Ternyata saya tidak kecewa. Mansur & Liu elok pembikinannya.

Saya memang suka menonton teater. Kalau ada pementasan yang menarik, punya kelapangan masa dan yang paling penting ada ‘kelapangan poket’, saya akan pergi menonton. Jadi apabila Mansur & Liu dipentaskan di Istana Budaya, saya berkobar-kobar ingin menontonnya. Tambahan pula ia diarahkan oleh M Nasir, seniman yang banyak membentuk falsafah hidup saya semenjak remaja melalui lagu dan lirik karya beliau.
Teater Mansur & Liu pula merupakan debut beliau sebagai pengarah teater walaupun teater bukanlah asing bagi beliau yang pernah terlibat berlakon sekian lama dahulu seperti teater Wira Bukit karya A Samad Said arahan Mior Hashim Manap (1986) dan pernah bergandingan bersama Fauziah Nawi dalam teater ‘Antara’ lewat 90-an. Itu sahaja sudah cukup membuatkan saya mahu tahu apa yang akan dibuatnya apabila sebuah panggung diserahkan kepada beliau.
Ternyata saya tidak kecewa. Mansur & Liu elok pembikinannya. Penataan cahaya, permainan bayang-bayang, skrin LED yang dimanfaatkan sepenuhnya, kesan khas, kostum, pergerakan pelakon (blocking) dan keseluruhannya membuatkan kita tak sangka bahawa apa yang sedang kita lihat sebenarnya berlaku di atas sebuah pentas. Malah, keasyikan menonton membuat saya terlupa di bangku sebelah saya, duduk seorang kawan yang sudah lama saya tak jumpa dan di belakang pula seorang seniman sohor bersama isterinya. Saya ralit melayan lagu, muzik dan bunyian mengiringi pertuturan dan gerak lakon.
M Nasir mencipta kira-kira 30 lagu dan skor untuk pementasan ini. Itu memang kekuatan beliau. Dengan sistem bunyi Panggung Sari yang berkesan, ada ketikanya kita terasa bunyi itu datang dari seluruh ruang atau seakan terhasil dari dalam gegendang telinga kita sendiri.
Bahan asas Mansur & Liu sebenarnya sudah ada dalam Sulalatus Salatin. Dalam naskhah lama itu diceritakan hubungan Melaka dengan China di zaman Sultan Mansur Syah pada abad ke-15. Kisah Maharaja China ditimpa kedal (sejenis penyakit kulit) yang tidak mampu disembuhkan oleh beratus-ratus tabib. Seorang tabib tua akhirnya memberitahu bahawa penawarnya ialah air basuhan kaki Sultan Mansur Syah. Air itu diminta dari Melaka, dibawa ke China oleh Tun Perpatih Putih, lalu diminum dan digunakan untuk membasuh tubuh baginda. Sembuhlah Raja China.
Naskhah asal Mansur & Liu ditulis oleh Allahyarham Zakaria Ariffin sebelum dikembangkan dan diolah semula oleh pasukan penulis untuk pementasan ini. Di tangan M Nasir, ruang antara sejarah dan hikayat itu dikembangkan menjadi sebuah fiksyen ‘ada cerita di sebalik cerita’. Dalam versi teater ini, Maharaja (lakonan Anas Ridzuan) yang gembira kerana berjaya disembuhkan telah menghantar puterinya, Liu untuk dijodohkan dengan Sultan Mansur (lakonan Aliff Aziz). Dahulu memang begitu. Perkahwinan adalah satu kaedah mengeratkan hubungan diplomatik antara dua kerajaan atau empayar. Bermakna, perkahwinan juga adalah kerja politik.
Liu (lakonan Melinda Dadew) kecewa kerana dia sudah mempunyai kekasih bernama Lin Hao, laksamana China (lakonan Brian Chan). Lin Hao, seperti juga Liu, patah hati apatah lagi dia sendiri harus mengetuai pelayaran membawa kekasih yang dicintainya menyeberangi laut untuk diserahkan kepada orang lain. Tetapi dia seorang laksamana. Dia harus memilih untuk taat setia kepada maharaja dan negaranya. Dia seperti Hang Tuah membawa Tun Teja kepada Sultan Mahmud Syah yang mana dalam beberapa versi, ada permainan perasaan antara Tuah dan Tun Teja. Taat kepada raja mengatasi segala-galanya.
