`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, November 29, 2024

Masalah PMX

 

Mohsin Abdullah

“Anwar boleh jadi PMX bawah tempurung. Tak payah ke luar negara, buat kerja dalam negara sahaja. Tolak jemputan ketua-ketua negara. Jangan hadir persidangan pemimpin dunia.” Teks menerusi WhatsApp ini ialah hantaran seorang bekas aktivis Umno kepada saya dua hari lalu.

“Itu pun nanti ada yang bising. Akan ada yang kata Anwar tidak berani, tidak boleh berbahasa Inggeris,” katanya lagi. Jelas beliau perli dan memerli. Beliau tidak menamakan sesiapa. Saya pula tidak tanya. Tetapi saya percaya kata-kata sinis beliau tujukan kepada golongan menjadikan siri lawatan luar negara perdana menteri sebagai isu dan ‘menyerang’ PMX.

Si penghantar mesej bukan peminat Anwar Ibrahim. Bosnya dulu adalah ‘musuh’ politik Anwar semasa kedua-duanya berada dalam Umno. Oleh itu, saya agak terperanjat beliau tampil mempertahankan Anwar. Mungkin beliau dan bosnya (yang sudah tidak aktif dalam politik) sudah lupakan perselisihan masa lalu? Mungkin beliau tampil kerana berpendapat apa berlaku ke atas Anwar sesuatu yang tidak adil? Wallahuaklam.

Sebenarnya, beliau ada membuat perbandingan lawatan Anwar dengan lawatan luar negara dibuat perdana menteri terdahulu. Pedas dan pedih. Kalau perdana menteri terdahulu dengar boleh bikin merah telinga. Saya tidak bercadang mengulangi apa dikata beliau.

Yang ingin diulangi ialah penjelasannya terhadap lawatan Anwar. “Sebenarnya lawatan PMX sebagai persediaan untuk Malaysia jadi pengerusi Asean tahun depan. Lawatan Anwar ini sebahagian untuk menyampaikan jemputan secara personal kepada ketua-ketua Asean sebelum jemputan rasmi dihantar tahun depan,” katanya.

Untuk memperkuhkan hujah beliau turut memberi kepada saya pautan kepada laporan berita Astro Awani dengan tajuk: ‘Pengerusi Asean 2025: Malaysia siap sedia, fokus keterangkuman, perkongsian global-PM’. Ini adalah inti pati ucapan PMX di Shanghai.

Selain negara Asean dan China, perdana menteri juga mengunjungi beberapa negara lain termasuk menghadiri sidang Apec di Peru. Kos lawatan ialah RM6 juta dan ini mecetuskan persoalan dalam kalangan pembangkang dan badan bukan kerajaan.

Respons awal PMX ialah ia dibayar syarikat swasta. Ini menyaksikan pelbagai pihak bertanya apa ganjaran untuk syarikat berkenaan kerana ‘nothing is free’. Susulan itu PMX dan Jurucakap Kerajaan Fahmi Fadzil tampil berulang kali memberikan penjelasan lanjut siap dengan ‘breakdown figure’ dan sebagainya. Bagi saya ini mengelirukan.

Anwar beria-ia mahu menunjukkan kepada rakyat beliau menjimat wang kerajaan (baca rakyat). Pada hemat saya Anwar terpaling jimat. Ini tidak perlu.

Tidak ada salahnya kerajaan membiayai lawatan seorang perdana menteri. Ini adalah peruntukan buat perdana menteri. Setiap PM sebelum ini pun diperuntukkan ini. Bukan Anwar seorang sahaja. Jadi apa perlu rasa bersalah jika kerajaan membayar kos lawatan seorang perdana menteri yang membabitkan tugas rasmi? Yang boleh memberi faedah kepada negara pada jangka panjang. Melainkan ekonomi negara tidak mengizinkan.

Begitu juga dengan langkah tidak ambil gaji yang kini pembangkang mempersendakan. Tidak ambil gaji bagi Anwar cara beliau jimatkan wang kerajaan. Tetapi berapa jumlah yang dapat dijimatkan? Lainlah kalau gaji PM berbilion ringgit.

Pada pandangan saya tidak perlu Anwar ambil langkah begitu. Apabila seseorang bekerja dia berhak dapat gaji. Agama pun ada sebut soal upah. Perdana menteri juga seorang pekerja. Beliau diperuntukkan gaji. Wang itu bukan diambil daripada seseorang untuk diberikan kepada PM.

Memang ada gaji. Oleh itu Anwar sepatutnya ambil gaji dan segala ‘perks’ perdana menteri. Ambil gaji dan buat kerja. Rakyat takkan ‘complaint’. Musuh dan kawan sama-sama mengakui Anwar sebagai PM bekerja keras.

Menurut Bloomberg 23 Nov lalu ‘While Malaysia is no stranger to its own political volatilities, the nation’s economy has managed to remain robust under Anwar’s leadership which recently hit the two year mark’.

Saya ulangi langkah tak ambil gaji dan kerajaan tak bayar kos lawatan PM ‘are so unnecessary’. Diulangi juga ambil gaji yang sememangnya hak PM. ‘Take what’s due’ dan buat kerja. Tunaikan janji reformasi walaupun diakui beberapa perkara sukar dilaksanakan mengambil kira masalah ‘unik’.

Namun, untuk menuduh Anwar tidak melakukan reformasi adalah tidak adil. Ada yang telah dilakukan. Meski ada yang tidak puas hati. Sekarang masanya untuk melengkapkan pelaksanaan. Yang belum dilakukan – lakukanlah.

Gaji? Ambillah. Tidak salah ambil kalau kerja keras. -FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.