`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, November 28, 2024

Menyamar di media sosial

 

faisal tehrani

Banyak tahun yang lalu, ketika dakwaan-dakwaan liar mengenai saya sedang menyala di dunia maya, saya pernah menerima ancaman bunuh. Saya juga sering dibuli di platform media sosial. Macam-macam tuduhan. Saya menjadi sasaran serangan kerana ada agamawan dan mufti yang merasakan dia boleh melabel saya sewenang-wenangnya. Ada agamawan itu berada dalam kalangan pensyarah yang bertugas di universiti saya sendiri. Padahal kerjanya mendidik siswa supaya kelak menjadi agamawan yang baik. Tidaklah menghairankan kalau ada siswa yang konon bikin PhD dengan memburuk-burukkan saya dan menulis seakan beliau telah menemui dan mewawancara saya, dan diberi markah cemerlang.

Waktu itu saya naif dan memaksa diri berjawab-jawab dengan orang yang tidak dikenali ini. Masa berlalu, mujur barangkali saya jenis yang tidak mengambil peduli cemuhan orang, maka kesihatan mental saya tetap utuh dan tidak terjejas. Kalau saya jenis yang koyak, mungkin saya akan terkesan olehnya.

Media sosial adalah salah satu medan untuk orang menyamar, memakai nama yang bukan-bukan; dan kemudian menfitnah, membuli dan menipu orang lain. Mereka yang tidak arif mengendalikan teknologi digital mungkin akan lebih mudah diperdaya.

Ada yang misalnya di saat kesepian, menjadi korban kepada akaun media sosial porno. Penyamar ini bikin keuntungan daripada pencerobohan kehidupan peribadi orang lain. Mereka mungkin merasakan asalnya cuma berkenalan, naik daun menjadi mesra; kemudian meleret kepada penelanjangan. Malang, aksi mereka itu dirakam dan kemudian mangsa diperas ugut. Mereka pun membayarlah bulan demi bulan pemangsa lantaran bimbang aib tersebar.

Itu belum lagi ancaman berbentuk sindiket yang mana kerja penyamar ini memang untuk menipu mangsa sehingga mereka yang terpedaya akan memberikan apa sahaja yang mereka ada, acap kali wang simpanan yang diperoleh daripada kerja keras akan licin disapu. Dalam banyak keadaan yang kita bimbangkan adalah anak-anak.

Baru-baru ini, Australia memperkenalkan satu draf undang-undang yang akan menyekat kanak-kanak bawah 16 tahun daripada mengakses media sosial. Tentulah undang-undang sebegini membuatkan Gen Alpha dan ‘ipad kids’ marah meruok. Akan tetapi Menteri Komunikasi Australia, Michelle Rowland bertegas yang draf undang-undang itu bermatlamat untuk mengatasi isu media sosial yang memberi pendedahan tidak baik kepada kanak-kanak.

Di Australia, penyelidikan yang dijalankan oleh pihak berkuasa menunjukkan, dua pertiga daripada remaja berusia 14 hingga 17 tahun berdepan kandungan tidak baik dalam talian. Antara kandungan bodoh ini adalah mempromosikan dadah atau galakan mencederakan diri sendiri. Australia berkeras untuk melaksanakan segera undang-undang baharu ini terhadap platform media sosial utama merangkumi Facebook, Instagram, TikTok dan Snapchat.

Untuk itu syarikat media sosial diberi tempoh setahun untuk melaksanakan sistem pengesahan usia. Tentulah pemilik platform ini mempunyai pendapat yang berbeza. Pemilik X, Elon Musk misalnya dilaporkan berkata ini adalah jalan mengundur untuk mengawal akses internet kepada semua rakyat Australia. Hujah Musk tentulah ‘kebebasan bersuara’.

Australia demikian serius akan hal ini, sehingga bercadang mengenakan denda sehingga AUD50juta (dalam RM145.86 juta) sekiranya platform media sosial ini gagal mematuhinya.

Apakah Malaysia akan mengikut langkah yang sama? Eloklah kita melakukan hal serupa secepat mungkin.

Ada yang menuduh pelik-pelik terhadap saya di akaun media sosial itu bila saya selidiki rupa-rupanya ada yang terdiri mahasiswa universiti tempatan. Bak kata geng Profesor Diraja, Naquib al-Attas, ‘adab mana, adab?’

Maka langkah Putrajaya untuk membuat pindaan undang-undang yang akan memaksa penyedia platform media sosial mendedahkan data pengguna atas permintaan polis bolehlah dianggap satu gerakan awal yang positif.

Minggu ini, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching memberitahu di Dewan Rakyat yang kementeriannya bercadang untuk membentangkan rang undang-undang untuk meminda Akta Komunikasi dan Multimedia, atau Akta 588, dengan memasukkan cadangan untuk menambah seksyen baharu bagi tujuan itu.

Seksyen baharu ini akan kelak mengukuhkan kuasa penguatkuasaan sedia ada di mana pegawai polis atau pegawai diberi kuasa boleh mendesak mana-mana pihak yang mengawal sistem komunikasi untuk menzahirkan data atau profil si penyamar melalui kaedah dinyatakan. Dalam erti kata lain, PDRM berkuasa untuk meminta penyedia platform media sosial mendedahkan data-data pengguna akaun.

Kerja fitnah, kerja scam, kerja khianat dan kerja tipu di media sosial semakin menjadi-jadi, dan sukar untuk mereka yang menjadi sasaran mengenal pasti siapa yang berada di sebalik akaun palsu ini. Saya misalnya tidak pandai hendak menyiasat betul-betul empunya angkara.

Oleh itu, saya menyokong keperluan penyedia platform seperti Meta, Bytedance dan Google mengetatkan peraturan mereka apabila melibatkan pendaftaran pengguna baharu. Antara caranya ialah dengan mewajibkan pengguna memberikan nombor telefon mereka semasa mendaftar akaun. Mungkin satu masa mereka mesti mendaftar dengan nombor kad pengenalan.

Tidak ada apa yang perlu ditakuti atau dikhuatiri oleh pengguna sekiranya mereka memang tidak bercadang untuk membuat apa-apa kesalahan atau jenayah.

Langkah ini juga boleh dianggap sihat kerana ia akan menjadikan ruang maya kita lebih terkawal dan positif iklimnya. Kes buli siber, penipuan dan juga jenayah digital dengan itu akan dapat kita cegah dengan berkesan.

Saya fikir semua pihak, khusus ibu bapa perlu merai dan menyokong kawalan ini. Hujah-hujah kebebasan kadangkala digunakan secara dangkal oleh mereka yang berkepentingan. Kita mesti melindungi hak mereka yang berpotensi terkesan seperti anak-anak, apatah lagi jika memang pernah terkena.

Penyamar di media sosial tidak lagi boleh berselindung di sebalik nama-nama pelik sebelum menceroboh kehidupan peribadi kita; atau menyamar untuk membuli kita. Sang penyamar juga akan berwaspada dan terpaksa berhemah jika ada undang-undang yang diketahui boleh memaksakan mereka ditelanjangi identitinya setelah membuat fitnah, tohmah atau mengganggu hidup orang. Kita mesti melayani dunia media sosial sama seperti dunia ‘real’ jika itu yang mereka di alam maya inginkan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.