`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, July 28, 2024

Cukai ‘punca haram’ dari arak, judi dan rokok guna untuk apa?

 

tajuddin rasdi

Kes derma syarikat arak kepada sekolah Cina pula jadi benda melalut di kalangan orang Islam Melayu kini.

Dikatakan ada dua isu besar. Pertama, kenapa dibenarkan kilang atau perniagaan arak menderma kepada sekolah? Dikatakan Kementerian Pendidikan sudah pun ada garis panduan tak boleh terima apa-apa dari perniagaan arak atau judi (sebab Islam tak bagi kut).

Dikatakan arak dan judi tu moral rendah (dari Islam juga agaknya). Nampak gaya banyak pengaruh Islam dalam garis panduan sehinggakan sekolah Cina pun kena ikut.

Dikatakan pula wakil rakyat Sepang dari Amanah Aiman Athirah Sabu pergi perasmian dan meletup isu kenapa orang Islam ada di situ. Orang Islam dikatakan semua baik-baik belaka, tak boleh campur dengan puak manusia minum arak.

Ada pula bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik suruh wakil rakyat itu letak jawatan. Hebat pula Maszlee mengkritik Amanah. Hebat lagi dia kritik Lim Guan Eng.

Ketika Dr Akmal Saleh sedang melalak isu KK Mart, Maszlee diam seribu bahasa. Saya tunggu juga tokoh agama mengetuai akademi Islam pasal Akmal menyalak-nyalak. Masa Qunut Nazilah dibaca di Parlimen, saya tunggu juga kenyataan dari satu-satunya tokoh ulama moden. Hampa saya.

Apa-apa pun, saya tak mahu masuk campur hal sekolah nak terima duit ‘haram’ (haram bukan dari undang-undang tapi dari Islam). Saya nak fokus kepada isu cukai pendapatan negara dan ke mana perginya duit-duit dari cukai ‘haram’.

Saya bertanya kepada rakan-rakan adakah cukai pendapatan berbilion-bilion dari perniagaan arak, judi dan rokok diasingkan atau ia disatukan dalam akaun negara?

Jawapan yang saya dapat pendapatan cukai jenis ‘haram Islam’ ini disatukan. Harap saya tak salah sebab saya hanya dapat maklumat. Baiklah kita ‘andaikan’ bahawa inilah praktisnya. Apa implikasi daripada perbuatan menyatukan wang pendapatan negara ini?

Bukankah wang cukai digunakan untuk bayar gaji semua kakitangan awam termasuk yang Melayunya, yang ustaznya dan ramai lagi yang warak-warak? Kalau begitu, mana rasional tak boleh pakai duit dari punca ‘haram Islam’?

Ini soalan saya. Duit pencen pun dari pendapatan negara yang sama. Jalan raya, bangunan kerajaan sekolah-sekolah pun dari akaun yang satu itu kah? Maka itu kita semua yang Islamnya, yang ustaznya, yang Melayunya dan yang waraknya semua pernah guna bangunan dan infrastruktur negara. Macam mana itu?

Atau adakah wang cukai ‘haram Islam’ digunakan untuk benda lain dan bukannya bayar gaji dan elaun? Ke mana perginya duit itu? Ia dibelanjakan di mana yang tidak akan digunakan oleh orang Islam? Saya tak boleh fikir apa benda yang orang bukan Islam guna yang orang Islam juga guna.

Adakah wang cukai ‘haram Islam’ dikembalikan kepada bukan Islam melalui pembayaran biasiswa anak-anak bukan Islam dan juga pembangunan fizikal serta sosial gereja, kuil dan gurdwara?

Kalau macam itu eloklah juga. Tetapi saya masih tak tahu sama ada andaian yang mana tepat. Adakah cukai pendapatan punca ‘haram Islam’ disatukan dalam satu akaun bersama cukai ‘halal Islam’ dan kemudiannya dibayar gaji dan buat pembangunan?

Ataukah ia diasingkan dalam akaun khas dan dibelanjakan khusus untuk pembangunan rakyat bukan Islam?

Saya tahu ramai orang bukan Islam mengadu anak tak dapat masuk matrikulasi dan universiti. Maka kalau wang cukai ‘haram Islam’ itu diagihkan kepada mereka, masakan mereka masih mengadu.

Seperkara lagi saya nak tanya kepada rakyat Malaysia semua, adakah semua orang-orang yang berniaga arak, judi dan rokok, kesemuanya jahat-jahat belaka?

Adakah kita orang Islam tak boleh campur dengan orang-orang yang minum arak, hisap rokok dan main judi dan buatkan mereka seperti manusia berpenyakit kusta atau mereka ini musuh-musuh Islam?

Bagaimana pula kita nak buat kalau yang minum arak itu orang Islam kita yang jadi kawan kita atau anak kita? Adakah kita nyahkan mereka dari hidup kita atau kita tak usah tegur atau berkawan sampai mereka taubat?

Rakan-rakan saya di Amerika Syarikat yang sembahyang dan yang anak tok imam pun minum arak depan saya. Saya minum Coca Cola sahaja. Anak tok imam perli saya ‘Apa ni Din, orang kena minum Vodka laa!’ saya tersengeh saja pada kawan saya dari Terengganu, Negeri Tok Ku Paloh.

Satu lagi saya nak tanya juga, dulu saya sakit buang air besar berdarah kerana pendarahan perut. Empat paket darah dimasukkan ke dalam badan saya. Saya tanya doktor saya darah yang diberikan kepada saya itu adakah darah orang bukan Islam?

Dia pun tak tahu sebab yang datang ada klasifikasi jenis darah dan bukannya identifikasi kaum atau agama. Jadi adakah saya punya darah haram? Adakah saya sendiri pun tak sah sembahyang atau pergi haji? Macam mana tu ustaz? Kalau darah tu ada arak maka tercemarkah saya?

Jadi kita semua ni jangan bertindak seperti kawan kita yang suruh orang resign sana resign sini. Kita bawa berfikir dulu.Tak perlu jadi profesor atau ketuai akademi Islam pun kita boleh fikir sendiri.

Jangan ikut selera orang yang gopoh, ada niat jahat dan ada ego besar macam pandai dan alim warak sangat.

Saya hormat semua rakan-rakan saya yang bukan Islam yang minum arak atau tidak, yang berjudi atau tidak dan yang merokok atau tidak.

Saya tak pernah berjudi, tak pernah minum arak dan tak pernah merokok. Tapi saya hormat semua yang berbuat baik menolong manusia dan saya hormat semua yang hormat saya. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.