`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, January 30, 2023

Generasi robot

“Welcomeeeeee!” Sambut pelayan-pelayan restoran itu ketika saya dan isteri melangkah masuk. Ucapan alu-aluan mereka itu penuh nada berlagu. Kami mengangguk dan mengambil tempat duduk. Tak lama kemudian datang seorang daripada mereka ke meja kami untuk mengambil pesanan.

“Itu aja, ekk?” Tanya pelayan perempuan yang saya rasa dalam lingkungan awal 20-an umurnya sebaik sahaja kami selesai memesan.

Saya mengangguk. Isteri saya memandang saya dengan pandangan yang sangat saya fahami.

“Ekk?” Ajuk isteri saya mengulang apa yang diucapkan oleh budak pelayan tadi. “Ekk!” Jawab saya pula.

Sementara itu, kumpulan staf pelayan di kaunter tadi terus memfokuskan pandangan mereka ke arah pintu masuk sambil mengalunkan “welcome” kepada pelanggan yang masuk ke dalam kedai. “Welcomeeeeee!”

Budak pelayan tadi datang semula ke meja kami untuk menghantar makanan yang kami pesan dan sebaik selesai dia terus beredar. Tiada ucapan ‘silakan makan’ atau ‘jemput jamu selera’ atau ‘ada apa-apa lagi yang boleh saya bantu?’.

Selesai sahaja makan kami pun bayar dan keluar untuk pulang. Ketika berjalan kami masih boleh terdengar lagi alunan “welcome” daripada mereka kepada mana-mana pelanggan yang masuk. Tidak kira yang masuk itu baya-baya mereka atau orang tua, sama ada orang kita atau orang luar, lagunya tetap “welcome”. Katakanlah yang masuk itu orang tua boleh sahaja ucap, “selamat datang pak cik, mak cik,” atau yang masuk itu Aci dan Ane boleh sahaja dengan mesra ucapkan selamat datang dalam bahasa Tamil. Apa salahnya, kan?

Tetapi barangkali skripnya sudah begitu, tak boleh nak ubah. Atau tidak mahu ubah. Bos tak kasi agaknya. Maka bagi saya ia berbunyi seperti robot yang dilaraskan programnya kepada satu cara sahaja. Nada “welcome” itu sudah jadi biasa, tak mesra pun malah tak memberi makna yang menyentuh jiwa. Kosong dan hampa. Macam burung tiong yang diajar untuk mengucapkan selamat pagi kepada kita. Petang, malam pun tiung itu ucap selamat pagi juga. Tiong tidak pandai hendak sesuaikan dengan keperluan dan keadaan.

Suatu hari lain pula saya berurusan di sebuah syarikat penghantaran barangan ekspres. Apabila saya masuk sahaja saya seperti Pak Pandir hilang songkok. Terkebil-kebil dan tercari-cari. Ada seorang sahaja pekerja yang sedang ralit bermain telefon pintar. Tiada alunan “welcome”, tidak juga dia sedar saya sedang masuk, tiada siapa yang membantu saya. Apatah lagi saya ini amat lemah dalam bab berurusan menggunakan sistem imbas kod dan beberapa kaedah canggih zaman ini. Saya terus duduk, menghulurkan barang yang hendak saya pos beserta butir-butir diperlukan. Budak lelaki ini tanpa basa-basi langsung menyempurnakan tugasnya, menyatakan harga untuk saya membayarnya. Sesudah saya membayar, dia pun menyambung semula permainannya di telefon pintar. Saya bersabar sehingga seminit. Dia tidak mempedulikan saya yang duduk tercanguk lama. Ini sudah lebih!

Ads by Kiosked

“Sudah selesai?” Tanya saya.

Budak tersebut mengangguk sambil matanya tetap menumpukan perhatian kepada “game” di skrin.

“Macam tu je?” Jerkah saya. Saya mula naik angin dengan layanan acuh tak acuh tadi. “Tak ada ucapan selamat datang, tak ada ucapan terima kasih atau tak tanya ada apa-apa lagi yang boleh ditolong?”

Saya marah betul. Budak ini terkejut, tersengih, dan bermuka pucat. Saya terus membebel sambil berjalan keluar. Saya berasa tersinggung dengan layanan begitu.

