`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Saturday, February 14, 2026

Amanah takut tampil kepimpinan baharu, kata penganalisis

 Penganalisis berkata Amanah sepatutnya berani menawarkan nafas baharu dan menghidupkan semula idealisme Islam progresif bagi menandingi parti lain terutama PAS.

MOHAMMAD SABU
Semalam, Amanah memaklumkan pemilihan parti sepatutnya tahun ini ditangguhkan bagi memberi tumpuan menghadapi persiapan PRU16 serta PRN Melaka, Johor dan Sarawak.
PETALING JAYA:
 Penganalisis berpandangan tindakan Amanah menangguhkan pemilihan dengan alasan memberi tumpuan kepada pilihan raya bukan strategi tepat, sebaliknya menggambarkan ketakutan parti itu menampilkan wajah baharu dalam barisan kepimpinan.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, Amanah sepatutnya berani menawarkan nafas baharu dengan melahirkan wajah mampu memecah kebuntuan dan menghidupkan semula idealisme Islam progresif bagi menandingi parti lain terutama PAS.

“Menangguh pemilihan bukan strategi, ia adalah ketakutan dan ketakutan tidak pernah membawa kemenangan. Amanah mesti memilih terus relevan atau pupus dalam sejarah politik Malaysia.

“Dalam iklim politik Malaysia, trend ini hanya menambah kejumudan, menutup ruang kepada kepimpinan segar yang mampu menghidupkan semula denyut perjuangan. Keputusan menangguhkan pemilihan langkah mundur yang mengekang bakat dan mengekalkan status quo,” kata penganalisis dari Global Asia Consulting kepada FMT.

Zaharuddin Sani Ahmad Sabri
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri.

Zaharuddin berkata, walaupun Amanah menangguhkan pemilihan sehingga selepas pilihan raya, ia tidak membantu parti itu meningkatkan sokongan orang Melayu khususnya.

Semalam, Setiausaha Agung, Faiz Fadzil, memaklumkan Amanah menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya dijadualkan tahun ini bagi memberi tumpuan menghadapi persiapan PRU16 serta PRN Melaka, Johor dan Sarawak dijangka dalam masa terdekat.

Faiz berkata, Amanah juga mengarahkan supaya negeri dan kawasan segera menggerakkan jentera pilihan raya masing-masing bagi mengukuhkan kesiapsiagaan menjelang PRU16 dan PRN, termasuk dalam usaha menarik sokongan Melayu.

Sementara itu, Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia menyifatkan Amanah masih berdepan cabaran besar untuk menembusi sokongan pengundi Melayu, walaupun parti tersebut tampil dengan barisan kepimpinan baharu.

Azmil Tayeb
Azmil Tayeb.

“Lebih baik mereka menumpukan tenaga dan masa untuk meningkatkan sokongan orang Melayu bermula dengan menonjolkan imej kesepakatan dalam barisan kepimpinan baharu parti. Ini boleh membezakan Amanah dan parti Melayu Islam seperti Bersatu, PAS dan Umno yang berdepan krisis dalaman,” katanya.

Beliau mengakui, bukan mudah untuk Amanah bersaing dengan parti tersebut, khususnya Umno dan PAS yang mempunyai kelebihan dari segi jentera serta sejarah perjuangan lebih lama di peringkat akar umbi.

“Kita boleh lihat dinamika ini di negeri diperintah PN sekarang. Amanah boleh bersaing di kawasan campur di mana mereka mendapat sokongan kuat daripada pengundi bukan Melayu. Tetapi mereka terpaksa berebut dengan PKR yang juga biasanya bertanding di kawasan campur,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.