`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, August 14, 2024

Badminton dan sekolah Cina

 

Mohsin Abdullah

Kebanyakan pemain badminton negara dari sekolah Cina. Dalam lain perkataan, mereka belajar di sekolah Cina. Ini tidak boleh dinafikan. Menurut Kah Kau Kiak, salah seorang naib presiden Persatuan Badminton Malaysia, lebih 75% pemain kebangsaan sekarang bekas pelajar sekolah Cina.

Mengapa? Adakah kerana sekolah Cina mempunyai program cari bakat badminton yang rapi dan teliti, lantas cekap mencungkil bakat dan menjalankan program latihan berkesan?

Kata seorang bekas guru sementara sebuah sekolah Cina di luar bandar, tempat beliau mengajar ada infrastruktur yang bagus. Mungkin ini katanya membantu. 

Saya tak pasti… cuma teka,
 kata beliau.

Infrastruktur yang dimaksudkan ialah dewan badminton. 

Budak-budak main dalam dewan, tak ada air con tapi sebab tertutup kira OK lah. Mereka dilatih oleh bekas pelajar atau alumni. 
Budak-budak tu agak handal,” kata beliau. Ini apa yang beliau saksikan semasa menjadi guru sementara di sekolah berkenaan.

Adakah sekolah Cina beri tumpuan khusus terhadap latihan badminton? 

Saya rasa tradisi, alumni dan ibu bapa yang boleh main ajar budak-budak selepas waktu sekolah. Tak ada coach yang profesional tapi OK,
 katanya.

Masyarakat Cina sememangnya gemar badminton, selain ping pong dan bola keranjang. Untuk menyatakan sesuatu yang nyata tentulah majoriti pelajar sekolah Cina terdiri daripada anak-anak Cina, walau pun sejak kebelakangan ini pelajar Melayu dan India semakin ramai. Oleh itu dengan sendirinya mereka bermain badminton di sekolah, juga di luar sekolah pastinya, kerana minat sudah sedia ada.

Bagi ibu bapa yang mahu anak bermain badminton secara profesional kelak, mereka akan kumpulkan wang dan upah jurulatih. 

Kawan saya salah seorang ibu bapa begitu. Anaknya handal juga,
 kata bekas guru tadi.

Baru-baru ini tular video Pearly Tan, pemain beregu wanita handalan kita. Semasa video dirakamkan Pearly berusia 10 tahun dan belajar di sebuah SJK Cina di Kedah. Kata Pearly, ayah mengajarnya bermain badminton sejak beliau berusia tiga tahun. Dalam video itu Pearly cakap bahasa Melayu, jadi orang yang sering gusar budak Cina sekolah Cina tak boleh cakap bahasa Melayu jangan bimbang. Relax.

Setelah memenangi beberapa gelaran peringkat sekolah rendah, dan pada kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah negeri, Pearly melanjutkan pelajaran ke Sekolah Sukan Bukit Jalil di mana beliau bertemu Thinaah Muralitharan. The rest is history. Kita tahu mereka antara pasangan terbaik dunia.

Kata Kah, yang juga presiden Persatuan Badminton Pulau Pinang, sebagai national sport Malaysia badminton diminati ramai. Tidak pernah timbul soal ketandusan pemain. 

There is a broad base of students so there is no concern about a lack of interest.

Memandangkan prospek untuk mengukir karier yang dijanjikan badminton, ramai ibu bapa melihat sukan itu sebagai laluan kerjaya yang baik untuk anak mereka, kata Kah. Benar. This explains why ramai sanggup berbelanja bagi mendapat khidmat jurulatih profesional untuk membimbing anak mereka.

Walaupun jika anak-anak mereka tidak dapat mewakili negara, anak-anak itu boleh bekerja sebagai jurulatih masa depan,
 kata Kah.

Bagi beliau walau apa pun sekolahnya — sama ada sekolah vernacular mahu pun sekolah kebangsaan — BAM bersama persatuan badminton negeri memainkan peranan penting. Semua 13 persatuan melaksanakan rancangan pembangunan. Masing-masing ada program latihan tersendiri untuk menggilap pemain dari usia muda. Setiap tahun banyak kejohanan mengikut peringkat kumpulan umur dijalankan.

Saya percaya pemain kita mesti didedahkan kepada kejohanan kecil atau pun besar pada usia muda. Menerusi proses ini mereka mendapat pengalaman berharga dan memupuk ketabahan,
 kata Kah. Memang benar kata-kata itu.

Tanpa memandang enteng program pembangunan BAM serta persatuan badminton negeri dan sekolah sukan, sumbangan sedikit sebanyak sekolah Cina dalam melahirkan pemain badminton tidak boleh dinafikan.

Peranan mereka memastikan saluran pemain negara tidak terputus.

Sayangnya ada pula pihak yang mahu sekolah Cina ditiadakan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.