`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, July 5, 2024

Debat Rafizi, UmDAP sekadar alasan

 

hishamuddin-aun

Isham Jalil kata dia datang ke Sungai Bakap kerana nak cari Menteri Ekonomi Rafizi Ramli. Konon kerana Rafizi memetik namanya beberapa kali sepanjang seminggu lalu, maka Isham — bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno — mengabsahkan kehadirannya dalam kempen PRK Sungai Bakap agar Rafizi tidak dapat mengelak lagi untuk berdebat.

Rafizi bukanlah yang pertama diajaknya berdebat mengenai pelbagai isu berbangkit kerana Presiden Umno Zahid Hamidi juga pernah diperlakukannya dengan cara yang sama pada Oktober tahun lalu.

Menggelarkan kedua-duanya pengecut kerana tidak menyahut cabarannya, sesetengah kalangan berpendapat Isham tidak pun wajar dilayan kerana dia tiada apa-apa jawatan atau mewakili organisasi mana-mana kecuali mahu cari populariti.

Bersungguh-sungguh bunyinya Isham – bekas ketua penerangan yang dipecat MKT Umno pada 6 Disember 2023 antara lain kerana mendesak Zahid meletak jawatan presiden, melabel Umno sebagai barua DAP di samping empat kali tidak hadir mesyuarat — ‘menghalalkan’ kedatangannya ke Sungai Bakap untuk mencari Rafizi.

Bukannya dia tidak tahu kesibukan jadual Rafizi selaku pengarah pilihan raya Pakatan Harapan (PH) bagi PRK DUN Sungai Bakap, Sabtu ini selain timbalan presiden PKR itu terbabit mengunjungi pengundi dari rumah ke rumah dan menghadiri ceramah pada malamnya. Kadang-kadang orang seperti Isham ini berasa diri mereka ‘besar’, perlu dilayan dan diluangkan masa untuknya.

Isham tak usah nak sembanglah konon dia berpesan-pesan kepada orang Sungai Bakap supaya memaklumkan kepada Rafizi akan kehadirannya dan sedia menunggunya. Dia boleh saja bertanya atau menyemak jadual di mana Rafizi berceramah dan terus ke sana untuk bersemuka dengannya dan ajak berdebat jika sungguh bagai dikata.

Sebaliknya, Isham memilih untuk tampil buat julung-julung kali di pentas ceramah Perikatan Nasional (PN) di PDM Puteri Gunung berhadapan Flat Mutiara Jaya pada malam Selasa di sebalik dia tahu tidak akan menemui Rafizi di sana.

Seperti disebutkan tadi, itu hanya helahnya kerana tujuan Isham – berbaju Melayu atau kurta biru mirip warna baju kemeja PN – sebenarnya untuk menunjukkan dia diterima di pentas lawan kepada kerajaan perpaduan itu.

Didoakan agar dia segera menyertai PN secara rasmi kerana itu harus lebih bermaruah daripada menjadi ‘persona non grata’ politik yang menghamburkan pelbagai kritikan terhadap satu pihak di sebalik tidak pula memuji pihak yang berlawanan atas sebab-sebab yang hanya dia tahu.

“Saya datang ni sebagai penceramah bebas. Saya tak berparti lagi tapi kali ni saya nak Perikatan Nasional menang di Sungai Bakap. Sebabnya saya nampak kerajaan (perpaduan) ni dah teruk sangat.

“Dulu Anwar Ibrahim janji nak naikkan ke turunkan minyak? Dia janji dalam 20 tahun lepas tak salah saya, dia kata bila dia dapat kuasa je nak turunkan harga minyak. Tapi tak sampai dua tahun dia pegang kuasa, bukan saja tak tunai janji, dia buat yang terbalik. Dia naikkan harga minyak yang paling tinggi dalam sejarah – (kenaikan) RM1.20 harga diesel. Itu pasal kita nak kena tunjuk pada dia apa yang dia buat ni kita tidak setuju,” katanya.

Sudah banyak pencerahan dibuat mengenai perlunya penyasaran semula subsidi termasuk diesel yang dapat menyelamatkan kerajaan sebanyak RM4 bilion setahun di samping ia tidak membebankan rakyat biasa.

Selain perincian mengenainya dibuat oleh Rafizi dan terbaru oleh Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan di Dewan Rakyat 2 Julai lalu angka-angka yang diberi terus dipertikaikan. Ulangan sindiran ‘hari ini jadi kerajaan esok harga minyak turun’ di sebalik keadaan sudah berubah turut mendedahkan pihak-pihak yang sudah muflis modal politik.

“Sebab satu lagi, saya datang Sungai Bakap, saya nak cari Rafizi. Saya dah ajak dia berdebat banyak kali tapi dia takut… pengecut. Siapa-siapa yang jumpa Rafizi ni cakap pada dia saya ada di sini. Saya tunggu dia di mana-mana saja kita berdebat soal ekonomi, atau pasal harga minyak atau pasal apa saja. Dia nak ajak saya datang ‘podcast’ tapi ‘podcast’ ni sembang-sembang sahaja. Ini buang buang masa, saya kata nak berdebat. Saya dah ajak dua tiga kali dia lari, kali ini saya tunggu dia kat sini,” tambahnya.

