Kita yang seronok mengikuti kisah mereka tentu mendoakan pasangan ini terus bahagia. Mudah-mudahan mereka berjaya melayari rumah tangga dengan baik.

Saya pasti ramai rakyat Malaysia menitiskan air mata kegembiraan menyaksikan perkahwinan Bella Astillah dengan Syed Saddiq. Tersedu-sedu mak cik cleaner di pantri bersama kakak kerani ketika menontonnya di TikTok. Memang perkahwinan mereka menggembirakan rakyat terbanyak seolah-olah kita semua adalah keluarga kedua-dua mempelai.
Sejak diijabkabulkan pada 10 Okt lalu, pasangan yang popular dengan gelaran ‘BASS’ ini terus menjadi perhatian. Majlis resepsi di Kuala Lumpur, kenduri rakyat di Muar dan khabarnya ada satu lagi persandingan dijadualkan bakal berlangsung di Kota Kinabalu. Meriah!
Perkahwinan mereka sudah seperti cerita hikayat zaman dahulu. Kisah cinta mereka juga ibarat drama bersiri yang mempunyai beberapa musim. Daripada mula jeling-jeling ketika beraktiviti bersama, peminat meneka-neka hubungan mereka, sehinggalah kedua-duanya mengaku bercinta secara terbuka, disulami pula kes mahkamah yang penuh suspen. Itu musim pertama. Rakyat menunggu musim baharu.
Masuk musim kedua, episod persiapan perkahwinan, akad nikah dan persandingan kini menguasai rating. Rakyat gembira dan bersyukur. Amin!
Dahulu kita menonton drama cinta di televisyen dan panggung yang dilakonkan oleh para artis. Sejak ada media sosial di internet, kita boleh terus menonton artis menjalani kehidupan cintanya sendiri.
Sebagai pemerhati tingkah laku manusia, saya tertarik dengan reaksi masyarakat, khususnya kaum wanita yang begitu teruna meraikannya. Catatan kakak-kakak dan mak cik-mak cik gamat dengan curahan perasaan sehingga ada yang menangis kegembiraan, sujud syukur sambil mendoakan pasangan ini kekal bahagia. Mereka memuji Syed Saddiq dan menobatkan beliau ‘lelaki idaman Malaya’.
Tidak kurang juga ada yang menyindir suami sendiri, membandingkan layanan pasangan masing-masing dengan kemesraan yang ditunjukkan oleh Ahli Parlimen Muar itu. Malah, timbul juga saranan daripada seseorang agar ibu bapa mendidik anak lelaki mereka menjadi seperti Syed Saddiq. Eceh!
Kasihan abang-abang dan pak cik-pak cik yang sedang duduk diam-diam minum kopi. Tak pasal-pasal kena banding dengan pengantin baharu yang popular, lengkap serba putih, berucap penuh romantis dan kacak lagi muda.
“Apasal dorang kahwin, aku pulak kena perli?” sungut abang-abang.
Namun, di sebalik cecehan kakak-kakak dan mak cik-mak cik ini ada persoalan psikologi yang menarik. Mengapa kebahagiaan dua susuk terkenal boleh memberikan kesan emosi begitu besar kepada masyarakat yang sebenarnya tidak mengenali pun mereka secara peribadi?
Fenomena ini dikenali sebagai parasocial relationship, iaitu hubungan emosi sehala antara seseorang dengan figura terkenal yang diikutinya melalui media.
Sejak zaman majalah hiburan, kita dihidangkan dengan gosip, percintaan dan cerai-berai selebriti. Kini media sosial membolehkan kita mengikuti kehidupan mereka dengan lebih dekat. Video mereka memasak, berkelah dan beriadah dapat kita saksikan, malah kita boleh memberikan komen secara langsung yang kadangkala dibalas dengan pantas oleh mereka. Siap sebut nama kita lagi, manalah kita tak seronok? Lama-kelamaan kita berasa seolah-olah mengenali mereka, walaupun sebenarnya percayalah, mereka langsung tidak mengenali kita.
Dalam kes Bella, masyarakat pernah mengikuti kisah sedihnya yang mendapat liputan meluas. Sebahagian peminat bersimpati dengan pengalaman pahit yang dilaluinya. Apabila Bella bertemu jodoh dengan Syed Saddiq, mereka melihatnya sebagai kisah seorang wanita yang akhirnya menemui kebahagiaan selepas melalui kekecewaan yang cukup pahit.
Inilah jalan cerita yang digemari manusia sejak dahulu. Daripada Cinderella, Snow White hinggalah Bawang Putih Bawang Merah, watak utama dizalimi kemudian bangkit kembali sehingga akhirnya menemui kebahagiaan. Bezanya, BASS ialah kisah benar, bukan watak ciptaan. Kedua mereka wujud di depan mata. Itu yang kakak-kakak seronok menonton sambil tersengih-sengih pintal bucu bantal.
Bagi sesetengah wanita, kisah Bella mungkin membawa makna lebih peribadi. Mereka melihat harapan bahawa perceraian bukanlah pengakhiran kehidupan atau jahanamnya nasib. Seorang wanita yang sudah mempunyai anak masih berhak dicintai dan menikmati kebahagiaan. Kisah Bella menjadi lambang peluang kedua yang diharapkan ramai orang.
