Saya setuju dengan wartawan veteran A Kadir Jasin apabila beliau menyatakan menerusi posting di Facebook tidak ada drama dalam mahkamah tetapi ‘yang banyak lakonan adalah di luar mahkamah’.
Beliau bercakap mengenai keputusan Mahkamah Rayuan dua hari lalu mengenai apa yang disebut titah adendum bersabit kes Najib Razak.
Di luar mahkamah atau lebih tepat di lobi Istana Kehakiman, Shafee Abdullah peguam Najib pantas mengadakan sidang media dan memberitahu wartawan, Najib memberi isyarat ‘two thumbs up’ tanda gembira dan lega kerana ‘akhirnya institusi kehakiman mengiktiraf beberapa unsur ketidakadilan yang telah diletakkan terhadapnya’.
Membaca laporan mengenai dakwaan Shafee saya mengimbau satu lagi hantaran Facebook Kadir beberapa hari terdahulu yang mengingatkan golongan yang ‘sudah lupa atau tidak pernah tahu’ bahawa Najib bukanlah dibicarakan ‘main-main’ oleh ‘kangaroo court’.
Kata Kadir: “Dia dibicarakan oleh sembilan orang hakim di tiga peringkat mahkamah. Seorang hakim di Mahkamah Tinggi, tiga orang hakim di Mahkamah Rayuan dan lima orang hakim di Mahkamah Persekutuan. Semua kata dia bersalah.”
Oleh itu. bagi saya apabila Shafee memberitahu media Najib beri ‘two thumbs up’ beliau bermain ‘mind game’ atau ‘psywar’ bertujuan meyakinkan orang ramai konon Najib selama ini dianiaya dan lebih daripada itu untuk menyuntik semangat penyokong Najib untuk terus menyokong.
Sesungguhnya, ada penyokong bekas perdana menteri itu secepat kilat memuat naik hantaran di media sosial mengumumkan ‘Najib menang 2-1’. Apa yang sebenarnya berlaku ialah Mahkamah Rayuan membenarkan Najib mengemukakan ‘bukti baharu’ yakni titah adendum. Daripada tiga hakim yang bersidang dua setuju, seorang tidak. Drama di luar mahkamah bagi peminat Najib ialah “Bossku” menang 2-1. Laman Facebook Najib pula berkata ‘hari ini kita melangkah satu langkah ke depan lagi’.
Drama panas luar mahkamah dilakonkan orang politik. Ada yang bersolidariti dengan Najib walaupun bak kata Kadir merekalah yang bertanggungjawab memulakan kempen yang akhirnya menyumbat Najib ke dalam penjara.
Atas nama Melayu Islam mereka menggunakan titah adendum untuk mengasak kerajaan khususnya Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Hamzah Zainudin orang kuat Bersatu menuduh Anwar menyembunyikan titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang dikatakan membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Bagi Hamzah tindakan PMX adalah ‘penderhakaan’ terhadap Agong. Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari menggesa Anwar letak jawatan. Wee Ka Siong, presiden MCA tumpang semangkuk dengan menyindir ‘seseorang sudah kantoi’ apabila peguam Najib mengemukakan surat dari Istana Pahang. Perlu diingat surat itu dikatakan mengesahkan titah adendum wujud. Bukan adendum itu yang dikemukakan.
Menurut penganalisis kepada FMT, kritikan berbaur politik yang mengambil kesempatan keputusan mahkamah berkait titah adendum tidak akan menggugat kedudukan kerajaan. Kata Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia kerajaan ada ruang untuk membuat penjelasan dengan memberi maklumat sebenar bagi menjawab gambaran di media sosial.
Kementerian Dalam Negeri sudah memberi penjelasan. Ia tidak terima sebarang arahan mengenai tahanan rumah bagi Najib. Bagi yang antikerajaan penjelasan itu tidak mencukupi.
Tampil Hassan Karim orang PKR yang terkenal sebagai bukan ‘yes man’ kerana berani menegur dan mengkritik kerajaan, parti sendiri, juga perdana menteri. Kali ini beliau mempertahankan PMX.
“Anwar Ibrahim secara peribadi dan sebagai perdana menteri tidak boleh menjawab secara sewenang-wenang sama ada titah adendum itu ada atau tidak ada,” kata Hassan menerusi kenyataan media Isnin lalu.
Katanya lagi: “Dalam hal ini kredit atau pujian wajar diberi kepada perdana menteri yang berulang kali menjawab dan menjelaskan di dalam Parlimen atau di luar Parlimen bahawa kerajaan dan beliau khususnya sebagai perdana menteri tidak boleh mengganggu perjalanan prosiding mahkamah dan keputusan hakim- hakim”.
Berbalik keputusan Mahkamah Rayuan 6 Jan lalu. Mahkamah Rayuan membenarkan Najib memulakan semakan kehakiman atau ‘judicial review’ bagi memaksa menteri dalam negeri dan kerajaan menguatkuasakan titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yakni Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada hari-hari terakhir baginda sebagai Agong.
Perintah dikeluarkan dikatakan supaya Najib menghabiskan hukuman penjara di rumah bersabit kes SRC International. Ertinya Najib ‘is not out of the woods yet’. Sesuatu yang pasti tidak menggembirakan peminat ‘Bossku’ yang menjangka Najib sudah kembali ke kediamannya di kawasan elit Taman Duta, Kuala Lumpur.
Lewat Januari tahun lalu iaitu 29 Jan 2024 mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah bersidang. Ia dipengerusikan Al-Sultan Abdullah yang waktu itu Yang di-Pertuan Agong.
Mesyuarat berkenaan memutuskan Najib diberi pengurangan 50% bagi hukuman penjara dan pengurangan denda. Sebelum ini Najib dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah dalam kes SRC International.
Titah adendum ialah titah tambahan. Maka timbul pendapat dan persoalan berhubung statusnya terutama bila dikeluarkan. Muhammad Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya dipetik FMT berkata, semua pihak perlu menghormati kuasa Yang di-Pertuan Agong sekarang yakni Sultan Ibrahim, Sultan Johor.
Katanya, Sultan Pahang telah melaksanakan tanggungjawab berdasarkan kuasa yang dimiliki selaku Agong berdasarkan konteks demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan dan Perkara 42 Perlembagaan.
Dan kata Tawfik apabila tempoh jawatan Agong yang disandang Sultan Pahang tamat pada 31 Jan 2024, ‘maka pada pandangan saya adendum tersebut telah bertukar menjadi akademik. Maka kita perlu menghormati pula kuasa pemerintahan Agong baharu’. Yakni Sultan Ibrahim.
Apa pun pelbagai aspek akan dihujah apabila semakan kehakiman kes Najib diadakan kelak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Tiada tarikh yang diumumkan setakat ini.
Saya akhiri penulisan juga dengan kata-kata Kadir bahawa jenayah Najib ‘bukan mencuri Milo, roti bengali atau ragut beg tangan’. Itu kita semua mahu sendiri ingatlah. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.