Elemen ‘spin-off’ ini pastinya akan membuat kita lebih terasa seolah turut berada pada zaman itu dan mudah untuk kita menjiwainya. Inilah kekuatan karya kreatif dalam membawa apa juga mesej termasuklah propaganda. Tidaklah terasa macam menonton cerita yang diambil bulat-bulat dari buku teks Sejarah sekolah.
Teater Mansur & Liu yang dipentaskan selama 10 hari, bermula 10 Sept hingga 20 Sept itu adalah kisah cinta romantik yang disulam dengan elemen perebutan kuasa, peperangan dan sudah pastilah pengkhianatan – satu penyakit yang akan tetap berlaku selagi adanya manusia. Barang harus diingat, pengkhianatan itu bermaksud ia selalunya datang dari dalam.
Dalam sejarah, banyak kerajaan tumbang kerana pengkhianatan atau persengketaan sesama sendiri, bukan musuh dari luar. Granada, kerajaan Islam terakhir di Semenanjung Iberia, misalnya, bukan sahaja berdepan serangan tentera Kristian Sepanyol, tetapi pada masa yang sama berdepan perebutan kuasa dalam keluarga pemerintah sendiri. Perpecahan dalaman itu melemahkan Granada ketika musuh sedang menyerang dari luar. Akhirnya Granada jatuh pada 1492. Tetapi, eh buat apa tengok jauh-jauh? Hari ini apa kurangnya? Depan mata kita pun sedang berlaku juga persengketaan dan perang saudara sedemikian rupa, kan?
Dalam Mansur & Liu, ‘barua’ itu ialah Datuk Syahbandar lakonan Amerul Affendi yang memang cukup membuat kita menyampah. Dia berada dalam lingkungan kekuasaan Melaka tetapi mempunyai permainannya sendiri. Dia berpakat dengan pemimpin Siam, Somdet Phra (lakonan Hazama) untuk menggugat Melaka. Datuk Syahbandar juga menggunakan keluarga Mansur sendiri iaitu Tun Seri Anom (lakonan Arena Wan), sepupu yang menaruh hati terhadap Mansur tetapi dianggap Mansur seperti adiknya sendiri. Anom bersama ibunya, Tun Ratna Kenchana (lakonan Ruzana Ibrahim) membubuh racun dalam minuman Liu tetapi rancangan tersebut gagal dan dari situlah rahsia segala pengkhianatan terbongkar. Orang ‘China’ yang dicurigai kononnya musuh dari luar rupanya adalah kawan yang setia manakala saudara sendirilah sebenarnya gunting dalam lipatan.
Saya pernah menulis sebelum ini tentang pemerhatian saya ketika berada di Pulau Singkep, Kepulauan Riau, Indonesia. Di sana saya melihat bagaimana Melayu dan Cina boleh hidup bersama dengan begitu biasa. Mereka berniaga, berjiran, bergaul dan menjalani kehidupan. ‘Chemistry’ perpaduan ini jika dipupuk sihat mampu menjadikan kita negara kuat dan gagah di rantau ini.
Mansur & Liu membawa semangat yang begitu. Malah dalam Sulalatus Salatin, selepas Raja China sembuh, baginda dikisahkan berpesan kepada keturunannya supaya hendaklah China dan Melaka hidup dalam ‘muafakat berkasih-kasihan jua’. Hubungan erat Melaka dengan China dalam Mansur & Liu digambarkan sebagai kerjasama dua tamadun yang tidak mengurangkan salah satu kerajaan pun tetapi menjadikan kedua empayar ini makin kukuh.