Kemudian muncul pula Syed Saddiq, ‘putera kayangan’ yang menerima bukan sahaja seorang wanita, tetapi juga anak-anaknya. Ini besar nilainya di mata masyarakat, bro!
Video kemesraannya dengan anak-anak Bella mendapat perhatian ramai. Apatah lagi apabila Syed Saddiq menolak dakwaan bahawa beliau telah menyelamatkan Bella. Sebaliknya, beliau menegaskan Bella telah menyelamatkan dirinya sendiri dan membuktikan kemampuan membesarkan anak-anak dengan baik. Beliau mengiktiraf Bella sebagai seorang wanita yang kuat dan tabah.
Mahunya tak cair hati mak cik-mak cik mendengar ucapan begitu? Penyayang, menghormati pasangan, menerima anak-anak dan tidak merendahkan pencapaian wanita. Bak kata mereka, “meletup ovari dibuatnya!”
Namun, apabila ada yang mula menyarankan supaya semua anak lelaki dididik menjadi seperti Syed Saddiq, kita kenalah tenang-tenang, mak cik! Bukan apa, perbuatan baik memang boleh dijadikan teladan tetapi tidak wajarlah kita menilai keseluruhan peribadi seseorang berdasarkan beberapa rakaman video dan ucapan romantis. Saya hendak cakap sikitlah, ya?
Kita semua mempunyai jalan cerita masing-masing. Rumah tangga sebenar tidak hanya di atas pentas persandingan sepanjang masa. Tidak semua suami pandai berucap. Ada yang kekok menyatakan cinta tetapi rajin menjaga anak, membasuh pinggan, menyediakan makanan dan memastikan keperluan keluarga mencukupi.
Mungkin ucapan suami kakak ketika bersanding dahulu tergagap-gagap dan tiada siapa menangis terharu. Tetapi jika setiap pagi dia bangun awal menghantar anak ke sekolah, berbahagialah kakak.
Kasih sayang mempunyai banyak bahasa. Perut suami kakak yang maju itu pun adalah balasan cintanya kepada kakak. Tak baik kakak menulis di media sosial merendahkan, kalaupun tidak menidakkan, kehebatan suami sendiri.
Dalam psikologi, kecenderungan menilai kehidupan sendiri melalui perbandingan dengan orang lain dikenali sebagai social comparison. Kita membandingkan kehidupan seharian yang penuh kekurangan dengan detik-detik terbaik kehidupan orang terkenal yang dipilih, dirakam dan dipersembahkan dengan begitu indah. Sedangkan di sebalik kamera, semua pasangan mempunyai cabaran masing-masing. Jadi, janganlah kerana menonton drama cinta orang lain, kita memperlekehkan rumah tangga sendiri.
BASS menjadi fenomena begitu besar kerana perkahwinan ini mempertemukan dua dunia yang mempunyai pengaruh kuat terhadap masyarakat iaitu politik dan hiburan. Syed Saddiq seorang ahli politik, manakala Bella mempunyai pengikut dalam dunia seni. Apabila kedua-duanya bersatu, peminat politik dan hiburan turut bertemu dalam sebuah kisah yang sama. Jadi, bukan kakak-kakak dan mak cik-mak cik sahaja yang meleleh. Abang-abang pun apa kurangnya. Mulut berkata meluat, tetapi diam-diam scroll juga.
Kisah percintaan mereka turut berkembang menjadi acara media, siaran langsung dan kandungan digital yang mempunyai nilai komersial. Ada produk boleh ditaja, ada barangan boleh diniaga. Dalam ekonomi perhatian hari ini, semakin ramai orang mengikuti sesuatu kisah, semakin tinggi nilainya kepada industri pemasaran.
Namun, tidaklah salah untuk kita menumpang kegembiraan orang lain. Dalam dunia yang semak dengan peperangan, krisis kuasa besar, perbalahan politik dan pencemaran alam sekitar yang macam tak nampak kesudahan ini, kisah cinta yang menggembirakan mungkin memberikan sedikit kelegaan emosi. Kita diyakinkan bahawa selepas kesedihan masih ada kebahagiaan. Selepas kegagalan masih ada peluang. Itu yang kita seronok.
Kisah orang lain boleh menjadi sumber harapan dan semangat, bukannya ukuran untuk menghukum kehidupan sendiri. Kita jalani hidup kita dengan apa yang kita ada.
Musim persandingan BASS akan berlalu juga nanti. Bella dan Syed Saddiq akan menempuh kehidupan berkeluarga dengan segala likunya sama seperti kita, kakak-kakak, mak cik-mak cik dan pak cik-pak cik sekalian. Hari demi hari hingga tahun berganti tahun. Kita yang seronok mengikuti kisah mereka tentu mendoakan agar pasangan ini terus bahagia. Mudah-mudahan mereka berjaya melayari rumah tangga dengan baik.
Justeru, marilah kita kembali kepada episod kehidupan masing-masing. Hargailah pasangan yang ada di depan mata, walaupun dia tidak pandai berucap romantis dan tidak pernah menjadi perhatian satu negara. Walaupun kita dah beruban, gemuk dan semakin perlahan, kita pun bahagia juga, kan? - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.