`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Tuesday, January 21, 2025

Dengar suara rakyat, Sultan Pahang beritahu kerajaan negeri

 

Free Malaysia Today
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu kerajaan negeri peka kepada masalah dan keperluan rakyat. (Gambar Bernama)

KUANTAN
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengingatkan kerajaan negeri sentiasa peka terhadap masalah rakyat dengan setiap dasar dan keputusan diambil perlu berasaskan kepentingan masyarakat serta kelestarian alam sekitar.

Baginda bertitah, rakyat merupakan tunjang kekuatan sesebuah negeri justeru menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan mereka dapat menjalani kehidupan dalam keadaan aman, makmur dan sejahtera tanpa mengira status.

“Dengarlah suara mereka, peka kepada masalah dan keperluan mereka. (Justeru) saya ingin menyeru agar semua jabatan dan agensi di bawah kerajaan negeri mengambil langkah proaktif untuk memudahkan urusan birokrasi rakyat.

“Proses yang cekap dan mesra rakyat akan membantu mengurangkan beban mereka serta menunjukkan komitmen kita dalam memberikan perkhidmatan terbaik,” titah baginda pada Istiadat Penyerahan Surat Cara Pelanjutan Tempoh Pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) Pahang di Istana Abdulaziz.

Sehubungan itu, baginda menyeru barisan exco terus bekerja keras dan melaksanakan tugas dengan penuh komitmen kerana kepercayaan yang diberikan bukan sekadar amanah tetapi merupakan tanggungjawab besar dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan tahniah kepada Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail atas kejayaan meningkatkan hasil negeri kepada RM1.144 bilion.

Baginda menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti kecekapan pentadbiran kerajaan negeri serta usaha gigih Wan Rosdy bersama barisan exco dalam memastikan kemajuan ekonomi Pahang.

“Bagaimanapun, kita memerlukan lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) untuk terus memperkukuh kedudukan ekonomi negeri. Saya berharap agar usaha menarik pelabur asing dapat dipertingkatkan demi manfaat bersama rakyat dan negeri,” titah baginda. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.