`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, August 15, 2024

Tersebutlah kisah baju gimnas wanita

 

Mohsin Abdullah

Ingat tak Sukan Olimpik Tokyo 2020? Ia diadakan pada 2021 kan? Sebab pada 2020 pandemik Covid-19 melanda dunia. Tahun 2021 pandemik reda sedikit maka Tokyo 2020 dapat diadakan, tapi dengan pelbagai peraturan ketat dan restrictions.

Bercakap mengenai Tokyo 2020 teringat saya akan pasukan gimnas wanita Jerman. Mereka bertanding memakai seragam yang tidak mendedahkan kulit, dipanggil full length unitards.

Langkah itu bukan didorong perintah mana-mana agama sebaliknya ia tanda protes gimnas wanita berkaitan pakaian lazim iaitu leotards yang kata mereka revealing.

Mereka tanya mengapa gimnas lelaki boleh beraksi dengan seluar panjang (atau pendek) tetapi wanita mesti berpakaian leotards yang ketat serta mendedahkan kulit. Oleh itu tindakan pasukan wanita Jerman memakai full length unitards satu political statement, dan bukan keagamaan.

Seragam yang mereka pakai pada Tokyo 2020 menggunakan kain nipis berwarna kulit atau skin coloured material untuk tidak mendedahkan dada. Lengan ditutup dengan kain biasa hingga ke paras siku, leotard panjang menutup kaki. Namun ia tetap ketat.

Sebenarnya gimnas wanita memang dibenarkan oleh badan sukan gimnastik antarabangsa memakai long sleeved outfit semasa bertanding, cuma ia jarang dipakai. Mungkin atas sebab tidak selesa dan menyukarkan pergerakan. Seragam yang lazim dipakai peserta wanita dikatakan membolehkan mereka bergerak bebas semasa melakukan rutin.

Pada Paris 2024, gimnas wanita Jerman sekali lagi mengenakan full body leotard dengan rekaan lebih menarik, begitu juga beberapa pasukan lain umpamanya Ukraine.

Bagaimanapun saya kira full body leotards tidak atau belum menyakinkan kerajaan Terengganu untuk membolehkan ahli gimnastik negeri memakainya. Mungkin sebab leotard tak kira lah full body atau bukan tetap ketat, lalu mungkin kerajaan Terengganu menyifatkan ia tidak benar-benar menutup aurat.

Oleh itu menurut laporan Malaysiakini, Terengganu satu-satunya negeri yang ditadbir Perikatan Nasional (baca: PAS) yang tidak menghantar atlet gimnastik wanita bagi temasya Sukan Malaysia atau Sukma tahun ini. Sukma 2024 diadakan di Sarawak bermula Sabtu ini.

Langkah itu kata Malaysiakini diambil selepas Terengganu mengharamkan penyertaan wanita khususnya beragama Islam dalam sukan gimnastik disebabkan faktor pakaian yang tidak patuh syariah.

Imbau kembali tahun lalu, beberapa atlet gimnastik wanita yang mewakili Terengganu di Sukma 2018 menyuarakan rasa kesal susulan pengharaman itu. Respon kerajaan negeri ialah menyarankan gimnas wanita Terengganu menyertai acara sukan wushu.

Ini bagi saya satu saranan yang pelik. Bertukar acara sukan bukan seperti tukar baju. Bukan hanya dengan sekelip mata gimnas boleh jadi atlet wushu, begitu juga sebaliknya. Setiap acara sukan mempunyai gaya dan cara serta disiplin tersendiri umpamanya latihan bola sepak bukan sama dengan latihan tennis. Seorang ahli sukan yang mahu tukar acara akan mengambil masa untuk menyesuaikan diri, apa lagi untuk mencapai tahap mahir.

Saya bersimpati dengan gimnas Terengganu yang menceburi sukan ini sejak kecil. Secara tiba-tiba mereka tidak boleh meneruskan bergimnastik dan diminta tukar acara. Apa yang sudah terjadi kepada mereka? Di manakah mereka sekarang? Sedang berwushu?

Simpati saya juga buat gimnas bukan Islam. Awalnya diberitakan mereka boleh terus bergimnastik jika berpakaian longgar dan sebagainya. Kemudian timbul laporan larangan ke atas semua gimnas wanita Islam dan bukan Islam. Ingin saya tanya adakah latihan untuk gimnas bukan Islam? Siapa yang mengendalikan latihan? Jika ada pun, latihan itu bagai sia-sia apabila mengambil kira keputusan Terengganu tidak menghantar gimnas wanita ke Sukma 2024.

Terengganu juga ada peraturan yang menyatakan sebarang persembahan (konsert dan sebagainya) yang melibatkan artis wanita hanya boleh ditonton golongan wanita dan mesti diadakan di kawasan tertutup. Ini kerana jika diadakan di kawasan terbuka, persembahan akan boleh didengar atau dilihat orang lain termasuk orang Islam. Oleh itu tidak dibenarkan.

Terengganu juga menyediakan tempat duduk khas untuk wanita yang menonton bola sepak di stadium, ertinya lelaki satu tempat dan wanita satu tempat. No duduk dekat-dekat, no campur-campur.

Kata kerajaan Terengganu semua peraturan itu dilakukan bagi memastikan tuntutan syariah dipatuhi. Bagaimanapun dalam soal Sukma 2024, langkah tidak menghantar gimnas wanita tidak dilaksanakan oleh Kelantan dan Kedah, yang seperti Terengganu diperintah PN (baca: PAS).

Kelantan dilaporkan menghantar lapan peserta gimnastik termasuk dua gimnas wanita. Kedah pula ada 12 gimnas iaitu enam lelaki dan enam wanita. Saya tidak pasti seragam gimnas wanita Kedah dan Kelantan. Mungkin mereka tahu how to work around the uniform issue. Pun begitu Kedah dan Kelantan beri kepercayaan kepada gimnas masing-masing untuk cuba mencipta kejayaan.

Persembahan artis wanita hanya boleh ditonton wanita bagaimana pula? Tempat duduk khas wanita di stadium? Adakah turut dikuatkuasakan di Kedah dan Kelantan? Saya tak tahu.

Yang jelas kerajaan Terengganu, Kelantan, dan Kedah punya interpretasi masing-masing berhubung tuntutan agama, serta apa peraturan mesra syariah dan apa yang bukan, meskipun ketiga-tiga diterajui PAS. Wallahualam.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.