SHAH ALAM: Wanita Bersatu mencadangkan Presiden Muhyiddin Yassin mengepalai agenda penyatuan kebangsaan merentasi parti politik membabitkan pertubuhan serta pemimpin utama Melayu, termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Ketuanya, Mas Ermieyati Samsudin, berkata seruan itu bagi memperkukuh perpaduan Melayu yang didakwanya semakin longgar sehingga menyebabkan kaum lain berani ‘mengusik’ keistimewaan Melayu.
Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, perkara itu dapat dilihat dalam beberapa isu, contohnya cadangan menjadikan bak kut teh sebagai warisan negara dan Kampung Baru Cina tapak warisan Unesco.
“Tambahan pula, sekiranya kita cuba pertikai atau memperjuangkan isu menggugat bangsa Melayu, kita pula dituduh bermain isu 3R (agama, raja dan kaum) dengan menguatkuasakan Akta Hasutan yang dahulunya mereka tentang habis-habisan, kononnya undang-undang lapuk yang perlu dimansuhkan.
“Justeru, saya ingin mencadangkan Muhyiddin Yassin selaku presiden Bersatu dan pengerusi Perikatan Nasional (PN) dapat mengepalai agenda penyatuan kebangsaan.
“Ia merentasi parti politik dengan melibatkan pertubuhan dan NGO Melayu serta pemimpin utama Melayu termasuk Dr Mahathir,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Tahunan 2024.
Berucap kali pertama sebagai ketua Wanita, Mas Ermieyati berkata, setiap pihak perlu mengetepikan perbezaan pemikiran dan pendekatan sebaliknya menumpukan segala kudrat untuk mencipta formula penyatuan Melayu.
“Penyatuan kebangsaan ini bukan sekadar retorik, tetapi suatu tanggungjawab besar yang menuntut keikhlasan, komitmen, dan kebijaksanaan.
“Hanya dengan bersatu, kita mampu mengatasi cabaran dan membina Malaysia yang lebih cemerlang,” katanya.
Mas Ermieyati dinamakan ketua Wanita Bersatu bagi penggal 2024-2027 selepas menang tanpa bertanding pada pemilihan parti apabila penyandang Rina Harun tidak mempertahankan jawatan. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.