`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, November 30, 2024

Sanusi pun bermata lalat

 

hishamuddin-aun

Tempoh hari Sanusi Nor seronok ‘menyekolahkan’ seorang wakil rakyat supaya tidak menjadi ‘mata lalat’. Menjelaskannya dalam sidang DUN Kedah pada Isnin, menteri besar bermaksud kepada seseorang yang hanya suka melihat perkara negatif.

Berpunca daripada soalan lisan Teh Swee Leong (PH-Kota Darul Aman) mengenai keputusan pelabur swasta untuk menarik diri daripada projek-projek diumumkan oleh kerajaan negeri termasuk projek Langkasuka, Sanusi jelas tidak senang hati.

Tambahan ada pihak-pihak tertentu sebelum itu yang meletakkan kesalahan ke atas menteri besar susulan keputusan Bin Zayed International Group of Companies (BZI) – anak syarikat kumpulan diasaskan kerabat diraja Abu Dhabi Sheikh Khaled Zayed Al Nahyan — menarik diri daripada projek Langkasuka di Langkawi bernilai RM40 bilion.

Ini susulan kenyataan Pengarah Urusan BZI Sheikh Midhat Kidwai pada 22 Nov bahawa syarikat itu sejak 2022 tidak lagi melihat nilai dalam projek Langkasuka membabitkan pembangunan gugusan 99 pulau meliputi pembangunan seluas 800 hektar dengan hampir 90% kawasannya terletak di laut berhampiran Padang Matsirat.

Ringkasnya ia satu keputusan perniagaan semata-mata daripada pelabur selepas membuat penilaian semula untuk membatalkan keputusannya daripada meneruskan projek itu yang awalnya dijangka siap dalam tempoh 15 hingga 20 tahun.

Terawal memberi reaksi ialah Ketua Pemuda PKR Kedah Dr Taufiq Johari yang menuntut Sanusi memberi penjelasan, apatah lagi projek yang dijanjikan sebagai pemangkin kemajuan Langkawi itu kini berpotensi terbengkalai yang didakwanya akibat kelemahan kerajaan negeri.

“Menteri besar tidak boleh sekadar menuding jari kepada pihak lain. Kegagalan ini adalah hasil langsung daripada kurangnya perancangan strategik dan dasar. Adakah ini pentadbiran yang mahu diamanahkan untuk membawa perubahan kepada Kedah?” soalnya dalam kenyataan.

Harus memadailah jawapan Sanusi kepada The bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang kaitan dengan keputusan BZI menarik diri daripada projek itu yang awalnya dirancang dibangunkan secara kerjasama dengan syarikat swasta, Widad Business Group Sdn Bhd.

Sebaliknya, menteri besar seperti mahu menunggang isu itu dengan mendakwa ada ‘grand design’ – perancangan berskala besar – kononnya untuk menggagalkan pelaburan swasta di Kedah, dengan syarikat yang berhasrat melabur diberi tekanan dan sekatan supaya menarik diri daripada projek yang diumumkan.

“Saya pun tahu syarikat-syarikat terbabit di Kedah ini akan dikenakan tekanan macam-macam sekatan dan kes yang saya sebut semalam (projek Langkasuka) saya tahu dia kena apa tapi saya tak mahu ulang dia kena apa,” katanya.

Ini satu tuduhan serius. Sudah tentu apabila beliau bercakap mengenai ‘grand design’, tanggapan pertama ialah kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim atau Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz kerana hanya kedua-duanya yang berkuasa mengenakan tekanan atau sekatan seperti dibayangkannya.

Menyusuli dakwaan Sanusi itu, Tengku Zafrul pada Selasa menegaskan kerajaan bukan sahaja tidak pernah sabotaj, malah membawa masuk banyak pelaburan ke Kedah, dengan yang terbaru membabitkan pelaburan tambahan RM2.16 bilion daripada Hyundai Motor Company (HMC) di Kulim.

Dengan pelaburan tambahan itu, tambahnya, HMC akan mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab automotif serantau selaras Pelan Induk Perindustrian Baharu di samping akan mewujudkan ratusan pekerjaan berkemahiran tinggi dan mencipta lebih banyak pekerjaan tambahan untuk perusahaan kecil dan sederhana yang menyokong operasi mereka.

Secara tidak langsung penjelasan Tengku Zafrul itu memulangkan persoalan siapa sebenarnya yang bermata lalat di antara Sanusi dan Swee Leong yang sekadar bertanyakan soalan di DUN Kedah.

Terdahulu, Ketua Penerangan Umno Kedah Shaiful Hazizy Zainol Abidin mencabar Sanusi mendedahkan pihak yang mempunyai rancangan besar menggagalkan pelaburan swasta di Kedah seperti didakwanya.

Shaiful Hazizy bimbang dakwaan itu hanya satu lagi cubaan memanipulasi persepsi dan sentimen dimainkan Sanusi apabila mengeluarkan kenyataan berkenaan.

Umum pun tahu ini sudah lumrah apabila menteri besar diajukan dengan keadaan yang beliau dapati mungkin sukar untuk meloloskan diri dan satu-satunya jalan keluar ialah mengada-adakan tuduhan balas.

Senada dengannya, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah Mahfuz Omar turut menuntut menteri besar membuat pendedahan dan jangan berselindung di sebalik cubaan menutup kelemahan pentadbirannya dalam menarik pelaburan asing.

“Inilah masalah Sanusi, dia ada ‘split’ pemikiran dan ‘split argument’. Dulu dia kata projek Langkasuka di Langkawi projek swasta, dia tak tahu bila Bin Zayed nak buat, dia tukang umum saja. Tapi hari ini dia kata ada pihak cuba gagalkan pelaburan swasta… ini saya kata ‘split’ pemikiran dan ‘argument’,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, Mahfuz juga mengandaikan BZI keluar dari Langkawi kerana melihat politik Kedah yang ‘huru-hara’, selain tiada kesediaan meluas kerajaan negeri untuk bekerjasama dengan kerajaan persekutuan kerana perbezaan parti yang mentadbir.

“Jadi, pelabur rasa mereka tak ada keyakinan untuk teruskan pelaburan, mungkin sebab itu dia keluar,” tambahnya.

Apa jawab Sanusi? “Saya tahu perkara itu, ada dalam ini (sambil tunjuk ke dadanya), tapi biarlah rahsia,” katanya ketika ditemui wartawan selepas sidang DUN pada Selasa sambil menyifatkan belum tiba masanya untuk beliau mendedahkan perkara itu.

“Saya tak cakap semua perkara, tentang ‘grand design’ itu saya simpan. Saya nak tengok kelakuan mereka, sejauh mana mereka nak pi (bertindak).

“Apa tindakan yang saya akan buat berdasarkan pengetahuan yang saya simpan itu, mereka kena tunggu balasan dari saya,” katanya pada sesi penggulungan Sidang DUN pada Khamis.

Dalam pada itu, Sanusi berterima kasih kepada perdana menteri atas sokongan yang diberikan berkait pelaburan HMC di Kulim.

Maknanya tiadalah ‘grand design’ jika dakwaan Sanusi pada Isnin lalu tidak dimaksudkannya kepada Anwar. Kalau pun ada, ia mungkin sekadar ‘small design’ daripada ilusi mata lalatnya sendiri. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.