Pesawah berkata peruntukan RM2.62 bilion tidak sepadan dengan kenaikan kos.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob, berkata peruntukan kira-kira RM4,300 sehektar itu masih pada kadar sama walaupun pesawah berdepan hasil tuaian merosot dan pendapatan tidak menentu.
“Dari sudut perasaan kami, tidak ada perubahan dan tidak ada berita gembira untuk pesawah. Kadar yang sama ini tidak memberikan impak signifikan kepada kos kami yang meningkat 50%,” katanya kepada FMT.
Mengulas kenaikan Insentif Penuaian Padi daripada RM50 kepada RM100 sehektar bagi setiap musim, beliau berkata pengumuman itu dialu-alukan, namun bayaran bantuan terdahulu yang masih tertunggak menimbulkan persoalan mengenai pelaksanaannya.

Rashid turut menggesa kerajaan menyediakan kad subsidi diesel kerana bahan api itu, menurutnya, merangkumi kira-kira 80% keperluan operasi pesawah.
Beliau juga mencadangkan subsidi disalurkan melalui sistem digital seperti e-dompet atau e-Pesawah bagi membolehkan mereka membeli benih, baja dan racun mengikut keperluan, selain mengelakkan kelewatan bekalan dan masalah kualiti.
Selain itu, beliau mahu Elaun Menunggu Tuai dikembalikan sebagai bantuan tetap, bukan bayaran sekali sahaja.
Rashid turut meminta penjelasan mengenai pelaksanaan subsidi racun bawah Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP), yang menurutnya diumumkan meningkat daripada RM200 kepada RM300 sehektar dalam Belanjawan 2026 tetapi belum dilaksanakan seperti dijanjikan.
Ketika membentangkan Belanjawan 2027 hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM2.62 bilion untuk pesawah, merangkumi subsidi benih, baja, racun, upah membajak dan harga padi, selain kenaikan Insentif Penuaian Padi. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.