Lalu saya pun tertanya, “apa nak jadi dengan budak-budak sekarang, hah?” Okeylah, mesti ayat begini buat anda bosan. Macamlah kita ini bagus sangat walhal generasi mak bapak kita pun merungut dengan generasi kita. Tapi dua situasi yang saya gambarkan tadi tak boleh saya terima. Mengapa mereka boleh bekerja di kaunter urusan orang awam jika tidak pandai berkomunikasi atau berdiplomasi? Apakah tempat mereka bekerja itu tiada piagam pelanggan? Atau mereka ini semua sudah hilang kepekaan biasa (common sense)?

Ini persoalan serius sebenarnya. Kecanggihan zaman teknologi maklumat, internet, dan kehadiran telefon pintar dengan media sosialnya melahirkan generasi yang hebat di alam maya. Bukan ini tidak bagus. Untuk mendepani zaman yang serba canggih kini memang tak dinafikan kemahiran teknologi wajib ada. Saya sendiri sering meminta anak-anak saudara saya yang cukup pandai dengan hal-hal maya ini untuk memesan barang secara talian kerana mereka memang cekap menggunakan pengimbas kod bar dan lain-lain yang entah apa saya pun tak faham.

Ads by Kiosked

Seharusnya juga generasi ini canggih di alam nyata. Kasihan juga ada di antara mereka ini tak mampu berkomunikasi dengan orang secara depan-depan. Lebih teruk lagi mereka berasa rendah diri dan kurang yakin untuk menyusun kata walaupun urusannya berkaitan perkara yang mudah – semudah meminta kunci motosikal. Tak mampu berkata-kata dengan tersusun. Tidak seriuskah keadaan ini?

Sebab itu kita wajar pulihkan kembali keadaan ini. Tak lain tak bukan tempat terbaik ialah di sekolah. Kita boleh contohi sistem pendidikan di Jepun di mana pada peringkat awal persekolahan, kanak-kanak terlebih dahulu dididik dengan kemahiran asas kemanusiaan seperti berkomunikasi, berurusan, dan membina sahsiah dengan mengamalkan nilai-nilai murni. Pelajaran ini bukan untuk lulus peperiksaan tetapi untuk diamalkan dalam hidup sehari-hari agar tidak menjadi robot. Kita tidak mahu generasi kita hanya tahu menghafal, berbuat sesuatu tetapi tiada penghayatan.

Saya sangat gembira apabila melihat kanak-kanak ramai yang boleh membaca doa makan sebelum menjamah makanan tetapi kemudiannya saya bersedih apabila melihat sisa makanan yang ditinggalkan oleh mereka amat banyak. Bukan anak-anak sahaja, di majlis kenduri kahwin juga, orang-orang tua mengambil makanan dengan banyak tetapi kemudiannya membazir. Ada kuih-muih yang mereka ambil langsung tak disentuh oleh mereka. Penyudahnya dihumban ke dalam tong sampah. Mana pergi intipati doa makan tadi yang memohon agar rezeki itu diberkati Tuhan sedangkan sisanya berlambak terbuang? Apa makna doa yang tak seiring dengan amalan?

Kita mahu generasi kita menguasai ilmu kemodenan tetapi juga mempunyai roh manusiawi. Ilmu bukan sekadar hafalan agar lulus peperiksaan dan mencantikkan sijil tetapi dipelajari agar ia dapat diamalkan dalam hidup. Saya bekas guru, saya sangat hafal Falsafah Pendidikan Negara dahulu di mana objektif pendidikan ialah usaha berterusan untuk melahirkan generasi yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek. Lucunya saya ketika menjadi guru pelatih maktab perguruan juga hanya sekadar menghafal ayat-ayat tersebut untuk dijawab pada kertas peperiksaan tanpa memahami kehendak falsafah itu sendiri.

Kita wajar melihat kembali anak-anak kita yang bakal dewasa memikul tugas menerajui keluarga, masyarakat, dan negara. Kita patut hayati semula Falsafah Pendidikan Negara (kini Falsafah Pendidikan Malaysia) yang bertujuan untuk merawat JERI (jasmani, emosi, rohani dan intelek) anak bangsa agar menjadi seimbang dan mampu menyesuaikan diri dalam apa juga keadaan.

Kita tidak mahu mereka menjadi robot yang siap-siap diprogram sejak awal apa nak cakap dan apa nak buat. Sebab saya khuatir generasi robot ini kemudiannya akan melahirkan pula generasi zombie! - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.