Apa pun, formula perpaduan ini di atas kertas memanglah senang tetapi manusia tetap manusia. Pasti ada kejahatan di sana-sini kerana memburu kepentingan peribadi. Perang pun berlaku demi untuk menentukan siapa yang lebih berhak berkuasa.
Bagi saya kalau Mansur & Liu hendak diadaptasikan ke layar filem dengan skala seperti yang saya tonton malam itu, memang makan modal besar. Filem epik bukan kerja murah. Kapal, istana, peperangan, tentera, kostum, empayar China dan Melaka serta Siam. Fuh! Belum apa-apa produser sudah demam. Maka, teater mampu menjadi sebuah tempat yang tepat untuk imaginasi sebesar ini direalisasikan. Teater mempunyai satu kelebihan yang filem tidak ada. Ia tidak perlu menunjukkan semuanya secara nyata.
Cahaya, bayang-bayang, kesan visual dan bunyi mampu menjadi laut, kapal, istana malah juga bala tentera. Penonton akan terpukau kagum dengan kecanggihan teknikal ini. Di layar filem, jika silap guna kesan khas, boleh ditertawakan. Untuk sebuah debut pengarahan teater, M Nasir mengambil risiko besar dan pada saya, beliau berjaya.
Selepas pementasan selesai, saya sempat bertemu beberapa kawan yang terlibat seperti Amerul Affendi, Taqim Zaki (pemeran watak Tun Perpatih Putih), Hazama dan Anas Ridzuan. Saya peluk mereka seorang demi seorang dengan bangga. Apabila bertemu M Nasir, saya peluk juga beliau kerana tumpang bangga. M Nasir macam biasalah, ketawa mengekek.
Oleh kerana teater Mansur & Liu versi M Nasir ini memilih untuk bermain fiksyen di sebalik sejarah, saya sebagai penonton pun berhaklah bermain di ruang yang sama. Sebab itu ada perkara yang buat saya geram. Saya memang mempunyai masalah dengan cerita cinta yang berakhir bahagia. Barangkali Mansur & Liu bagi saya ialah Zainuddin dan Hayati dalam Tenggelamnya Kapal Van der Wijck karya Hamka tetapi yang ini versi M Nasir. Atau mungkin juga Mansur & Liu adalah Jack dan Rose dalam filem Titanic. Bezanya Zainuddin dan Hayati tidak diberikan kesempatan untuk hidup bahagia. Jack pula tenggelam bersama Titanic dan meninggalkan Rose meneruskan hidup dengan sebuah kenangan. Saya suka begitu. Saya mahu diseksa.
Alang-alang berfantasikan sebuah kisah cinta besar, biarlah akhirnya saya keluar dari panggung dengan dada sesak. Biarlah salah seorang mati, hilang atau mereka tidak dapat bersama selama-lamanya. Cinta yang tidak kesampaian selalunya dianggap sebuah cinta yang paling agung.
Tetapi Mansur & Liu bukan untuk membuat kita bersedih. Ia mahu kita menghargai cinta dan keamanan. Ia mahu melihat kita mengenepikan perbezaan dan mencari persamaan untuk sebuah penyatuan. Ia mahu kita hapuskan persengketaan, bangkit semula setelah jatuh dan berbahagia setelah sembuh daripada luka.
Atas sebab itulah sewaktu memandu pulang, telinga saya masih terngiang-ngiang bait nyanyian Maharaja China apabila baginda sembuh daripada sakitnya:
“Be-ta dah sem-buh!” Kemudian disambut suara nyanyian beramai-ramai:
“Ra-ja dah sem-buh!” Chenggg! “Ra-ja dah sem-buh!”
Dengan bunyi gaya opera Cina, ia kedengaran lucu sehingga menimbulkan ketawa penonton tetapi jelas bait tersebut cukup menangkap telinga dan sangat berkesan masuk ke jiwa sehingga kita boleh menyanyikannya di rumah. Rupanya saya juga telah disembuhkan.
“Aku dah sembuh! Aku dah sembuh!” nyanyi saya sehingga ke saat ini.
Malam itu saya puas. Luka saya pun turut sembuh. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.