`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, September 23, 2024

Gambar Hadi di slaid khutbah Jumaat di Melaka cetuskan kontroversi

Khutbah Jumaat di semua surau dan masjid di Melaka pada 20 September lalu mencetuskan kontroversi apabila slaid yang dikendalikan oleh Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) memaparkan wajah ahli politik pembangkang.

Dalam slaid Jaim yang bertajuk “Negaraku, Tanah Air Ku”, bersempena sambutan Hari Malaysia 16 September, wajah Presiden PAS, Abdul Hadi Awang juga diselitkan.

Ia diletakkan bersebelahan dengan sepotong ayat berbunyi; “Keamanan dan kemajuan negara hendaklah dipertahankan, dan memerlukan pemimpin yang adil dan jujur, masyarakat yang harmoni, rakyat yang berdisiplin dan berbudi mulia”.

Dalam slaid berasingan, turut dipaparkan wajah bekas Yang di-Pertuan Agong ke 16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berbanding wajah Agong baharu, Sultan Ibrahim.

Kesilapan itu menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan pengguna media sosial kerana agensi kerajaan sendiri tidak mengemaskini info pentadbiran baharu dan didakwa tidak cakna dengan larangan penyebaran agenda politik di masjid.

Jaim bagaimanapun dalam satu kenyataan, semalam  membuat permohonan maaf atas kekhilafan tersebut dan menjelaskan terdapat ralat dalam infografik yang disediakan pihaknya.

“Adalah dimaklumkan bahawa berlaku ralat kepada infografik yang disediakan oleh Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) untuk edaran kepada masjid dan surau Jumaat di Negeri Melaka pada 20 September 2024.

“Sehubungan itu, Jaim menarik balik infografik tersebut dengan serta merta dan memohon jasa baik semua pengerusi masjid dan surau Jumaat untuk menurunkan, memadam, dan tidak menyebarkan infografik tersebut atau sebarang dokumen berkaitannya untuk apa-apa tujuan, ” kata pengarahnya, Badaruddin Mohd Kassim.

Menurutnya, Jaim juga memohon supaya menyerahkan kepada jabatan itu untuk siasatan dan tindakan sewajarnya.

“Jaim berasa kesal atas kejadian yang berlaku dan memohon maaf di atas kekhilafan tersebut serta akan memastikan perkara seumpama ini tidak berlaku lagi pada masa hadapan,” katanya lagi.

Bagaimanapun, penjelasan itu tidak meredakan kemarahan warga maya.

Antaranya, seorang aktivis politik bernama Edy Noor Reduan mempersoalkan sekiranya terdapat “lubuk walaun” dalam organisasi Jaim.

Justeru, dia berpandangan satu tindakan tegas perlu dibuat oleh Jaim terhadap mereka yang terlibat.

Dia juga mencabar Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Salleh yang juga adalah exco kerajaan negeri Melaka supaya mengeluarkan kenyataan dan tidak mendiamkan diri.

 Edy juga mempersoalkan jika terdapat “lubuk walaun” dalam organisasi Jaim. - Mkini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.