Isham, yang tewas sebagai calon BN dalam perebutan empat penjuru bagi kerusi Parlimen Shah Alam pada PRU15, hanya perlu merujuk kepada video ceramah Rafizi di Sungai Bakap pada 10 Jun apabila seorang lelaki mendakwa penyokong Umno yang cuba mengganggu dipelawanya naik ke pentas untuk memberikan hujahnya. Dia bagaimanapun terus beredar dari situ.

“Satu lagi saya datang sini (kerana) saya tahu kat sini ramai orang Umno jugak. Mereka dengan saya ini orang Umno original. Dalam parti ni sekarang dah bahagi kepada dua, di akar dengan orang macam saya, ini Umno original. Yang di atas tu (MKT) bukan Umno original, itu UMDAP. Parti hari ini yang dipimpin oleh presiden Umno, dia dah bawak menyimpang jauh daripada perjuangan asal, bukan lagi perjuangan Umno. Sebab itu saya datang hari ini saya nak cakap kita perlu bina semula parti ini. Untuk kita selamatkan Umno, untuk kita bina semula Umno, kita kena kalahkan UMDAP, barulah kita boleh bawa Umno ini kembali ke perjuangan asal,” kata Isham lagi.

Sekiranya dirujuk kembali, tohmahan melabel Umno sebagai UmDAP tidak laku pada PRK Kuala Kubu Bharu, 11 Mei lalu sehingga Zahid menyimpulkan kerjasama Umno dan DAP dalam kerajaan perpaduan semakin diterima dan harus terus diperkukuhkan. Sekali lagi Ia tidak dijangka memberi banyak impak pada PRK Sungai Bakap ini yang penduduknya sudah biasa dengan gabungan DAP-Umno dalam kerajaan negeri Pulau Pinang.

Apatah lagi andai PN menang Sabtu ini pun, ia tidak akan memberi kesan kepada majoriti 2/3 kerajaan PH-BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang. PH menguasai 27 kerusi manakala BN pula memiliki dua kerusi daripada 40 kerusi DUN.

Isham, yang mengajak penyokong Umno keluar beramai-ramai mengundi calon PN, menawarkan pandangan berbeza: “Di sini ada 5,000 ke 10,000 penyokong Umno tapi itu penyokong Umno original bukan UmDAP. Esok bila Umno dah kembali ke perjuangan asalnya, ketika itu kita pangkah Umno balik. Dan mungkin ketika itu kita boleh jayakan Muafakat Nasional balik. Ini yang nak kita perjuangkan. Kebanyakan atau hampir semua daripada akar umbi Umno sekarang inginkan Muafakat Nasional — inginkan PAS, Bersatu dan Umno untuk kembali bertaut. Dia tak mau dengan DAP. Masalah dalam UMDAP ni seorang je pasal dia nak selamatkan tengkuk dia, satu parti jadi UMDAP.

“Di Kuala Kubu Bharu, hampir separuh akar umbi Umno tak keluar mengundi sebab mereka masih segan nak undi PN dan pada masa sama tak sampai hati nak pangkah PH. Kali ini saya dengar pihak sebelah sana anggarkan kadar keluar mengundi rendah 60-65%. Mereka nak kadar keluar mengundi rendah sebab dia tak mau orang Umno ramai-ramai keluar mengundi kerana mereka akan pangkah PN. Itu hari (PRN Ogos) PN menang 1,500, kali ini kalau akar umbi Umno keluar (dan undi PN), kita boleh menang lebih lagi. Itu akan beri isyarat bahawa akar umbi Umno tak nak UMDAP,” tambahnya.

Sebagai menjawabnya, Zahid yang berkata kelmarin bahawa pihaknya komited untuk mengekalkan kerjasama baik kerana PH sebelum ini telah membantu mereka dalam beberapa PRK dan PRN menambah: “Kemenangan di Sungai Bakap ini sungguh penting untuk kerajaan perpaduan di Pulau Pinang dan juga imej kerajaan perpaduan (di peringkat nasional). Jika beliau (calon PH Joohari Ariffin) terpilih, tentunya rakyat Sungai Bakap akan lebih berkeuntungan kerana beliau akan bersama-sama kerajaan negeri yang juga di bawah kerajaan perpaduan.”

Pengundi Sungai Bakap juga lebih cenderung kepada penyelesaian isu setempat, terutama masalah bekalan air dan kesesakan jalan raya yang boleh diharapkan kepada wakil rakyat kerajaan berbanding cubaan pembangkang yang cuba mengkhayalkan mereka dengan isu nasional seperti penyasaran subsidi diesel yang diputar-belitkan, polemik berkaitan isu BlackRock, konon Anwar sebagai ejen Israel dan negara ini didakwa mahu dijual kepada China.

Atau niat sebenar Isham lebih jelas dengan apa yang dibanggakannya: “Saya bukan ada jawatan dalam parti. Tapi setiap kali saya buat kenyataan, dua tiga ahli Majlis Tertinggi Umno terpaksa jawab. Itu hari menteri cakap kita dapat pelaburan RM329 bilion, saya kata itu bukan pelaburan betul itu kita tulis sendiri. Yang masuk 39 bilion. Hari-harilah menteri kena menjawab saya punya cakap itu.” - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.