Dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat, Nanta berkata pelaksanaannya turut membabitkan banyak pihak terutama dalam mendapatkan persetujuan daripada setiap syarikat konsesi lebuh raya.
“Antara cabaran lain dihadapi adalah merangka rang undang-undang pelaksanaan MLFF di mana cadangan pindaan atau mewujudkan akta baru bagi menangani isu pencerobohan dan kesalahan tol perlu diteliti dengan mengambil kira akta-akta sedia ada,” katanya.
Beliau menjawab soalan Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) yang meminta kerajaan menyatakan status terkini pelaksanaan sistem kutipan tol secara MLFF termasuk perjanjian perlantikan antara pihak Kerajaan dan syarikat pencadang.
Menurut Nanta, Kementerian Kerja Raya (KKR) masih menjalankan rundingan dengan pihak syarikat pencadang sebagaimana kelulusan prinsip telah diberikan Jemaah Menteri.
“Syarikat pencadang juga sedang berunding dengan syarikat–syarikat konsesi lebuh raya bagi mendapatkan persetujuan.
“Tempoh rundingan berdasarkan perjanjian pelantikan akan tamat pada 16 Dis,” katanya.
Awal tahun ini, media melaporkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bersetuju mengadakan prosiding berhubung pengurusan pelaksanaan MLFF bernilai RM3.46 bilion yang perjanjiannya menimbulkan bantahan pemain industri.
Pengerusinya Mas Ermieyati Samsudin berkata pihaknya bercadang akan memanggil Kementerian Kerja Raya bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) selain mendengar pandangan daripada operator lebuh raya.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pula berkata kerajaan akan menyemak semula perjanjian MLFF bernilai RM3.46 bilion.
Sebelum ini, FMT melaporkan 32 syarikat konsesi lebuh raya membantah langkah kerajaan secara langsung menganugerahkan projek MLFF kepada sebuah syarikat swasta tanpa rundingan dengan mereka, selain dikatakan jumlah kos melambung 30%.
Bagaimanapun, Nanta berkata penganugerahan projek itu belum dimuktamad dan kerajaan hanya meluluskan ‘perjanjian pelantikan’ berhubung konsep MLFF, pada 17 Nov tahun lalu, selepas Jemaah Menteri menilainya.
Di bawah projek MLFF, semua laluan keluar dan masuk lebuh raya terlibat akan ditukar kepada laluan tiada halangan bagi mengurangkan kesesakan dan menyuraikan aliran trafik.
Persatuan Konsesi Lebuh Raya Malaysia dikatakan menghantar surat bantahan kepada Kementerian Kerja Raya, dengan mendakwa langkah tersebut melanggar persetujuan antara mereka dengan kerajaan. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.