`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Monday, January 30, 2023

KPT tubuh jawatankuasa kaji semula dasar pendidikan tinggi

 

Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin mahu rakyat kembali percaya kepada sistem pendidikan tinggi negara.

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menubuhkan Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional sebagai usaha mendepani pelbagai krisis, cabaran dan tuntutan baharu, kata menterinya Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, jawatankuasa itu, yang merupakan antara 11 azam dan fokus kementerian tersebut bawah pimpinannya, mempunyai masa tiga bulan untuk mengemukakan dapatannya.

“Sebahagian besar (dapatan tersebut) mestilah bersifat saranan penambahbaikan yang diperlukan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perutusan Tahun Baharu 2023 di kementeriannya.

Khaled juga berazam untuk memperbaiki akses dan rejim pembiayaan pendidikan, termasuk pemberian pendidikan percuma.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

“Sudah sampai masanya kita menggunakan pendidikan percuma untuk menamatkan kemiskinan. Kemiskinan mesti dibasmi dengan ilmu dan kemahiran, bukan bantuan sara hidup tidak berkesudahan.

“Mekanisme dan dasar ini akan dibawa ke perhatian Jemaah Menteri untuk disokong dan dijadikan dasar yang berkelangsungan,” katanya.

Pemilihan kepimpinan

Dalam perkembangan lain, Khaled berkata, pemilihan kepimpinan di institusi pengajian tinggi dan agensi lain bawah KPT akan dilakukan menerusi proses yang ketat, teliti dan objektif bagi mencari tokoh paling layak dan berwibawa.

“Negara ini memerlukan sektor pendidikan tinggi yang berfungsi dengan efisien dan cemerlang. Perkara tersebut mesti dimulakan dengan kepimpinan yang berwibawa dan berprestasi,” katanya

Mohamed Khaled Nordin

Katanya, IPT juga mesti memberikan pengalaman pembelajaran yang bermutu dan membuka segala ruang pendedahan kepada ilmu yang pelbagai.

“Saya telah menerima pelbagai maklum balas tentang kualiti pengajaran dan penyelidikan di IPT kita. Banyak sekali kebimbangan telah disuarakan, baik secara lisan mahupun secara bertulis.

“Kesusutan kualiti pengajaran sangat kerap diperkatakan. Ramai pensyarah nampaknya begitu tekun menyelidik dan mula mengambil mudah tugas mengajar,” katanya.

Tak mahir bahasa Inggeris

Beliau turut menyentuh tentang kualiti penyeliaan program sarjana dan kedoktoran di negara ni, yang menurutnya, bermasalah.

Antara masalah yang timbul termasuk penyelia yang tidak mahir berbahasa Inggeris dan penyelia menyelia dalam bidang yang bukan kepakarannya.

Selain itu, katanya penyelia menyelia terlalu ramai calon pasca siswazah pada satu-satu masa sehingga tiada masa diperuntukkan untuk sesi rujukan yang konstruktif dan berkualiti.

“Di IPTS pula, di sebalik syarat ketat dalam kelayakan mengajar, ramai yang mengambil jalan mudah,” katanya.

“Mengambil tenaga akademik yang kurang pengalaman dan kurang kelayakan untuk mengajar. Pastinya kerana kos upah mereka lebih murah.”

Beliau berkata, IPT perlu mengembalikan kecemerlangan akademik ke tahap yang lebih tinggi, bermutu dan dihormati serta menjadikan pelajar bijak dan cerdas.

“Tumpuan kita bukan lagi ‘soft and hard skills’ , tetapi ‘smart and sharp skills’,” katanya.

Luang masa mengajar

Beliau turut menyeru ahli akademik di institut pengajian tinggi untuk terus meluangkan masa untuk mengajar, bukan sekadar menyelidik dan menyelia.

“Di universiti-universiti terkemuka dunia, profesor paling kanan dan terkemuka terus mengajar pelajar prasiswazah dan pascasiswazah tanpa lelah.

“Mereka tidak meninggalkan pengajaran hanya kerana mereka mempunyai pelbagai komitmen penyelidikan dan kedudukan yang sudah tinggi,” katanya.

“Pelajar-pelajar mesti diberikan hak mereka untuk menikmati betapa indahnya pengalaman belajar dari guru dan penyelia terbaik.”

Sementara itu, Khaled juga mahu memulihkan kembali kepercayaan dalam hubungan pelbagai hala kementerian, ketika semua institusi berdepan dengan defisit kepercayaan, termasuk KPT.

“Kepercayaan akan menjadi nilai terpenting, rakyat Malaysia mesti percaya kepada sistem pendidikan tinggi negara,” katanya.

“Malaysia dan segala sistem mengalami kemelesetan kepercayaan yang sangat meruncing. Segala-galanya diragui dan dipersendakan.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.