`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, January 21, 2024

Tuntutan Umno Selangor mungkin buntu, sekadar cuba nasib, kata penganalisis

 

Pada PRN lalu, PH-BN menang 34 daripada 56 kerusi DUN Selangor yang menyaksikan Amirudin Shari kekal sebagai menteri besar. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pemerhati politik berpandangan Umno Selangor mungkin sekadar mencuba nasib untuk mendapat lebih banyak jawatan peringkat akar umbi, selain mahu menonjolkan usahanya menawan kawasan luar bandar.

Mazlan Ali melihat tuntutan Umno yang mahu 373 jawatan pengerusi jawatankuasa pembangunan dan keselamatan Kampung (JPKK) dan pada masa sama mengembalikan 20 kerusi ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai taktik “sorong tarik” dalam rundingan politik.

Selain boleh memilih ahli majlis, kerajaan Selangor juga bertanggungjawab mencalonkan pengerusi JPKK atau ketua kampung.

Menurut ahli akademik dari Universiti Teknologi Malaysia itu, tumpuan Umno kepada luar bandar yang kini kebanyakan dikuasai Perikatan Nasional (PN) diperkuatkan dengan kenyataan ketuanya, Megat Zulkarnain Omardin “kita mahu PH jaga bandar dan Umno jaga kawasan kampung”.

“Umno cuba nasib yang lebih baik dalam perundingan ini kerana parti itu tahu ‘ukur badan’ di negeri yang sudah empat penggal ditadbir Pakatan Harapan (PH),” kata Mazlan kepada FMT.

“Umno Selangor sekadar mencuba nasib. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Itu proses biasa dalam politik.”

Bagaimanapun, beliau menjangkakan rundingan itu menemui jalan buntu dan memerlukan campur tangan di peringkat pusat membabitkan Presiden Umno Zahid Hamidi dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Kesudahannya nanti tidak sukar dijangkakan,” katanya membayangkan usaha itu akan menemui kegagalan.

Semalam, Zulkarnain berkata tindakan menyerahkan kembali jawatan ahli majlis PBT dan menuntut jawatan pengerusi JPKK bukan kerana parti itu tidak sedar diri atau suka mendesak sebaliknya hanya mahu berunding atas semangat persahabatan.

Beliau menegaskan ini kerana kuota 20 jawatan diperuntuk kepada Umno hanya 7% daripada 288 kerusi ahli majlis membabitkan 12 PBT.

Umno dan PH bekerjasama di Selangor susulan pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan, pada PRN Ogos lalu, gabungan itu menang 34 daripada 56 kerusi yang menyaksikan Amirudin Shari kekal sebagai menteri besar. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.