PETALING JAYA: Hampir kesemua penduduk Kampung Baru menyokong pembangunan bercirikan tradisi di kawasan itu, merujuk pembinaan Masjid Jamek dan Pintasan Saloma yang diadaptasi daripada reka bentuk sirih junjung.
Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon 3 Kampung Baru Shamsul Bahari berkata, ini akan lebih membangunkan kawasan itu sekali gus memberikan kelebihan kepada penduduk.
“Saya sokong penuh. Kita perlu pembangunan seumpama ini dan pada masa sama, perlu pertahankan reka bentuk yang mengekalkan ciri-ciri warisan.
“Kampung Baru adalah salah satu keindahan dalam bandar,” katanya kepada FMT.
Kelmarin, Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Ghani dipetik berkata, sebarang pembangunan di Kampung Baru perlu mengambil kira sejarah dan tradisi kawasan itu serta pandangan penduduk setempat.
Johari yang juga menteri perladangan dan komoditi berkata, status rizab Melayu Kampung Baru juga akan dipertahankan selagi ‘ada bintang dan bulan’.
Tambahnya, pihaknya juga tidak menentang pembangunan dengan syarat pihak pemaju perlu mengambil kira sejarah supaya isu di Sungai Baru tidak berlaku di kawasan tersebut.
“Hal ini terjadi kerana ramai pemaju datang ke kawasan ini tidak faham sejarah, mereka menganggap memajukan kawasan setinggan,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.