencegah kemungkaran politik. Dalam erti kata mudah, dilawan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.