`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, January 20, 2024

Licik guna dokumen kerajaan, scammer tipu pengarah syarikat RM120,000

 

Pesuruhjaya Polis Sarawak Mancha Ata, berkata pengarah syarikat itu diperdaya selepas menerima dokumen dihantar individu tidak dikenali menerusi WhatsApp. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang pengarah syarikat kerugian hampir RM120,000 selepas diperdaya sindiket menyamar wakil jabatan kerajaan yang licik menggunakan dokumen pesanan kerajaan untuk pembekalan barangan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Mancha Ata, berkata mangsa lelaki berusia awal 60an dari Bintulu menerima dokumen tersebut yang dihantar individu tidak dikenalinya menerusi WhatsApp, pada awal bulan ini.

“Mesej yang dihantar suspek itu mengandungi dokumen pesanan kerajaan Malaysia untuk mendapatkan ‘polycarbonate natural anodized aluminium sliding window’ bagi kerja-kerja menaik taraf sebuah pejabat jabatan kerajaan di Niah, Miri,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata, suspek juga telah meminta supaya barangan dipesan itu mestilah dari jenama Jeng Cheng yang hanya boleh dibeli dari seorang pembekal di bandar raya Miri dan mangsa telah diberikan satu nombor telefon untuk menghubungi pembekal berkenaan.

“Mangsa kemudian telah melakukan tiga transaksi pemindahan wang dalam talian yang keseluruhannya berjumlah lebih kurang RM120,000 ke satu akaun bank milik individu tidak dikenali pada pertengahan Januari ini untuk pembelian itu,” katanya.

Mancha berkata, mangsa hanya menyedari ditipu setelah barangan dibeli dan pesanan kerajaan seperti dijanjikan suspek tidak diterima, selain mendapat pengesahan jabatan kerajaan terbabit bahawa mangsa tidak terlibat dengan kerja menaik taraf pejabat seperti didakwa dalam mesej WhatsApp berkenaan.

Beliau berkata, mangsa membuat laporan polis semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan dengan cara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan.

Ekoran kes itu, Mancha menasihatkan pemilik syarikat agar membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak berkenaan.

“Jangan mudah terpedaya dengan harga atau keuntungan tinggi yang ditawarkan oleh suspek bagi sesuatu pembelian atau kerja-kerja pengubahsuaian bangunan,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.