
“Apakah mereka fikir ahli PAS itu bodoh untuk memilih bersama Amanah,” kata Naib Ketua Pemuda Pulau Pinang, Muhammad Hafiz Alias. “Amanah tak perlu nak memujuk ahli PAS kerana ahli PAS inilah yang menghumban kamu keluar.”
Hafiz menjawab Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Pulau Pinang, Abrar Sadiq, yang mempelawa ahli PAS yang kecewa dengan pemimpin mereka, susulan pengakuan salah Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria baru-baru ini.
Razman pada 27 Jan lalu mengaku salah kerana mendakwa Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh sebagai ‘anak YTL’, dan memohon maaf kepada pemimpin DAP itu dan Kumpulan YTL, yang diasaskan oleh mendiang Yeoh Tiong Lay.
Keesokannya, di platform X, Yeoh menulis ‘nantikan surat daripada peguam saya’.
Kontroversi ini tidak lama selepas Ahli Parlimen PAS, Siti Mastura Muhammad, menyelesaikan bayaran ganti rugi dan kos (termasuk faedah) berjumlah RM830,034.75 kepada tiga pemimpin DAP.
Pembayaran itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati wakil rakyat PAS itu memfitnah Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, dan Teresa Kok, dengan mendakwa mereka mempunyai kaitan dengan pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng.
Mengulas lanjut, Hafiz mengingatkan Amanah bahawa pemimpin Pakatan Harapan (PH) juga pernah kalah kes saman, sambil merujuk kes Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar, dan Menteri Besar Kedah, Sanusi Nor.
Mahkamah Tinggi pada 31 Jan tahun lalu memerintahkan Mahfuz membayar ganti rugi sebanyak RM250,000 bagi saman fitnah terhadap Sanusi, berhubung kenyataan membabitkan pembelian kenderaan pelbagai guna oleh Syarikat Air Darul Aman pada 2020.
“Kenapa tak pujuk ahli parti komponen PH bersama Amanah,” kata Hafiz.
Dalam pada itu, Hafiz menyifatkan pelawaan Amanah itu sebagai tindakan terdesak untuk mendapatkan ahli. “Dia nak gunakan laluan alternatif dengan memanggil ahli PAS pula,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.