Pengarah APMM Pahang Mazlan Mat Rejab berkata seramai 18 kru warga Vietnam termasuk seorang tekong berusia antara 21 hingga 55 tahun turut ditahan.

Pengarah APMM Pahang, Mazlan Mat Rejab, berkata pihaknya turut menahan 18 kru warga Vietnam termasuk seorang tekong berusia antara 21 hingga 55 tahun, selain merampas satu tan hasil laut bernilai lebih RM 6 juta.
“Vesel itu dikesan dalam keadaan mencurigakan kira-kira 102 batu nautika timur laut Pelabuhan Kuantan sebelum dipintas dan ditahan pada 2.40 pagi ketika Ops Makmur, Ops Naga, Ops Iman, Ops Tiris dan Ops Pelantar Merah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kesemua kru telah diiring ke Jeti Zon Maritim Kemaman sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dan gagal melaporkan ketibaan di perairan perikanan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki perairan negara tanpa kebenaran yang sah.
Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata pihaknya turut berjaya merampas 1,050 rokok putih pelbagai jenama tidak bercukai bernilai lebih RM17,000 dalam satu operasi penguatkuasaan di perairan Kuala Kuantan, Selasa lepas.
Beliau berkata rampasan tersebut dilakukan kira-kira 12 tengah hari selepas sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) Kelas C2 dikesan dalam keadaan mencurigakan menuju ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuantan.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut dikendalikan oleh 18 kru, terdiri daripada seorang tekong dan dua kru warga Thailand serta 15 kru warga Kemboja, berusia antara 26 hingga 61 tahun,” katanya.
Beliau berkata kesemua kru bersama vesel dan barang rampasan telah diiring ke Jeti Pernepa Kuantan Slipway sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk tindakan lanjut.
Selain itu, Mazlan berkata kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Akta Kastam 1967 serta Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki perairan negara tanpa kebenaran yang sah. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.