`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, November 28, 2024

Kelantan tunda peperiksaan SMU akibat banjir

 

Free Malaysia Today
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Ab Pattah Hasbullah berkata gangguan teknikal punca siren amaran JPS di Menara Tinjau Tambatan D’Raja dekat Sungai Kelantan berbunyi tiga kali. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA
Peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU), Sijil Menengah Tahfiz Al-Quran (SMTQ) dan Sijil Tinggi Ugama Pondok (STUP) ditangguh akibat banjir yang melanda Kelantan.

Banjir memaksa beberapa sekolah ditutup dan ada pula dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).

Pengarah Yayasan Islam Kelantan, Zulkifle Ab Rahman dalam surat pemakluman dipetik Harian Metro berkata, Lembaga Peperiksaan mempertimbangkan tarikh peperiksaan SMU yang dijadualkan 2 Dis ini ditunda ke 6 hingga 15 Jan depan.

Menurut laporan Berita Harian, keadaan banjir di Kelantan bertambah buruk dengan jumlah mangsa meningkat kepada 43,983 orang setakat 4.30 petang ini berbanding 33,163 orang pagi tadi.

Semua mangsa daripada 13,380 keluarga itu berlindung di 192 PPS di 10 daerah.

Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat memaklumkan Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa banjir teramai iaitu 15,929 orang ditempatkan di 45 PPS, disusuli Tumpat (6,295 orang di 15 PPS), Kota Bharu (4,144 orang di 25 PPS) dan Pasir Puteh (4,040 orang di 21 PPS).

Seramai 4,022 mangsa banjir di Kuala Krai ditempatkan di 30 PPS, Tanah Merah (3,690 orang di 25 PPS), Machang (2,950 orang di 18 PPS), Bachok (2,157 orang di 7 PPS), Jeli (724 orang di 5 PPS) dan Gua Musang (36 mangsa di sebuah PPS).

Dalam perkembangan lain, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Ab Pattah Hasbullah, berkata tiada keperluan mengisytiharkan darurat di Kelantan kerana situasi banjir masih terkawal.

Katanya, walaupun 10 daerah terjejas banjir, tetapi keadaan masih terkawal kerana pelbagai persiapan bencana diatur sejak awal dan darurat hanya akan diisytiharkan jika situasi semakin buruk serta tidak terkawal.

Mengenai siren amaran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berbunyi secara automatik tiga kali di Menara Tinjau Tambatan D’Raja dekat Sungai Kelantan yang tular di media sosial hari ini, beliau berkata, siren itu mengalami gangguan teknikal.

“Siren itu dikendalikan JPS dan mereka sedang menyiasat punca kerosakan. Orang ramai diminta jangan panik dan tidak membuat sebarang spekulasi.

“Sungai Kelantan ketika ini masih di peringkat amaran, namun paras air sedang naik mendadak naik,” katanya menurut Bernama pada sidang media khas Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.