`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, November 28, 2024

Lebih 50,000 mangsa banjir Kelantan malam ini

Situasi banjir di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis terus memburuk dengan pertambahan mangsa malam ini, manakala banjir di Johor pulih apabila pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir negeri itu, ditutup petang tadi.

Jumlah mangsa banjir di KELANTAN terus merekodkan peningkatan ketara, dengan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan jumlah mereka yang terkesan bencana malam ini ialah 50,947 orang yang dipindahkan ke 207 PPS, berbanding 42,868 orang di 190 PPS petang tadi.

Jajahan Pasir Mas masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 18,828 orang di 49 PPS, diikuti Tumpat (7,149 mangsa, 16 PPS); Kota Bharu (4,525 mangsa, 27 PPS); Kuala Krai (4,753 mangsa, 36 PPS); Tanah Merah (4,201 mangsa, 26 PPS) dan Bachok (2,516 mangsa, tujuh PPS).

Jajahan lain yang dilanda bencana itu ialah Pasir Puteh (4,643 mangsa, 21 PPS); Machang (3,567 mangsa, 19 PPS); Jeli (724 mangsa, lima PPS) dan Gua Musang (41 mangsa, sebuah PPS).

Di TERENGGANU, mangsa banjir malam ini bertambah kepada seramai 17,762 orang yang berlindung di 206 PPS berbanding 14,111 orang petang tadi, dengan Besut mencatat jumlah mangsa tertinggi iaitu 7,263 orang di 81 PPS.

Di daerah Hulu Terengganu pula, seramai 3,837 mangsa ditempatkan di 45 PPS, Setiu (3,957 mangsa, 41 PPS), Kemaman (1,462 mangsa,18 PPS), Dungun (639 mangsa, 12 PPS), Marang (557 mangsa, lapan PPS) dan Kuala Nerus (47 mangsa, sebuah PPS).

Di KEDAH, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata Kota Setar merupakan daerah terbaru dilanda banjir, menyaksikan sebuah PPS dibuka, namun jumlah mangsa terlibat sedang dimuktamadkan.

Bagaimanapun, jumlah mangsa yang direkodkan malam ini meningkat 2,210 orang berbanding 1,849 orang petang tadi, dengan paling ramai terkesan berada di Kubang Pasu iaitu 1,166 orang di 11 PPS, diikuti Padang Terap (800 orang, sembilan PPS); Pokok Sena (185 orang, dua PPS) dan Sik (59 orang, dua PPS)

Pertambahan mangsa banjir juga direkodkan di PERLIS dengan Pengarah APM negeri Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud memaklumkan empat PPS yang beroperasi menempatkan 415 mangsa malam ini, berbanding 383 orang pada petang tadi.

Seramai 146 orang berlindung di PPS SK Arau, 73 mangsa di PPS SK Guar Nangka manakala PPS SK Titi Tinggi di Padang Besar menempatkan 132 mangsa dan 64 lagi mangsa di PPS Dewan Warisan, Kangar.

Jumlah mangsa di PERAK tidak berubah dengan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) memaklumkan 20 mangsa daripada tujuh keluarga masih berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Parit Aman di Kerian.

Di JOHOR, Pengerusi Sekretariat JPBN Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan PPS Balai Raya Batu Badak, Segamat ditutup selepas 28 mangsa daripada lapan keluarga di situ dibenarkan pulang pada 6 petang tadi, menandakan banjir yang berlaku sejak 23 Nov lepas pulih.

Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.