Khidmat kaunseling, intervensi dan bantuan kewangan untuk hadiri prosiding mahkamah antara sokongan disediakan kerajaan kepada mangsa keganasan rumah tangga.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri, berkata keganasan rumah tangga bukan hanya melibatkan penderaan fizikal dan emosi, malah turut merangkumi kawalan ekonomi yang boleh menjejaskan kesejahteraan serta keyakinan mangsa.
Beliau berkata, bentuk keganasan itu perlu diberikan perhatian kerana boleh berlaku dalam kehidupan seharian, khususnya apabila pasangan tidak menyediakan wang untuk keperluan asas keluarga atau mengawal perbelanjaan peribadi sehingga mangsa tiada kebebasan kewangan.
“Contohnya, suami balik rumah hendak makan dan mengharapkan isteri masak. Kalau isteri tak bekerja, dia tidak ada duit dan suami pula tidak memberikan wang kepadanya untuk keperluan dapur, macam mana dia hendak memasak?” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk “Keluarga Sejahtera: Kasih Terpelihara, Penjagaan Diperkasa” terbitan Bernama TV malam tadi.
“Selain itu, isteri hendak membeli pakaian, tetapi tidak mempunyai wang. Hendak membeli-belah seperti wanita lain pun tidak boleh. Apabila dia memesan barangan melalui Shopee, dia dimarahi suami. Ini yang biasa berlaku dan menjadi cabaran baharu dalam kehidupan sekarang.”
Nancy berkata, kawalan kewangan sedemikian boleh menyebabkan mangsa kehilangan keupayaan untuk membuat keputusan bagi keperluan sendiri, khasnya apabila tiada pendapatan atau akses kepada wang.
Menurutnya, statistik polis merekodkan 5,507 kes keganasan rumah tangga pada 2023, meningkat kepada 7,016 kes pada 2024 dan 7,391 kes pada 2025 serta 5,278 kes direkodkan dari Januari hingga Ogos tahun ini.
“Keganasan rumah tangga ini boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan situasi, tetapi yang menjadi cabaran ialah apabila mangsa memilih untuk berdiam diri dan tidak mendapatkan bantuan. Kadang-kadang bila sudah buat laporan pun, mereka tarik balik laporan kerana takut.”
Justeru, beliau berkata, kementeriannya menyediakan pelbagai bentuk sokongan bagi membantu mangsa keluar daripada situasi penderaan serta membina semula kehidupan, termasuk melalui khidmat kaunseling, intervensi dan bantuan kewangan untuk menghadiri prosiding mahkamah, jika perlu.
Katanya, usaha menangani keganasan rumah tangga juga penting bagi melindungi anak yang menyaksikan penderaan dalam keluarga kerana pengalaman itu boleh mempengaruhi persepsi mereka terhadap hubungan kekeluargaan apabila dewasa.
“Kami tidak mahu perkara ini menjejaskan anak-anak sehingga apabila mereka dewasa, mereka mengulangi perkara sama kerana menganggapnya sebagai sesuatu yang normal.”
Beliau menggesa masyarakat tidak menganggap keganasan rumah tangga sebagai urusan peribadi semata-mata, sebaliknya tampil membantu melaporkannya menerusi Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 019-261 5999 jika mengetahui atau mengesyaki kejadian sedemikian berlaku. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.