`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, January 20, 2024

Kedai gunting rambut, pembuat barang kemas masih kurang pekerja

 

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi R Ramanan, berkata terdapat 5,000 daripada kuota diumum sebelum ini belum dipenuhi. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kedai gunting rambut dan pembuat barang kemas antara sektor mengalami kekurangan pekerja, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi R Ramanan.

Bagaimanapun, beliau berkata Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) tidak akan membuat sebarang pengumuman bagi pihak Kementerian Sumber Manusia, sebaliknya akan meminta penerangan daripada Menteri Sumber Manusia Steven Sim mengenai isu itu.

“Sudah tentu, saya telah melalui pegawai kami menghubungi pegawai sedia ada di Kementerian Sumber Manusia dan mereka telah memaklumkan masih ada 5,000 daripada kuota yang diumumkan masih belum dipenuhi, masih lagi kosong,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sambutan Festival Ponggal dan Pelancaran Program Keusahawanan Wanita (WES) anjuran Persatuan Dewan Perniagaan dan Industri India Malaysia (MAICCI, apabila perkara tersebut dibangkitkan MAICCI.

Pada September lalu, Jemaah Menteri bersetuju membuka 7,500 kuota bagi pengambilan subsektor perkhidmatan tukang gunting rambut, pekerja tekstil, dan tukang emas.

Ia susulan pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membuka semula pengambilan pekerja asing bagi tiga subsektor perkhidmatan berkenaan yang dibekukan, sejak 2009.

Sementara itu, Ramanan juga memaklumkan kepada pihak WES, yang mewakili usahawan wanita pelbagai latar belakang perniagaan, supaya tidak ketinggalan mengambil bahagian dalam program dan inisiatif dilaksanakan Kuskop khasnya untuk golongan wanita.

Menurutnya ia termasuk Program Pemerkasaan Usahawan Wanita (PUAN), Skim Pembiayaan Ikhtiar (SPI), UDA Bizznita, TEKUNNita, serta ‘Successful Women Entrepreneurship Engagement Talent’ (SWEET). - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.